ARKIB : 27/05/1999
NEGERI Sembilan menarik nafas
lega selepas menang bergaya 3-0 ke atas Pahang pada perlawanan suku akhir
pertama bola sepak Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam
sekali gus memperoleh bekalan selesa bagi perlawanan kedua di tempat lawan.
Mohd. Shukor Adan menjadi wira
skuad Rusa dengan dua jaringannya pada minit ke-46 dan 86 manakala pemain
pertahanan, Khairul Anuar Baharom menambah satu lagi gol pada minit ke-63.
Kemenangan pasukan bimbingan
Irfan Bakti itu menebus dendam dimalukan Pahang 5-0 pada perlawanan liga
sebelum ini.
Tidak banyak percubaan
dilakukan Negeri Sembilan mahupun Pahang dalam perlawanan yang hambar.
Bagaimanapun, perlawanan
tiba-tiba rancak pada babak kedua apabila Negeri Sembilan mendapat gol
pembukaan seminit selepas permainan dimulakan.
Penyerang kebangsaan, Zami
Mohd. Nor membuat umpanan cantik di dalam kotak penalti kepada Shukor yang
tidak dikawal dan pemain tengah itu membuat rembatan leret ke sebelah tepi
gawang yang gagal diselamatkan penjaga gol Pahang, Mudzar Mohamad.
Gol itu menambah semangat
Negeri Sembilan yang menggandakan asakan ketika Pahang cuba mencari gol
penyamaan.
Pada minit ke-63, Khairul
bermain satu dua dengan Rezal Hassan dalam kotak penalti sebelum pemain
pertahanan itu melepaskan tendangan kencang untuk menewaskan Mudzar buat kali
kedua.
Pahang semakin tertekan
sebaliknya, Rusa tambah garang apabila Shukor sekali lagi menemui sasaran empat
minit sebelum tamat permainan menerusi cara jaringan yang serupa dengan gol
pertama selepas mendapat hantaran Ahmad Shahrulazhar Sofian
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4RmQA9k6o
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan