ARKIB : 11/02/1999
NEGERI Sembilan yang dibarisi
oleh bintang-bintang ternama dalam skuad kebangsaan melangkah dengan penuh
yakin untuk membuka tirai Piala FA musim ini tanpa perlu bimbang dengan
bayangan kekalahan peringkat awal saingan musim lalu, lapor MEOR HARMAN SHAKRI.
Meskipun pernah dilabelkan
sebagai pasukan pilihan sejak lima musim yang lalu, skuad itu masih belum mampu
membawa pulang gelaran juara dan pencapaian terbaik hanya berada pada kedudukan
tempat ketiga pada saingan 1996.
Mungkin kerana tersilap
percaturan menurunkan ramai pemain muda pada peringkat awal pada saingan Piala
FA musim lalu menyebabkan hasrat pasukan itu sering terkandas malah tewas 2-5
secara agregat dengan Melaka pada pusingan kedua.
Bak kata pepatah, 'untung sabut
timbul, untung batu tenggelam' tuah Negeri Sembilan hanya turun dalam pusingan
kedua untuk bertemu dengan pemenang antara NS Chempaka dan JKR Kelantan.
Jika mereka melepasi halangan
itu, skuad bimbingan Irfan Bakti bakal berdepan dengan pemenang antara Selangor
atau Pahang pada perlawanan peringkat suku akhir.
Malah, Pengurus Pasukan
Jamaludin Ahmad berkata, beliau akan menurunkan kesebelasan utama pada kali ini
berbanding ramai pemain muda ketika berentap pada saingan FA musim lalu.
''Kita akan menurunkan
kesebelasan utama dalam saingan Piala FA musim ini kerana kita pandang serius
tahap saingan piala berkenaan dan pada masa yang sama menggemilangkan semula
skuad ini,'' katanya di Seremban, semalam.
Menurut Jamaludin, Negeri
Sembilan yang tidak dapat lari dilabelkan sebagai pasukan penuh bintang tidak
menafikan himpunan pemain terbaik musim ini mampu melakukan kejutan.
Beliau berkata, skuad yang
diberikan jolokan hebat seperti Rusa kini tidak bimbang dengan masalah
kecederaan pemain kerana barisan pemain simpanan adalah setanding.
Katanya, pemain begitu
bersemangat dalam latihan kelmarin dan kekentalan semangat ini akan menjadi
bekalan ketika turun di padang.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4PstARCbc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan