ARKIB : 30/03/1999
SKUAD bola sepak Negeri
Sembilan mempertaruhkan segala kekuatan kesebelasan utama untuk mencipta
kemenangan sulung mengatasi Sabah dalam kancah Perdana Satu di Paroi, malam
ini.
Meskipun sudah bersedia,
jurulatih Irfan Bakti mahu anak-anak buahnya sentiasa merendah diri dan tidak
memperlecehkan kemampuan Sabah kerana negeri itu juga mempunyai kelebihan
tersendiri serta pemain berkebolehan seperti Yap Wai Loon, lapor MEOR HARMAN
SHAKRI.
Ketegasan yang disuarakan oleh
jurulatih berpengalaman itu turut mengingatkan barisan pertahanan skuad Rusa
agar tidak mengulangi kesilapan ketika menentang Kedah dan Pulau Pinang sebelum
ini sehingga menyeret kepada tendangan penalti.
Biarpun corak dan kemampuan
pertahanan skuad Rusa dianggap paling kebal dan terbaik ketika ini, namun ruang
di kawasan itu akan sentiasa diperbaiki dan tidak ditinggalkan kosong.
Irfan yang ditemui di sini,
hari ini berkata, beliau akan mengubah corak permainan ketika menentang Sabah
termasuk posisi pemain serba boleh, Zami Mohd. Nor sebagai rahsia untuk
mencorak permainan yang boleh mengelirukan pihak lawan.
''Kita akan lakukan apa sahaja
esok bagi memastikan kemenangan sulung dan kejayaan-kejayaan yang seterusnya,
apa yang pasti corak pada malam esok berubah daripada permainan ketika
menentang Kedah dan Pulau Pinang,'' katanya.
Beliau memberitahu, setiap
pemain perlu bersemangat ketika di atas padang dan elakkan daripada membenarkan
keputusan permainan dengan Sabah ditentukan menerusi tendangan penalti.
Mengulas mengenai kekalahan
pada tendangan penalti ketika bertemu dengan Kedah dan Pulau Pinang sebelum
ini, Irfan menjelaskan, skuad negeri mempamerkan permainan yang baik tetapi
tidak bernasib baik ketika mengambil sepakan penalti.
Beliau berkata, keputusan
menerusi penalti sebelum ini bukan bermakna perjuangan skuad Rusa sudah tiba ke
penghujung malah skuad berkenaan masih mempunyai kelebihan dari segi pungutan
mata yang tidak jauh berbeza dengan lain-lain pasukan.
''Kita bernasib baik kerana
tidak seorang daripada kesebelasan utama yang mendapat cedera ketika menentang
Kedah dan keadaan ini memberikan keyakinan untuk berjuang mencari kemenangan
pada malam esok,'' ujarnya.
Skuad Negeri Sembilan yang kini
menduduki tempat kelapan memungut dua mata selepas dua perlawanan yang mencatat
keputusan seri dengan jumlah mengumpul jaringan empat gol.
Kekurangan satu mata memisahkan
kedudukan pasukan Negeri Sembilan dengan pencabar terdekatnya dari Kedah dan
Pahang selain mengatasi satu kedudukan anak tangga dengan Sabah.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4ROzkaIiV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan