Rabu, 13 September 2017

‘Apo kono eh Jang’



 
ARKIB : 08/01/2007
‘Apo kono eh Jang’ 
Oleh: TARMIZI ABDUL RAHIM
JURULATIH NS, Hatem Soussi (kiri) cuba menenangkan para pemainnya ketika tewas 0-1 kepada Pahang dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban,kelmarin.

SEREMBAN – Apa sudah jadi dengan penyandang juara Liga Super, Negeri Sembilan Naza (NS Naza) yang terus derita apabila tewas untuk kali keempat daripada enam perlawanan yang diharungi dalam saingan liga itu.

Malam kelmarin, pasukan Hoben Jang Hoben itu gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi apabila tewas 0-1 kepada pasukan pelawat, Pahang.

Walaupun kekalahan demi kekalahan tetapi penyokong setia penyandang juara itu terus kekal memberikan sokongan tidak berbelah bahagi walaupun tidak memenuhi stadium, hanya untuk menyaksikan aksi hambar dan serba tidak menjadi daripada pasukan pujaan mereka.

Ini jelas menunjukkan bahawa walaupun prestasi hambar telah dipersembahkan oleh pasukan NS Naza tetapi sokongan tetap diberikan oleh penyokong - ini kerana mereka percaya pasukan itu beraksi di bawah keupayaan sebenar dan masih boleh melonjak jika kena caranya!

Tahap kesabaran penyokong setia pasukan itu telah meletup malam kelmarin semasa perlawanan antara NS Naza dan Pahang apabila mereka bertindak menaikkan kain rentang yang tertulis ‘Sack Hatem’ (pecat Hatem).

Difahamkan tindakan tersebut dibuat sebagai menunjukkan rasa tidak puas hati mereka berikutan kegagalan jurulatih dari Tunisia itu yang didakwa menjadi punca kemerosotan NS Naza.

Kain rentang itu dipasang penyokong NS sebelum perlawanan bermula di tempat duduk utama penonton.

Bagi menguatkan lagi bantahan mereka, penyokong pasukan Hoben Jang Hoben itu bertindak melaung beramai-ramai agar Hatem dipecat.

Bagaimanapun, pada minit ke-23, kain rentang tersebut telah diturunkan oleh anggota polis.

Sejak Hatem mengambil alih jawatan itu daripada K. Devan, NS Naza hanya mampu mencatat satu kemenangan, satu seri dan tiga kali kalah daripada lima perlawanan, tidak termasuk menentang Pahang, kelmarin.

Ini menyaksikan kedudukan mereka terperosok di tangga ke-11 liga daripada 13 pasukan dalam Liga Super musim ini.

Dalam pada itu, semasa Pahang menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-60, penyokong NS Naza sekali lagi menaikkan kain rentang baru yang berbunyi “Kami mahu pemain juara Liga Super...Hatem dan pengurus boleh undur”.

Hatem ketika ditemui selepas perlawanan itu berkata, beliau tidak kisah dengan sikap segelintir penyokong yang menaikkan kain rentang itu kerana dia yakin dengan barisan pemainnya yang rata-rata dibarisi oleh pemain muda.

“Walaupun kalah tetapi saya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh para pemain malam ini (kelmarin).

“Penyokong itu merupakan golongan minoriti yang tidak memahami pasukan ini kerana penyokong sejati akan faham bahawa pemain muda ini masih dalam proses pembentukan keserasian dan persefahaman ,” katanya.

Hatem juga memaklumkan bahawa NS Naza telah mengikat kontrak pemain baru dari Angola, Freddie de Santos untuk menguatkan barisan serangan yang sedikit tumpul pada masa ini.

Katanya, pemain yang pernah beraksi dalam Liga Division Satu Portugal itu tiba di negeri ini untuk sesi ujian pada Selasa lalu dan dijangka akan membantu NS Naza dalam saingan menentang Melaka pada 10 Januari ini di Stadium Hang Jebat, Melaka.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sZFK6o79
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan