Ahad, 25 Disember 2016

Keramat Paroi

Arkib 2016
 
PEMAIN Negeri Sembilan Goran Jerkovic (tengah) antara sandaran skuad Jang.

Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my


Seremban: Negeri Sembilan bertekad untuk memastikan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dapat dimanfaatkan bagi mencari bekalan selesa apabila turun menentang Kedah, dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Pertahanan tengah pasukan itu, Mohd Nasriq Baharom berkata, biarpun misi itu bukan mudah dicapai kerana mengakui ada jurang antara mereka dengan pasukan lawan, tetapi mereka yakin matlamat itu tidak mustahil dicapai.


Menurutnya, pemain skuad itu perlu ada keyakinan diri untuk memastikan reputasi skuad Helang Merah yang turun selaku antara pasukan terbaik dalam Liga Super, dapat diatasi.

Tonggak berpengalaman itu yang pernah merasai suasana cabaran dalam Piala Malaysia ketika bersama Selangor dan FELDA United berkata, keyakinan diri yang tinggi dan fokus terhadap perlawanan, menjadi elemen penting ketika berdepan saingan peringkat tertinggi itu.

“Berbeza dengan saingan dalam Liga Perdana, cabaran suku akhir Piala Malaysia menuntut setiap pemain memberikan persembahan lebih 100 peratus, tambahan pula kita akan berdepan dengan Kedah, yang sudah membuktikan kemampuan mereka dalam Liga Super.

“Justeru, pemain Negeri Sembilan perlu ada keyakinan untuk menghadapi cabaran itu, Ahad ini, dan kelebihan beraksi di tempat sendiri tidak boleh dipersiakan untuk kita menang,” katanya semalam.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata, dia dan rakan sepasukan sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mengalas cabaran dan bertekad memberi persembahan terbaik dalam misi melakar kemenangan.

Menurut Nasriq, biarpun ramai pihak beranggapan skuad Hoben Jang Hoben bakal berdepan laluan sukar untuk mengatasi Kedah berpandukan prestasi tidak menentu dalam saingan Liga Perdana, namun dia yakin mereka boleh mencipta kejutan.

Malah, dia yakin rakan sepasukan tidak akan mensesiakan peluang untuk membawa pasukan melangkah lebih jauh dalam kempen merebut trofi berprestij itu, selepas sasaran untuk menjuarai Liga Perdana, tersasar.

“Selepas sasaran dalam liga tidak tercapai, kami akan menggunakan peluang dan kesempatan dalam saingan Piala Malaysia ini untuk mencipta sesuatu yang terbaik,” katanya.

Menurutnya, kemaraan sehingga ke peringkat suku akhir Piala Malaysia membangkitkan semangat pemain terutama barisan muda dalam skuad itu, yang belum pernah merasai suasana dan cabarannya.

Oleh itu dia yakin, situasi itu akan mendorong setiap pemain berusaha keras untuk memberikan persembahan terbaik dan habis-habisan, esok.

“Saya berharap penyokong dapat hadir ke stadium bagi memberikan sokongan kerana sokongan mereka amat diharapkan dalam membantu menaikkan semangat serta meningkatkan keyakinan pemain,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:24 AM

Sabtu, 17 Disember 2016

JKR cipta kejutan ke atas NS

ARKIB : 26/03/2000
JKR Kelantan mencipta kejutan apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan bola sepak Piala FA peringkat pertama pusingan kedua di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu semalam.

Walaupun Negeri Sembilan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Azman Adnan pada minit ke-54, namun pasukan pelawat gagal mempertahankan kedudukan tersebut.

JKR Kelantan sebaliknya bangkit pada 20 minit terakhir perlawanan dan hasil asakan bertubi-tubi mendapatkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh bekas penyerang kebangsaan dan Johor, Hashim Mustapha pada minit ke-78.

Gol itu menyaksikan tuan rumah terus bertindak garang dan Rosli Ismail muncul wira apabila menyumbat gol kemenangan pada minit ke-83.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Pulau Pinang mencatat kemenangan 2-1 ke atas NS Chempaka.

Pasukan pelawat itu hanya mengambil masa dua minit pertama permainan untuk mendahului NS Chempaka menerusi Mohd. Faizal Zainal.

Bagaimanapun penyerang Chempaka, R. Sekar meletakkan pasukannya kembali bersaing dengan jaringan gol penyamaan pada minit ke-14.

Kegembiraan pasukan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Hasmawi Hassan meletakkan semula Pulau Pinang di hadapan hasil umpanan cantik Faizal pada minit ke-28.

Dalam perlawanan di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah mudah menewaskan TNB Kelantan 3-0.

Gol-gol Perak dihasilkan oleh K. Nanthakumar pada minit ke-22 sebelum Liew Kit Kong mengukuhkan kedudukan menerusi jaringan pada minit ke-45.

Tidak cukup dengan dua jaringan itu, Perak terus mengasak pada babak kedua permainan dan kesempatan terbaik pada minit ke-66 disempurnakan oleh M. Nagaraja untuk gol ketiga tuan rumah.

Dua pemain Pulau Pinang, Moey Kok Hong dan Wong Kah Loon serta seorang pemain NS Chempaka, Mohd. Mohd. Khaidir Mohd. Dom dilayang kad kuning.

Di Johor Bahru tuan rumah, Johor FC terpaksa seri 2-2 menentang Sarawak dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Pasir Gudang.

Gol pertama Johor FC dijaringkan oleh Harun Laban selepas kesilapan penjaga gol Sarawak, Mazlan Wahid yang gagal menangkap kemas bola tendangan lambung Hairy Azly Mahamad seawal minit pertama.

Sarawak menyamakan kedudukan hasil jaringan Dahlan Matusin menerusi tandukan pada minit ke-31 selepas menerima tendangan percuma daripada Bobby Chua.

Andrew Laban kembali meletakkan Johor FC di hadapan dengan gol kedua pada minit ke-43 selepas menyambar bola muntah yang ditampan oleh penjaga gol Sarawak, Mazlan Wahid. Ia berpunca daripada percubaan Shukri Ismail.

Sarawak yang mahu mengharapkan tugas mudah di Kuching dalam perlawanan kedua minggu depan, bangkit menyamakan kedudukan melalui Affendi Julaihi yang menanduk bola hasil dari tendangan sudut yang diambil oleh Ali Sapiee pada minit ke-58

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4T73uzZ6y © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 14 Disember 2016

Rizal Sukiman dilamar Rusa

ARKIB : 22/01/2000
BEKAS pemain kebangsaan, Rizal Sukiman kini dilamar oleh pasukan Negeri Sembilan bagi mendapatkan khidmat pemain tersebut dalam menghadapi cabaran Liga Perdana musim imi, lapor ISHAK SALLEH.

Perkara tersebut telah disuarakan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan melalui sepucuk surat kepada Persatuan Bola Sepak Johor bagi meminta izin untuk mengadakan perbincangan dengan pemain tersebut.

Pengurus pasukan, Ahamad Mohamad berkata, pihaknya tidak ada halangan bagi memberikan kebenaran kepada pasukan Negeri Sembilan dan juga pemain tersebut.

Katanya, penghijirahan pemain merupakan perkara biasa dalam era profesional dan pada kebiasaannya, para pemain akan berhijrah apabila ada penawaran yang lebih tinggi.

Beliau yang baru kembali dari Eropah berkata, penghijrah pemain Johor tidak bermakna Johor akan menghadapi kesukaran musim ini.

''Seperti kelab-kelab profesional di Eropah, kadang-kadang kelab tidak ternama mampu menewaskan kelab ternama,'' katanya.

Beliau juga memperbetulkan keadaan dengan menyatakan, Johor telah menggugurkan tiga pemain iaitu Annuar Abu Bakar, M. Chandran dan Salim Khamis dan salah sekiranya menyatakan, ketiga-tiga pemain itu telah berhijirah.

Katanya, hanya tiga pemain sahaja yang telah dan akan berhijrah iaitu Rosdi Sulong, Rizal Sukiman dan Idris Karim sementara R. Suresh yang dikatakan akan ke Kelantan adalah tidak benar kerana pemain ini masih terikat dengan Johor.

Sementara itu, skuad Jengking akan mengadakan pemilihan pemain bagi menghadapi Liga Perdana musim ini bertempat di Padang Sri Gelam, Johor dari 29 hingga 31 Januari ini.

Pemilihan pemain itu akan dijalankan oleh Ketua Jurulatih, Steve Darby dan ahli panel pemilihan.

Mereka yang berminat untuk menyertai skuad itu boleh menghadirikan diri dengan membawa kelengkapan sendiri pada hari tersebut.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4StG7DMKR © Utusan Melayu (M) Bhd

Rusa dibarisi pemain-pemain ternama

ARKIB : 20/01/2000
SKUAD Rusa yang diperkuatkan dengan penyerang sensasi, Azman Adnan musim ini akan turut dibarisi pemain-pemain yang sudah mencipta nama seperti Salim Khamis, Yap Wai Loon dan Rizal Sukiman, lapor ZULKIFLI ABDULLAH.

Dengan adanya pemain-pemain senior dan kebangsaan itu, sudah jelas memperlihat tekad Negeri Sembilan untuk mencipta kejayaan bermakna selepas tersekat di peringkat separuh Piala Malaysia pada tahun 1998 dan 1999.

Pengurus skuad Rusa, Wan Zainal Abidin Wan Abdullah memberitahu, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) sedang berusaha berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bagi mendapatkan khidmat Wai Loon.

Di samping itu, katanya, usaha juga sedang dibuat dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bagi mendapatkan pelepasan pemain tengah, Rizal Sukiman bagi menyarung jersi Rusa pada musim ini.

''PBNS sudah pun menandatangani kontrak dengan pemain pertahanan Johor, Salim Khamis untuk memantapkan benteng pertahanan Negeri Sembilan baru-baru ini,'' katanya di Seremban semalam.

Wan Zainal berkata demikian selepas majlis menandatangani kontrak Azman dengan PBNS yang turut disaksikan oleh Presidennya, Tan Sri Mohd. Isa Samad di pejabat Menteri Besar semalam.

Kehadiran penjaring terbanyak Perdana Satu musim lalu, Azman yang akan digandingkan dengan Azmi Mohamed dan Khairul Anuar Baharom dijangka memberi saingan hebat pada musim ini serta meletakkan skuad Rusa antara pasukan yang digeruni pasukan-pasukan lain.

Anak kelahiran Negeri Sembilan itu kemudiannya memberitahu, beliau menerima banyak tawaran termasuk dari sebuah kelab di Singapura dan beberapa pasukan negeri lain tetapi berhasrat untuk menabur bakti dan memberi bimbingan kepada pemain-pemain muda negeri ini.

''Selepas meneliti tawaran ini, saya mengambil keputusan menyertai pasukan Negeri Sembilan dengan harapan untuk memberikan persembahan terbaik pada setiap perlawanan.

''Terima kasih kepada PBNS yang sudi menerima saya kembali,'' ujarnya.

Mengenai kecederaan yang dialaminya semasa mewakili pasukan Harimau Kumbang musim lalu, Azman memberitahu, kecederaan itu sudah beransur pulih dan yakin tidak akan menghalangnya beraksi untuk Negeri Sembilan.

Mohd. Isa menegaskan, biarpun Azman telah mengecewakan PBNS dengan menolak perlawanan Rusa pada tahun 1997 sebaliknya menyertai Selangor ia sama sekali tidak menimbulkan dendam kesumat kepada pemain tersebut.

''Kami di PBNS tidak berdendam sebab itu kami menerima semula Azman dan percaya dengan komitmen semua pemain, pasukan Negeri Sembilan akan menunjukkan permainan cemerlang,'' tambahnya.

Skuad Rusa akan menjalani latihan dalam tempoh yang terdekat ini di bawah jurulatih Zaki Sheikh Ahmad dan penolong jurulatih, Ahmad Osman.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SsPi60v0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 5 Disember 2016

Mampukah NS sekat Penyu

ARKIB : 26/06/1999
SATU gelaran sudah terlepas buat empat pasukan yang pasti tidak mahu membiarkan hajat seterusnya - memiliki gelaran ketiga berprestij bola sepak negara, Piala FA 1999 - berkubur begitu sahaja sebaik berlangsungnya separuh akhir kedua, malam ini.

Setelah Liga Perdana Satu tahun ini dimiliki Pahang, Piala FA bakal menjadi penawar Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah atau Kuala Lumpur yang bakal menyajikan saingan begitu sengit.

Namun, kelebihan awal berpihak kepada Terengganu dan Kuala Lumpur yang mencipta kemenangan dalam separuh akhir pertama di gelanggang sendiri sebelum bertandang ke stadium lawan.

Terengganu agak selesa apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-0 manakala Kuala Lumpur sekadar mencipta kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah.

Di sebalik kemenangan 2-0, Terengganu berdepan tentangan sengit daripada Negeri Sembilan dalam pertarungan separuh akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi

Walaupun ketinggalan dua jaringan, Negeri Sembilan sudah tentu tidak mahu melepaskan peluang beraksi di gelanggang sendiri untuk membuka laluan ke perlawanan akhir Piala FA, sesuatu yang diidamkan sejak sekian lama.

Negeri Sembilan memiliki barisan pemain handalan seperti tonggak skuad kebangsaan, penjaga gol, Azmin Azram Aziz, B. Rajinikandh dan Zami Mohd. Noor yang boleh menggugat skuad lawan.

Bagaimanapun, Terengganu juga mempunyai impian yang sama untuk memburu Piala FA 1999 setelah gagal menjuarai Piala Malaysia tahun lalu dan terpaksa bermain dalam play off sebagai kelayakan ke Piala Malaysia musim ini.

Beraksi dalam play off masih belum memastikan janji Terengganu untuk layak ke Piala Malaysia kerana berdepan beberapa lagi pasukan yang boleh mengancam kedudukannya.

Sehubungan itu, daripada ''dikejar tidak dapat, dikendong pula keciciran,'' Terengganu mahu memastikan kelebihan dua jaringan sebagai pendorong untuk terus memberi tekanan kepada Negeri Sembilan bagi menepati matlamat ke perlawanan akhir.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, pasukan tuan rumah Sabah masih mempunyai kesempatan untuk mengatasi Kuala Lumpur yang sekadar berbekal satu jaringan.

Berbekal kelebihan satu jaringan, Kuala Lumpur menghadapi tugas berat untuk menentang Sabah yang mempunyai semangat cukup tinggi seperti dipamerkan dalam Perdana Satu.

Bayangkan, daripada skuad kelompok terbawah Perdana Satu, Sabah bukan sahaja ''melonjak'' ke atas untuk layak ke Piala Malaysia, malah kemampuannya mendudukki tangga keempat perlu diberi perhatian.

Hanya satu masalah yang membimbangkan Sabah apabila tonggak pertahanan Vaselin Kovacevic, Jelius Ating dan penyerangnya, David Rocastle mengalami kecederaan tetapi barisan simpanan pasukan ''Negeri Di Bawah Bayu'' masih mampu melaksanakan tugas dengan berkesan.

Kuala Lumpur pula tidak bersandarkan ''bintang'' tetapi barisan pemain mudanya mempunyai tahap kecergasan tinggi untuk menyekat Sabah yang mencari kelebihan agregat di gelanggang sendiri.

Jurulatih Mat Zan Mat Aris sudah pasti meletakkan pemain terbaiknya untuk memastikan kemenangan tipis diperoleh bakal menjanjikan kemenangan skuad ''warga kota'' bukannya pemusnah selepas berpenat membuka peluang yang mungkin sukar terhidang lagi.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RxMaPCli © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 4 Disember 2016

Kehadiran Zami ceriakan NS

ARKIB : 14/06/1999
NEGERI Sembilan mendapat khabar gembira dengan kehadiran semula penyerang kebangsaan, Zami Mohd. Noor bagi memperkukuhkan jentera serangan menghadapi Terengganu dalam kempen separuh akhir pusingan pertama bola sepak Piala FA malam esok. Tanpa Zami yang diketepikan akibat kecederaan, jentera serangan Negeri Sembilan kurang menyengat apabila hanya seri 1-1 ke atas Sarawak dalam perlawanan Perdana Satu di gelanggang sendiri kelmarin.

Menurut jurulatihnya, Irfan Bakti, ketiadaan penyerang itu yang diketepikan dalam dua perlawanan liga menyebabkan jentera serangan kurang bermaya.

''Saya lega Zami sudah pulih sepenuhnya dan bersedia beraksi menentang Terengganu di tempat lawan esok.

''Kehadiran dia sememangnya diharapkan ketika perlawanan ini amat penting buat Negeri Sembilan untuk mencari tempat beraksi ke perlawanan akhir,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau menambah, tanpa penyerang tinggi lampai itu pasukannya gagal mencipta jaringan dengan banyak peluang yang terhidang sewaktu seri dengan Sarawak tetapi tewas 3-2 menerusi penentuan tendangan penalti.

Kata Irfan, pasukannya memiliki beberapa peluang mencipta jaringan namun gandingan Rizal Hassan dan Azmi Mohamed tidak dapat melakukan penyudah. Beliau yakin kehadiran Zami meyakinkan peluang Negeri Sembilan untuk menewaskan Terengganu dalam kempen pertama esok.

Berdasarkan rekod dalam dua perlawanan liga yang lalu, kelebihan milik Negeri Sembilan yang menewaskan lawan 2-1 di tempat lawan dan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

''Rekod ini cukup meyakinkan tetapi saya tidak anggap mudah khususnya bermain di tempat lawan,'' katanya.

Mengulas mengenai peluang pasukannya untuk mencabar Pahang yang kini berpeluang meraih Perdana Satu dengan baki satu perlawanan lagi beliau berkata, sesuatu yang mustahil bagi pasukannya mencabar skuad Tok Gajah itu.

Ketika ini Pahang yang menang 1-0 ke atas Pulau Pinang mendahului liga dengan 32 mata manakala Negeri Sembilan pula dipisahkan dengan tiga mata memiliki 29 mata berada di tempat kedua.

Irfan mengharapkan pasukannya mencapai kemenangan selesa dengan jaringan 3-0 bila bertemu Brunei di Stadium Negara Hasanal Bolkiah Sabtu ini sambil mengharapkan Pahang pula tewas 0-2 kepada Kedah.

Keputusan ini menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan 32 mata tetapi dipisahkan dengan perbezaan jaringan.

''Ini sesuatu yang mustahil tetapi ia mungkin boleh terjadi,'' kata Irfan yang tetap berpuas hati jika pasukannya akur untuk berada di tempat kedua liga.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RsZNhsZ2 © Utusan Melayu (M) Bhd

NS masih memburu

ARKIB : 13/06/1999
NEGERI Sembilan mengesahkan tempat ke Piala Malaysia secara automatik, sekali gus meneruskan saingan untuk memburu kejuaraan bola sepak Liga Perdana Satu meskipun tewas 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan masa penuh terikat 1-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Sebaliknya, Sarawak masih terpaksa menunggu perlawanan terakhir untuk layak ke Piala Malaysia walaupun berjaya mencuri dua mata di tempat lawan.

Negeri Sembilan ketinggalan pada minit ke-15 menerusi jaringan penyerang Sarawak, Mohd. Safri Amit sebelum Mohd. Rezal Hassan menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian.

Kedua-dua pasukan gagal menambah sebarang gol pada babak kedua yang memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti yang memihak kepada Bujang Senang.

Sementara itu di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah sudah boleh melupakan hajat untuk mempertahankan mahkota Piala Malaysia apabila tewas 1-3 menerusi penentuan tendangan penalti kepada Kuala Lumpur selepas terikat 0-0.

Ketika persaingan untuk layak ke Piala Malaysia menjadi matlamat, gol awal jelas menjadi buruan kedua-dua pasukan sebaik babak pertama dimulakan.

Perak menerusi Azrul Amri Burhan lebih dulu mencemaskan pertahanan Kuala Lumpur pada minit ke-3 tetapi percubaan dari luar kotak penalti tidak menepati sasaran.

Kuala Lumpur yang cuba bertindak balas banyak menggunakan serangan balas pantas untuk menembusi pertahanan tuan rumah tetapi mendapati sukar melepasi benteng yang diketuai Roslan Hamid.

Perak selepas itu lebih banyak menguasai permainan dan pada minit ke-25, Azrul sekali lagi terlepas peluang bila kawalan kemasnya dalam kotak penalti berjaya menewaskan dua pertahanan Kuala Lumpur tetapi gagal pula menyepak kemas.

Berakhir tanpa jaringan, babak kedua menyaksikan permainan berubah tempo dengan kedua-dua pasukan bermain lebih agresif untuk memecah kebuntuan gol.

Namun tiada jaringan dihasilkan dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan bagi penentuan dibuat menerusi tendangan penalti.

Sementara itu, harapan Terengganu untuk beraksi dalam Piala Malaysia belum pudar apabila menewaskan Bru]nei 2-0 di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pasukan Penyu yang berada di tangga terbawah liga berjaya menyelamatkan air mukanya setelah mendapat tendangan penalti pada minit ke-32 separuh masa kedua apabila bola terkena tangan salah seorang pemain pertahanan Brunei.

Tendangan penalti itu yang diambil oleh Mohd. Noor Derus ditendang dengan mudah dan gagal diselamatkan oleh penjaga gol Brunei, Ibrahim Abu Bakar.

Zulharishan Awang pula berjaya menjaring kedua Terengganu pada minit ke-37 separuh masa kedua setelah berlaku perebutan di depan pintu gawang Brunei.

Sebelum itu pada separuh masa pertama memperlihatkan lebih empat kali cubaan kencang dilakukan oleh pemain-pemain Terengganu ke pintu gol lawan tetapi gagal disudahkan oleh pemain mereka sendiri.

Mohd. Nafuzi Zain yang jarang sekali diturunkan pada perlawanan Liga Perdana ini gagal menyempurnakan umpanan yang diterima daripada rakan-rakannya walaupun berpeluang berbuat demikian.

Bagaimanapun Mohd. Nafuzi turut bertindak cemerlang dengan cubaan kencang pada minit ke-20, ke-39 dan ke-43 tetapi berjaya disekat oleh penjaga gol Brunei.

Brunei bagaimanapun memperlihatkan asakannya pada separuh masa kedua dengan cubaan yang dilakukan oleh Rosli Leman pada minit ke-24 tetapi gagal mendapat penyudahnya.

Pada separuh masa pertama pemain-pemain Brunei yang cuba menggasak ke kubu lawan bagaimanapun sering terperangkap dengan off-side.

Dua pemainnya iaitu Rosli Liman dan Mohd Brian Iman Bothwell menerima kad kuning masing-masing pada separuh masa pertama dan separuh masa kedua.

Pada minit ke-22 separuh masa kedua berlaku perlanggaran antara pemain Terengganu dengan penjaga gol, Jeffrey Mohamad di hadapan pintu gol Brunei menyebabkan kecederaan kepada Jeffrey dan terpaksa diusung keluar.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&secSukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RsPxqggD 

Sabtu, 3 Disember 2016

Rusa benam skuad Penyu

ARKIB : 09/06/1999
NEGERI Sembilan semakin menghampiri tangga teratas Perdana Satu selepas membenam Terengganu 2-0 pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Jaringan skuad Rusa diperoleh pada minit ke-27 dan 90 menerusi Azmi Mohamad dan Rezal Hassan, lapor MEOR HARMAN MEOR SHAKRI.

Gol pembukaan Rusa diperoleh menerusi tolakan mudah oleh Azmi sekali gus merancakkan permainan anak buah Irfan Bakti.

Ia berpunca daripada gerakan cantik Rezal yang memperdaya pertahanan lawan sebelum mengumpan bola ke arah Azmi.

Derita Penyu bertambah parah apabila Rezal bertindak melengkapkan kemenangan skuad Rusa menerusi jaringan pada minit ke-90 selepas bertindak solo meledakkan bola ke gawang Terengganu.

Bermain di hadapan kira-kira 3,000 penonton tempatan ternyata membakar semangat skuad Rusa untuk mengasak kubu pelawat.

Dendam Terengganu untuk menebus kehampaan selepas peringkat awal menjadi azimat skuad Penyu untuk mematahkan segala asakan jentera serangan tuan rumah.

Usaha pelawat untuk mencari gol penyamaan nyaris diperoleh pada minit ke-56 apabila rembatan pemain Sapian Abdul Wahid meluru ke arah gawang namun tendangan itu berjaya dikuis keluar oleh Thing Hong Aik.

Babak kedua permainan semakin rancak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mencari jaringan.

Negeri Sembilan kemudian melakukan dua pertukaran dengan mengeluarkan Leong Hong Seng dan Azmi serta memasukkan Arfandi Lokman dan Tuan Kamree Yahya.

Manakala Terengganu membuat tiga pertukaran dengan mengeluarkan Roshadi Wahab, Rosdi Talib dan Badrul Hisham Abdullah serta memasukkan Abdul Ghani Malik, Shamsul Saad dan Baharuddin Ali.

Terengganu yang tertekan dengan corak permainan kemas Negeri, mula mempamerkan permainan keras sehingga beberapa penyerang tuan rumah pula tertekan.

Kedua-dua pasukan terus mengasak lawan masing-masing dengan corak pantas namun keputusan tetap menyebelahi Negeri sehingga wisel penamat dibunyikan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4RqPK7nS7 © Utusan Melayu (M) Bhd

NS belasah Pahang


 

ARKIB : 30/05/1999
NS belasah Pahang
PEMAIN Perak, Domi Che Non terpaksa melompat selepas dihalang oleh penjaga gol Terengganu, Zubir Ibrahim sambil dibantu oleh Abd Ghani Malik (kanan) dalam perlawanan Perdana Satu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Trengganu semalam. - Gambar ABD RAHMAN SALEH.

NEGERI Sembilan menyulitkan kedudukan Pahang untuk terus menerajui liga bola sepak Perdana Satu apabila menewaskan lawan 4-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, semalam.

Jaringan besar tuan rumah sekali gus mencipta aib besar buat Pahang biarpun tidak terusik di tangga teratas setelah pencabar terdekatnya, Pulau Pinang sekadar menang menerusi sepakan penalti.

Skuad Tok Gajah kini mengumpul 26 mata tetapi kekal teratas dengan kelebihan jaringan walaupun terikat dengan Pulau Pinang yang menambah dua mata di Kuching, semalam.

Penyerang kebangsaan, Zami Mohd. Noor memulakan usaha 'melukakan' Pahang itu apabila sentuhannya menepati sasaran pada minit ke-22.

Negeri Sembilan kian garang pada minit ke-37 dengan Azmi Mohamad, bekas pemain kebangsaan membawa tuan rumah mara 2-0 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Pahang terus longlai di bawah kesungguhan skuad Rusa untuk memburu gol apabila jaringan Leong Hong Seng dan Khairil Zainal melengkapkan kemenangan tuan rumah pada minit ke-70 dan 90.

Sabah pula meneruskan kecemerlangan apabila menumpaskan Brunei 3-0 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Stadium Barakas, Bandar Seri Begawan.

Ini merupakan kemenangan ketiga berturut-turut bagi Sabah sejak Ken Worden mengambil alih melatih skuad Badak dari Justin Ganai, awal bulan ini.

Begitu pun, kedudukan Sabah dalam liga kekal di tangga tercorot tetapi berkongsi 19 mata dengan lima pasukan di atas apabila pasukan terdekat, Perak turut meraih kemenangan semalam.

Pada perlawanan semalam, penjaga gol berpengalaman Khairul Azman Mohamad muncul penyelamat bagi Sabah apabila berjaya mempertahankan gawangnya sehingga memaksa penentuan sepakan penalti.

Ketangkasan Khairul menyelamatkan pintu golnya apabila kedudukan terikat tanpa jaringan sepanjang 90 masa permainan, memberikan dua mata kepada Sabah untuk mencerahkan peluang bermain dalam Piala Malaysia.

Sebaliknya Brunei, yang turut mempamerkan persembahan memberangsangkan sejak akhir-akhir ini, terpaksa berpuas hati dengan hanya meraih satu mata selepas gagal memanfaatkan peluang bermain di gelanggang sendiri.

Walaupun kedua-dua pasukan saling menyerang, tiada satupun jaringan dapat disaksikan sepanjang masa permainan sehingga memaksa perlawanan ditentukan dengan sepakan penalti.

Khairul bagaimanapun bertindak cemerlang untuk tidak melepaskan sebarang gol dalam tiga sepakan penalti oleh pemain Brunei berbanding pemain Sabah yang berjaya melaksanakan tugas mereka dengan sempurna.

Dua mata milik muktamad Sabah apabila tiga sepakan penalti menghasilkan gol ketika tiga lagi sepakan oleh pemain Brunei gagal membuahkan sebarang hasil.

Sementara itu, Azrul Amri Burhan bertindak cemerlang dengan menyumbat dua gol untuk membantu Perak menang 2-1 ke atas Terengganu dan seterusnya bangkit daripada kedudukan terbawah dalam senarai kedudukan mata.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam tercemar dengan kad merah yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain.

Azrul menyumbat gol pertama untuk Perak pada minit ke-53 hasil sepakan percuma dan disusuli pula dengan gol keduanya pada minit ke-58.

Terengganu yang menyerang balas berjaya merapatkan jurang pada minit ke-60 menerusi Sapian Wahid hasil hantaran Badrul Hisham Abdullah.

Terdahulu, kekasaran berlaku antara kedua-dua pasukan pada minit ke-32 menyebabkan pengadil perlawanan Mohd. Nazri Abdullah melayangkan kad merah kepada Anuar Jusoh dan Abu Bakar Fadzim.

Mohd. Nazri turut melayangkan kad kuning kepada pemain Terengganu, Rosli Omar pada minit ke-24 dan kepada pemain Perak, Domi Che Non pada minit ke-35.

Perlawanan separuh masa kedua juga menyaksikan pergerakan pemain Terengganu yang serba tidak kena menyebabkan benteng pertahanannya gagal memintas pasukan lawan.

Perak menerima tendangan percuma di luar kawasan penalti Terengganu dan tendangan Domi Che Non terkena benteng pertahanan Terengganu tetapi dirembat kali kedua oleh Azrul Amri.

Azrul Amri menghukum pertahanan Terengganu yang sering membuat kesilapan lima minit kemudian dengan gol kedua peribadinya untuk mencerahkan harapan dan peluang Perak.

Terengganu walaupun ketinggalan 2-0, tidak berputus asa dan dua minit kemudian Sapian Wahid merapatkan kedudukan.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RmomB9l6 © Utusan Melayu (M) Bhd

Shukor wira skuad Rusa

ARKIB : 27/05/1999
NEGERI Sembilan menarik nafas lega selepas menang bergaya 3-0 ke atas Pahang pada perlawanan suku akhir pertama bola sepak Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam sekali gus memperoleh bekalan selesa bagi perlawanan kedua di tempat lawan.

Mohd. Shukor Adan menjadi wira skuad Rusa dengan dua jaringannya pada minit ke-46 dan 86 manakala pemain pertahanan, Khairul Anuar Baharom menambah satu lagi gol pada minit ke-63.

Kemenangan pasukan bimbingan Irfan Bakti itu menebus dendam dimalukan Pahang 5-0 pada perlawanan liga sebelum ini.

Tidak banyak percubaan dilakukan Negeri Sembilan mahupun Pahang dalam perlawanan yang hambar.

Bagaimanapun, perlawanan tiba-tiba rancak pada babak kedua apabila Negeri Sembilan mendapat gol pembukaan seminit selepas permainan dimulakan.

Penyerang kebangsaan, Zami Mohd. Nor membuat umpanan cantik di dalam kotak penalti kepada Shukor yang tidak dikawal dan pemain tengah itu membuat rembatan leret ke sebelah tepi gawang yang gagal diselamatkan penjaga gol Pahang, Mudzar Mohamad.

Gol itu menambah semangat Negeri Sembilan yang menggandakan asakan ketika Pahang cuba mencari gol penyamaan.

Pada minit ke-63, Khairul bermain satu dua dengan Rezal Hassan dalam kotak penalti sebelum pemain pertahanan itu melepaskan tendangan kencang untuk menewaskan Mudzar buat kali kedua.

Pahang semakin tertekan sebaliknya, Rusa tambah garang apabila Shukor sekali lagi menemui sasaran empat minit sebelum tamat permainan menerusi cara jaringan yang serupa dengan gol pertama selepas mendapat hantaran Ahmad Shahrulazhar Sofian

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4RmQA9k6o © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 2 Disember 2016

Negeri Sembilan sekat hajat Kedah

ARKIB : 12/05/1999
HASRAT Kedah (Kenari) untuk terbang menggapai awan biru kecundang jua selepas terkulai dibelasah Negeri Sembilan 0-2 pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Corak permainan keras yang dipamerkan oleh skuad Kenari tidak berkesan malah mudah dijinakkan dengan permainan kemas yang ditonjolkan oleh anak buah jurulatih Irfan Bakti.

Zami Mohd. Noor dan Azmi Mohamad muncul wira tuan rumah apabila memusnahkan impian Kedah pada minit-minit ke-25 dan 34.

Gol pertama Negeri berpunca daripada gerakan pantas Azmi yang berjaya mengelecek tiga pemain benteng Kedah sebelum membuat hantaran lambung kepada Zami.

Zami yang berada dalam keadaan sukar bagaimanapun mempamerkan kemahiran yang cukup menyaksikan sepakan libasnya menerjah gawang Kedah tanpa dapat diselamatkan oleh Amran Omar.

Belum pun Kenari dapat menarik nafas seketika, Negeri Sembilan sekali lagi menghukum lawannya dengan tambahan jaringan oleh Azmi pada minit ke-34.

Gol Azmi itu berpunca daripada hantaran Leong Hong Seng yang pada mulanya ditampan oleh Amran namun bola yang termuntah keluar pantas disambar Azmi untuk merembat kencang.

Kedah yang tenggelam punca ternyata terpaku dengan gerakan pantas jentera serangan Negeri Sembilan yang terus tidak memberi ruang untuk Kedah bertindak balas.

Kedah yang semakin terdesak untuk mencari gol mula mempamerkan rentak permainan keras sehingga pemain Negeri Sembilan tertekan akibatnya.

Desakan itu kian terasa apabila Kedah memasukkan Mohd. Sofi Mat Isa dan pemain veteran, Radhi Mat Din pada babak kedua permainan.

Kemasukan Radhi sedikit sebanyak mengubah rentak permainan pasukan pelawat apabila mereka mula mengatur asakan demi asakan.

Bagi mengimbangi semula keletihan beberapa pemain, Negeri Sembilan membawa masuk Effendy Malea dan Halim Jantan dengan mengeluarkan Azmi dan Shukor Adan.

Negeri Sembilan terus mengasak kubu Kedah pada minit terakhir permainan namun serangannya sering tersasar.

Semangat untuk menambah jaringan makin memuncak apabila pemain pertahanan Negeri Sembilan, Khairul Anuar Baharom dan Syamsul Akmar sering berlari ke tengah untuk membantu rakan lain.

Namun aksi menarik mereka hanya menghiburkan kira-kira 5,000 penonton tanpa berjaya mengubah keputusan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Oleh: MEOR HARMAN MEOR SHAKRI

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RkttHhdd © Utusan Melayu (M) Bhd