
ARKIB : 20/04/2007
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
Detik-detik insiden jurulatih
Negeri Sembilan, Hatem Souissi (berkemeja putih) menyerang penonton di Stadium
Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, kelmarin.
SEREMBAN Persatuan Bola Sepak
Negeri Sembilan (PBNS) akan menjalankan siasatan rapi dari semua aspek
berhubung kejadian jurulatih pasukan Negeri Sembilan Naza, Hatem Souissi
dikatakan menyerang penonton selepas perlawanan Liga Super di antara pasukan
itu dengan Perlis di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi di sini, malam kelmarin.
Presiden PBNS, Datuk Seri
Mohamad Hasan berkata, siasatan tersebut akan diadakan dengan adil dan saksama
termasuk mengambil keterangan daripada semua pihak serta mengumpul bukti yang
secukupnya bagi memastikan tidak ada pihak yang teraniaya.
Siasatan ini akan
dikendalikan oleh Lembaga Disiplin PBNS sebelum diserahkan kepada jawatankuasa
pengurusan untuk tindakan selanjutnya.
Bagaimanapun sehingga kini
saya belum menerima laporan rasmi mengenai kejadian ini dan ia akan dijalankan
sebaik sahaja laporan tersebut diserahkan, katanya.
Mohamad berkata demikian ketika
diminta mengulas mengenai tindakan Hatem yang memanjat pagar stadium dan
menyerang penyokong pasukan terbabit yang mengkritiknya serta para pemain
pasukan itu.
Kejadian tersebut berlaku
ketika penonton mula meninggalkan stadium sejurus tamat perlawanan di Stadium
Tuanku Abdul Rahman Paroi di sini malam kelmarin.
Jurulatih dari Tunisia yang
pernah melatih Malaysia pada Kejohanan Belia Dunia di Kuala Lumpur pada 1997
itu dilihat menyerbu ke arah penonton Negeri Sembilan yang menjerit dan
mengeluarkan kata-kata kesat ke arahnya serta para pemain.
Hatem dilihat berlari laju
menuju ke arah penyokong berkenaan dan memanjat pagar yang memisahkan padang
serta tempat duduk penonton di bahagian belakang gol berdekatan papan markah
(scoreboard) sebelum dikatakan menyerang penyokong terbabit.
Kemudian berlaku pergelutan di
antara Hatem dengan beberapa penyokong sebelum pemain dan pasukan simpanan
persekutuan (FRU) campur tangan.
Ekoran daripada itu, seorang
penyokong Alizan Tambi, 36, yang juga ahli jawatankuasa Kelab Penyokong Negeri
Sembilan membuat laporan polis di Balai Polis Senawang mendakwa beliau dipijak
oleh Hatem di dada.
Perlawanan Liga Super itu
berkesudahan dengan Negeri Sembilan Naza seri 2-2 dengan Perlis.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tXszwQvo
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan