Khamis, 21 September 2017

NS optimis Hoa Phat tumbang di Paroi



ARKIB : 06/03/2007

SEREMBAN – Berbekalkan dua kemenangan pada Liga Super dan Piala Malaysia, skuad Negeri Sembilan Naza optimis dapat membenam kelab Hoa Phat Hanoi, Vietnam pada aksi pembukaan kumpulan D, Piala AFC yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini malam ini.

Keyakinan itu disuarakan oleh jurulatih skuad Rusa, Hatem Souissi selepas mendapat kembali semangat pemain dan penyokong skuad ini berikutan keputusan memberansangkan pada dua perlawanan akhir dalam aksi tempatan itu.

Katanya, dua kemenangan itu benar-benar telah meningkatkan moral dan semangat pemain-pemain untuk menunjukkan aksi yang lebih menarik pada peringkat antarabangsa.

‘‘Pada masa kini mental dan fizikal pemain berada pada tahap tertinggi setelah kita mencatat kemenangan berturut-turut.

‘‘Saya akui kami tidak mempunyai masa yang secukupnya untuk mengadakan latihan khusus untuk perlawanan ini tetapi psikologi pemain-pemain amat tinggi dan setakat ini tidak ada pemain berdepan dengan kecederaan,” katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini semalam.

Dalam pada itu, Hatem mengakui sokongan peminat tempatan amat penting bagi pasukan itu terutama pemain muda untuk melangkah lebih jauh dalam persaingan Piala AFC.

Katanya, beliau bergantung kepada sokongan penyokong untuk menaikkan semangat pemain-pemain terutama pemain muda yang masih mentah.

‘‘Saya bersyukur kerana penyokong mula faham, pada permulaan musim ada segelintir penyokong yang tidak yakin dengan persembahan pasukan ini tetapi kini mereka sudah menyedari kami memerlukan masa untuk meningkatkan persefahaman,” katanya.

Pada persaingan Piala AFC, Negeri Sembilan Naza diletakkan dalam Kumpulan D bersama-sama kelab Hong Kong, Xiangzue Sun Hei, Hoa Phat Hanoi (Vietnam) dan Victory FC (Maldives).

Selain Negeri Sembilan Naza, Pahang juga akan mengambil bahagian dalam Piala AFC dalam kumpulan F yang diwakili Osotpa M-150 FC (Thailand), Tampines Rovers FC (Singapura) dan Mohun Bagan (India).

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Hoa Phat Hanoi, Vuong Dien Dung berkata, pasukannya akan mempertaruhkan dua penyerang kelahiran Brazil, Williams Santos dan Juselio Da Silva untuk merobek gawang Negeri Sembilan Naza.

‘‘Walaupun tidak mengetahui kekuatan sebenar Negeri Sembilan Naza, saya yakin pemain akan menunjukkan aksi terbaik pada malam esok (malam ini).

‘‘Tiga pemain termasuk seorang pemain utama kita menghadapi kecederaan tetapi itu tidak akan menghalang kita menyusun strategi,” katanya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4tMnWIpfm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan