Sabtu, 12 November 2016

Skuad baru Rusa mahu satu gelaran

ARKIB : 03/02/1999
SKUAD bola Sepak Negeri Sembilan yang berwajah baru di bawah jurulatih Irfan Bakti yakin mampu mengulangi kesinambungan perjuangan untuk merangkul sekurang-kurangnya satu gelaran musim ini apabila diperkuatkan dengan enam pemain kebangsaan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, selain itu PBNS juga sudah mengenal pasti 22 pemain yang akan menyarung jersi Negeri.

Katanya, pembentukan skuad baru yang akan membawa cabaran skuad Rusa kali ini kelihatan mantap apatah lagi di bawah tunjuk ajar jurulatih berpengalaman seperti Irfan Bakti.

Menurutnya, pemilihan para pemain dalam skuad senior ini berdasarkan kehebatan pemain ketika beraksi atas padang manakala pengambilan Irfan adalah kerana pengalamannya.

''Kita yakin pada skuad baru kali ini dan sekurang-kurangnya dapat membawa cabaran yang lebih baik dan merangkul gelaran pada liga musim ini,'' katanya di Seremban, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat PBNS, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, muka baru skuad negeri musim ini terdiri Azmin Azram (Kuala Lumpur), Khairul Anwar Baharom (Perak), Tuan Kamaree Tuan Yahya dan Adnan Mohd. Zain (Kelantan), Rizal Hassan (Selangor) dan Mohd. Nor Sheikh Ibrahim (Melaka).

Katanya, kedudukan Azmi Mohamed yang bermain dengan Johor pada musim lalu masih bergantung kepada keputusan mesyuarat Pesatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Dalam pada itu, PBNS masih menimbang yuran perpindahan sebanyak RM100,000 yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) berhubung pengambilan pemainnya Affendi Lokman.

''Yuran perpindahan yang dikenakan oleh MAFA kepada PBNS amat tinggi bagaimanapun PBNS akan mengadakan perbincangan lanjut dengan MAFA berhubung perkara itu,'' katanya di Seremban.

Abdullah berkata, buat masa ini A. Ganeson sudah berhijrah ke skuad Terengganu manakala Rosli Omar, Raizuwah Idris dan M. Balan turut berbuat demikian ke lain pasukan.

Ditanya mengenai pengurusan baru, beliau berkata, PBNS masih mengekalkan pengurus musim lalu Jamaluddin Ahmad yang dibantu oleh Zailan Othman manakala Irfan Bakti akan dibantu oleh penolong jurulatih Hamid Ramli dan Ibrahim Mohamad.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4PsAyiaqH © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan