ARKIB : 09/06/1999
NEGERI Sembilan semakin
menghampiri tangga teratas Perdana Satu selepas membenam Terengganu 2-0 pada
perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Jaringan skuad Rusa diperoleh
pada minit ke-27 dan 90 menerusi Azmi Mohamad dan Rezal Hassan, lapor MEOR
HARMAN MEOR SHAKRI.
Gol pembukaan Rusa diperoleh
menerusi tolakan mudah oleh Azmi sekali gus merancakkan permainan anak buah
Irfan Bakti.
Ia berpunca daripada gerakan
cantik Rezal yang memperdaya pertahanan lawan sebelum mengumpan bola ke arah
Azmi.
Derita Penyu bertambah parah
apabila Rezal bertindak melengkapkan kemenangan skuad Rusa menerusi jaringan
pada minit ke-90 selepas bertindak solo meledakkan bola ke gawang Terengganu.
Bermain di hadapan kira-kira
3,000 penonton tempatan ternyata membakar semangat skuad Rusa untuk mengasak
kubu pelawat.
Dendam Terengganu untuk menebus
kehampaan selepas peringkat awal menjadi azimat skuad Penyu untuk mematahkan
segala asakan jentera serangan tuan rumah.
Usaha pelawat untuk mencari gol
penyamaan nyaris diperoleh pada minit ke-56 apabila rembatan pemain Sapian
Abdul Wahid meluru ke arah gawang namun tendangan itu berjaya dikuis keluar
oleh Thing Hong Aik.
Babak kedua permainan semakin
rancak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mencari
jaringan.
Negeri Sembilan kemudian
melakukan dua pertukaran dengan mengeluarkan Leong Hong Seng dan Azmi serta
memasukkan Arfandi Lokman dan Tuan Kamree Yahya.
Manakala Terengganu membuat
tiga pertukaran dengan mengeluarkan Roshadi Wahab, Rosdi Talib dan Badrul
Hisham Abdullah serta memasukkan Abdul Ghani Malik, Shamsul Saad dan Baharuddin
Ali.
Terengganu yang tertekan dengan
corak permainan kemas Negeri, mula mempamerkan permainan keras sehingga
beberapa penyerang tuan rumah pula tertekan.
Kedua-dua pasukan terus
mengasak lawan masing-masing dengan corak pantas namun keputusan tetap
menyebelahi Negeri sehingga wisel penamat dibunyikan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4RqPK7nS7
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan