ARKIB : 18/10/1998
NEGERI Sembilan meneruskan
kebangkitan dalam saingan bola sepak Piala Malaysia apabila menewaskan
pendahulu kumpulan A, Terengganu 3-0 pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul
Rahman, Paroi, malam tadi.
Kemenangan skuad Rusa itu, yang
sebelum ini berada di tangga keempat kumpulan, membolehkan mereka melonjak dua
tangga di tempat kedua di belakang Terengganu.
Penguasaan Negeri Sembilan
sudah terbayang sejak awal perlawanan apabila jaringan pertama hanya diperoleh
seawal minit kedua menerusi pemain import, Pedro Oliveira.
Begitupun Terengganu, juara
Liga Perdana Dua berjaya mengekang penguasaan tuan rumah sehingga kedudukan
kekal 1-0 selepas tamat babak pertama.
Namun, keghairahan anak-anak
buah M. Karathu untuk mencari kemenangan tidak berjaya disekat skuad Abdul
Rahman Ibrahim apabila Negeri Sembilan melebarkan jaringan pada babak kedua.
Ketua pasukan, Zami Mohd. Noor
menggegarkan gawang pasukan pelawat untuk menceriakan penyokong Rusa dengan gol
kedua pasukan pada minit ke-67.
Pemain pertahanan, B.
Rajinikandh mengesahkan tiga mata penuh milik Negeri Sembilan apabila menambah
gol ketiga pasukan tiga minit sebelum tamat perlawanan.
Bagaimanapun, kekalahan semalam
tidak mengubah kedudukan Terengganu yang kekal di tangga teratas kumpulan A
tetapi terpaksa berkongsi mata dengan Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, yang
turut menang ke atas Kedah, semalam.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4P74C2Wo3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan