Ahad, 6 November 2016

Negeri Sembilan, Perak menanti dalam debaran

ARKIB : 03/11/1998
DEBARAN semakin terasa buat empat pasukan yang sudah tidak mempunyai jalan melainkan mencari kemenangan dalam perlawanan Piala Malaysia, malam ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Dengan hanya Sabah, pendahulu kumpulan B yang mengumpul 13 mata agak selesa untuk menghadapi Pahang, penghuni tangga tercorot (1 mata), tumpuan seharusnya beralih kepada Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Perak yang mempunyai selera besar.

Begitu juga dengan dua lagi pasukan tidak bertanding malam ini, pendahulu kumpulan A Terengganu (13 mata) dan Brunei di tangga kedua kumpulan B (11 mata) tetap menjadi pilihan ke separuh akhir Piala Malaysia sewaktu Kedah dan Pahang awal- awal lagi sudah tersingkir.

Bagaimanapun, perlawanan menentang Kedah, pasukan tercorot (2 mata) kumpulan A, kian penting buat Negeri Sembilan untuk mencerahkan peluangnya ke separuh akhir Piala Malaysia.

Walaupun sudah terkeluar daripada persaingan separuh akhir Piala Malaysia, Kedah turut digeruni lawan selepas bertukar imej daripada skuad handalan kepada pasukan ''kacau daun'' yang sebelum ini menjadi penghalang besar Pulau Pinang.

Kejayaan Kedah yang membariskan kesemua pemain tempatan mengikat Pulau Pinang menerusi perlawanan yang berkesudahan seri tanpa jaringan membimbangkan Negeri Sembilan.

Tidak ada pilihan bagi Negeri Sembilan untuk mengekalkan kedudukan tangga kedua (10 mata) kumpulan A, kemenangan ke atas Kedah penting bagi menjarakkan kedudukannya daripada pencabar hebat, sama ada Pulau Pinang atau Kuala Lumpur.

Begitu juga Pulau Pinang, pasukan tangga ketiga kumpulan A akan diberi tentangan sengit oleh Kuala Lumpur yang turut berkongsi 7 mata tetapi kelebihan jaringan meletakkannya di tempat keempat.

Namun, di gelanggang sendiri Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Cheras, skuad bimbingan jurulatih Mat Zan Mat Aris tidak mahu lagi melengahkan hajat untuk membuka seluas-luasnya ruang ke separuh akhir Piala Malaysia.

Walaupun tinggal ''nyawa di hujung tanjung,'' Pulau Pinang yang begitu memerlukan kemenangan dalam dua baki perlawanan menentang Kuala Lumpur dan Terengganu tetap berhempas pulas untuk melakukan kejutan luar biasa.

Sambil mengharapkan Negeri Sembilan tewas dalam tiga baki perlawanannya termasuk malam ini dengan Kedah, Pulau Pinang perlu terlebih dahulu mencari kemenangan ke atas skuad warga kota.

Sementara, saingan kumpulan B di Stadium Perak menyaksikan pasukan ''seladang'' berdepan tugas berat untuk menghadapi Sarawak yang turut memasang angan-angan tinggi untuk menang selepas tewas 0-2 kepada jiran tetangga Sabah.

Perak yang kini mendudukki tempat ketiga (7 mata) mempunyai peluang cerah sekiranya mampu mencipta kemenangan ke atas penghuni tempat keempat, Sarawak (6 mata).
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PDDDgBDf

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan