ARKIB : 14/06/1999
NEGERI Sembilan mendapat khabar
gembira dengan kehadiran semula penyerang kebangsaan, Zami Mohd. Noor bagi
memperkukuhkan jentera serangan menghadapi Terengganu dalam kempen separuh
akhir pusingan pertama bola sepak Piala FA malam esok. Tanpa Zami yang
diketepikan akibat kecederaan, jentera serangan Negeri Sembilan kurang
menyengat apabila hanya seri 1-1 ke atas Sarawak dalam perlawanan Perdana Satu
di gelanggang sendiri kelmarin.
Menurut jurulatihnya, Irfan
Bakti, ketiadaan penyerang itu yang diketepikan dalam dua perlawanan liga
menyebabkan jentera serangan kurang bermaya.
''Saya lega Zami sudah pulih sepenuhnya
dan bersedia beraksi menentang Terengganu di tempat lawan esok.
''Kehadiran dia sememangnya
diharapkan ketika perlawanan ini amat penting buat Negeri Sembilan untuk
mencari tempat beraksi ke perlawanan akhir,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau menambah, tanpa
penyerang tinggi lampai itu pasukannya gagal mencipta jaringan dengan banyak
peluang yang terhidang sewaktu seri dengan Sarawak tetapi tewas 3-2 menerusi
penentuan tendangan penalti.
Kata Irfan, pasukannya memiliki
beberapa peluang mencipta jaringan namun gandingan Rizal Hassan dan Azmi
Mohamed tidak dapat melakukan penyudah. Beliau yakin kehadiran Zami meyakinkan
peluang Negeri Sembilan untuk menewaskan Terengganu dalam kempen pertama esok.
Berdasarkan rekod dalam dua
perlawanan liga yang lalu, kelebihan milik Negeri Sembilan yang menewaskan
lawan 2-1 di tempat lawan dan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
''Rekod ini cukup meyakinkan
tetapi saya tidak anggap mudah khususnya bermain di tempat lawan,'' katanya.
Mengulas mengenai peluang
pasukannya untuk mencabar Pahang yang kini berpeluang meraih Perdana Satu
dengan baki satu perlawanan lagi beliau berkata, sesuatu yang mustahil bagi
pasukannya mencabar skuad Tok Gajah itu.
Ketika ini Pahang yang menang
1-0 ke atas Pulau Pinang mendahului liga dengan 32 mata manakala Negeri
Sembilan pula dipisahkan dengan tiga mata memiliki 29 mata berada di tempat
kedua.
Irfan mengharapkan pasukannya
mencapai kemenangan selesa dengan jaringan 3-0 bila bertemu Brunei di Stadium
Negara Hasanal Bolkiah Sabtu ini sambil mengharapkan Pahang pula tewas 0-2
kepada Kedah.
Keputusan ini menyaksikan
kedua-dua pasukan terikat dengan 32 mata tetapi dipisahkan dengan perbezaan
jaringan.
''Ini sesuatu yang mustahil
tetapi ia mungkin boleh terjadi,'' kata Irfan yang tetap berpuas hati jika
pasukannya akur untuk berada di tempat kedua liga.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RsZNhsZ2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan