ARKIB : 24/04/2007
Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
SEREMBAN Kemenangan terus
dicari oleh skuad Negeri Sembilan Naza pada aksi kumpulan D Piala AFC apabila
turun menentang pendahulu kumpulan itu, kelab Xiangzue Sun Hei dari Hong Kong
di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
Namun jurulatih skuad berkenaan,
Hatem Souissi berkata, walaupun harapan itu diletakkan kepada pasukan
bimbingannya, tetapi beliau bertegas yang anak buahnya kini berada dalam
keletihan selepas mengharungi banyak perlawanan di peringkat liga tempatan.
Saya telah jelaskan banyak
kali kerana ia menjejaskan prestasi pasukan. Tetapi kami akan berusaha
mengatasi masalah itu dan bermain sebaik mungkin dalam pertemuan esok (malam
ini), katanya pada sidang media di sini, semalam.
Hatem yang diburu kontroversi
pada aksi melampau di stadium sama baru-baru ini kerana dikatakan memukul
penyokong skuad itu, ditanya sama ada pemainnya berhadapan tekanan pada
pertemuan menentang kelab Hong Kong, beliau berkata:
Saya tidak faham apa yang kamu
maksudkan. Apakah saya dalam tekanan. Kami tidak bermain dalam tekanan. Semua
perlawanan adalah seimbang, 50-50. Ya, kita akan cuba yang terbaik untuk
memastikan kemenangan pasukan dalam perlawanan Piala AFC ini, ujarnya.
Negeri Sembilan Naza kini
berada pada kedudukan paling bawah dalam kumpulan D Piala AFC ini selepas
mengumpulkan cuma dua mata daripada tiga perlawanan dengan dua aksi berakhir
seri dan satu tewas.
Pada 6 Mac lalu, skuad ini
mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang kelab Vietnam, Hoa
Pat Hanoi dan 20 Mac mereka juga seri dengan kelab Maldives, Victory SC, 2-2.
Bagaimanapun pada 10 April
lalu, Negeri Sembilan Naza tewas 0-2 kepada kelab Hong Kong ini dalam pertemuan
mereka di Stadium Mongkok, Hong Kong.
Setiap perlawanan adalah
penting dan corak permainan yang berbeza, bagi saya bermain di tempat lawan
atau gelanggang sendiri, ia tetap melalui kesukaran. Kita akan cuba yang
terbaik, ujarnya.
Sementara itu Ketua Jurulatih
kelab Xiangzue Sun Hei dari Hong Kong, Koo Luan Khen berkata:
Biarpun berada pada kedudukan
teratas kumpulan D, semua perlawanan adalah sama penting. Kita tidak mahu
mengambil kesempatan daripada kedudukan itu. Kami akan bermain sebaik mungkin.
Kami akan berikan persembahan terbaik.
Luan Khen berkata, kelabnya
kini mengumpulkan sembilan mata selepas menang kesemua tiga perlawanan,
menewaskan Victory SC, 2-0, Hoa Pat Hanoi, 2-1 dan Negeri Sembilan Naza, 2-0
dan memperoleh enam jaringan.
Apa yang pasti katanya,
kelabnya tidak membuat persiapan khusus untuk menentang Negeri Sembilan Naza
kerana liga Hong Kong sudah sampai ke penghujung aksi dan anak buahnya
menjalani rutin latihan seperti biasa di sana.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4tY0cMILI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan