Sabtu, 30 September 2017

Negeri Sembilan raih tiga mata



ARKIB : 20/06/2007

SEREMBAN – Negeri Sembilan memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila menewaskan pasukan tercorot Melaka 3-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, semalam.

Tuan rumah membuka jaringan menerusiVitezslav Mooc menanduk masuk gol pada minit ke-26 dan dia bertindak cemerlang apabila mudah mencipta gol kedua pada minit ke-47.

Kedudukan Negeri Sembilan semakin kukuh dengan giliran Liew Kit Kong melakukan sepakan lambung pada minit ke-66 menerjah jaring Melaka.

Seminit sebelum tamat pelawat merapatkan jurang menerusi jaringan Mirsad Amir Md. Sim.

Sementara itu dalam saingan Liga Perdana pula menyaksikan UPB/MyTeam meraih tiga mata penuh apabila menewaskan Kuala Muda Naza 3-2 di Stadium Darul Aman.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4u9sKi1jQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 29 September 2017

NS Naza sekadar seri



ARKIB : 10/06/2007

SEREMBAN – Biarpun menurunkan kesebelasan utama diketuai oleh penyerang berbisa Frederico Dos Santos, namun Negeri Sembilan gagal mengutip tiga mata berharga apabila sekadar terikat dengan keputusan seri 0-0 berdepan Telekom Melaka di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, semalam.

Keputusan itu tidak mengubah kedudukan Negeri Sembilan masih berada di kedudukan tiga anak tangga tercorot daripada 20 perlawanan sekadar mengutip 20 mata.

Tuah jelas tidak memihak kepada tuan rumah biarpun menguasai pentas saingan dengan asakan bertali arus terutama pada babak kedua, namun peluang yang tercipta gagal menemui tindakan penyudah menggegar jaring.

Saingan pada babak pertama sekadar menyaksikan permainan terlalu berhati-hati dipamerkan oleh kedua-dua pasukan.

Begitupun pada minit ke-37, pemain veteran Idris Karim mencemaskan seketika benteng pertahanan pelawat dengan percubaannya dari jarak 30 meter sekadar melewati palang gol.

Dua minit selepas itu giliran Liew Kit Kong membuat hantaran kepada Anuar Jusoh yang tidak dikawal melepaskan rembatan kencang tetapi berjaya diselamatkan oleh pertahanan Telekom Melaka.

Pelawat yang tertekan masih mampu mencemaskan pertahanan Negeri Sembilan dengan sepakan percuma K. Rajan pada minit ke-78 sekadar mengenai palang gol.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4u8oHheOn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 23 September 2017

NS Naza patut menang besar



ARKIB : 26/04/2007

SEREMBAN – Negeri Sembilan Naza sebenarnya boleh memperoleh lebih banyak jaringan pada aksi Kumpulan D Piala AFC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi kelmarin jika pemain berbakat, Shahurain Abu Samah diberikan bantuan oleh rakan sepasukan ketika mengatur serangan di kubu lawan.

Kelmarin, banyak aksi Shahurain tidak dibantu oleh rakan sepasukan sehingga gerakan yang dilakukannya sering terbatas biarpun sudah berjaya menggelecek barisan pertahanan kelab Hong Kong, Xiangzue Sun Hei.

Namun begitu, Shahurain telah membantu gerakan Negeri Sembilan untuk membenam Xiangzue Sun Hei apabila mengumpan cantik kepada pemain import Rusa dari Angola, Frederico Santos pada minit ke-87 untuk melihat kemenangan 1-0 ke atas pendahulu Kumpulan D itu.

Jurulatih Negeri Sembilan, Hatem Souissi berkata, pada peringkat awal permainan kelihatan seperti Xiangzue Sun Hei menguasai permainan, tetapi sebaik aksi kedua bermula, pemainnya mula bangkit untuk memberikan saingan terbaik dengan Shahurain mengatur strategi di kubu lawan.

‘‘Frederico sepatutnya boleh menghasilkan permainan yang lebih baik. Dia boleh menghasilkan lebih banyak gol. Tetapi saya ucapkan syabas kepadanya kerana menghasilkan jaringan untuk Negeri Sembilan Naza,” katanya.

Menurut Hatem, pemainnya tidak menjalani latihan intensif untuk berhadapan Xiangzue Sun Hei kerana sebelum itu telah berhadapan tiga perlawanan tempatan tetapi kesepakatan pada babak kedua nyata memberi harapan untuk mencipta kemenangan itu.

‘‘Pemain tengah membuat asakan tanpa henti dan akhirnya berhasil pada minit ke-87,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tYQUn61I
© Utusan Melayu (M) Bhd

NS Naza tewaskan kelab Hong Kong



 
RKIB : 25/04/2007
NS Naza tewaskan kelab Hong Kong
Pemain Negeri Sembilan, Mohamad Syamsol (kanan) diasak lawannya dari Sun Hei FC, Victor pada perlawanan Piala AFC di Stadium Paroi, Seremban, malam tadi. – GAMBAR MD.SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Negeri Sembilan Naza memperoleh kemenangan sulung dalam kempen Kumpulan D Piala AFC selepas menewaskan kelab Hong Kong, Xiangzue Sun Hei 1-0 pada perlawanan di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi di sini, semalam.

Frederico Santos muncul wira skuad Rusa apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan itu pada minit ke-87.

Walaupun diselubungi kontroversi membabitkan jurulatih, Hatem Souissi yang menyerang penyokong sendiri baru-baru ini, ia langsung tidak menjejaskan semangat NS Naza untuk memungut tiga mata penuh.

Ini dibuktikan apabila pasukan tuan rumah memulakan aksi dengan melakukan asakan awal ke kubu lawan.

Begitu pun, kegarangan yang cuba dijelmakan skuad bimbingan Hatem pada babak pertama nyata tidak memberi apa-apa kesan kepada pasukan pelawat.

Sebaliknya, kubu NS Naza pula dikejutkan dengan asakan awal pendahulu Kumpulan D itu seawal minit ketiga.

Pemain import wakil Hong Kong itu, Victor Inegbenoise berjaya menyambut hantaran lintang rakan sepasukan, Chan Yiu Lun tetapi ia sekadar mencemaskan penjaga gol skuad rusa, Azizon Abd. Kadir di gawangnya.

Namun begitu, pada minit ketujuh, giliran Yiu Lun pula memperoleh peluang terbaik untuk menghasilkan gol apabila hanya berdepan satu lawan satu dengan Azizon.

Bagaimanapun, kegopohan menyempurnakan peluang keemasan itu menyaksikan bola sepakannya melambung tinggi di atas palang gol.

Pada minit ke-28, NS Naza melancarkan satu gerakan berbahaya ke kubu Xiangzue Sun Hei apabila Liew Kit Kong melakukan hantaran cantik kepada pemain tengah, Anuar Jusoh.

Malangnya, tandukan yang dilakukan Anuar terus ke dakapan penjaga gol lawan, Chan Ka Ki.

Sebaik aksi babak kedua bermula, NS Naza mula mempamerkan sengat apabila pemain import dari Angola, Santos dapat menampan bola hantaran Shahurain Abu Samah tetapi bola melambung tinggi pada minit ke-50.

Skuad Rusa yang sebelum ini tewas 0-2 kepada Xiangzue Sun Hei di Stadium Mongkok pada 10 April lalu memperoleh satu lagi peluang keemasan menerusi Shahurain tetapi gerakan solonya pada minit ke-64 berakhir dengan kehampaan.

Terdesak memburu jaringan, NS Naza semakin garang mengasak ke kubu lawan dan pada minit ke-77, Santos berjaya mengelirukan benteng pertahanan Xiangzue Sun Hei.

Bagaimanapun, bola umpanannya gagal disempurnakan Kit Kong apabila bola tersasar di sebelah kiri.

Ketika perlawanan seakan berkesudahan dengan keputusan seri, Santos menebus kesilapan awalnya dengan menghasilkan gol kemenangan tujuh minit kemudian.

Biar pun dikawal ketat, Santos bijak menyempurnakan hantaran lintang Shahurain untuk mengecewakan pasukan pelawat.

Kemenangan itu sekaligus menghidupkan peluang NZ Naza untuk terus mencabar dalam Kumpulan D dengan mengumpul lima mata setakat ini.

NS Naza akan bertemu kelab Vietnam, Hoa Pat Hanoi di Stadium Hangday Hanoi pada 8 Mei ini.

Sementara itu, dalam saingan Kumpulan F, satu lagi wakil negara, Pahang tewas buat kali keempat berturut-turut.

Pada perlawanan di Stadium Tampines Singapura, Pahang tumbang 0-2 kepada pendahulu kumpulan itu, Tampines Rovers.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tY5EMCuN
© Utusan Melayu (M) Bhd

NS Naza cari kemenangan



ARKIB : 24/04/2007

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL

SEREMBAN – Kemenangan terus dicari oleh skuad Negeri Sembilan Naza pada aksi kumpulan D Piala AFC apabila turun menentang pendahulu kumpulan itu, kelab Xiangzue Sun Hei dari Hong Kong di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Namun jurulatih skuad berkenaan, Hatem Souissi berkata, walaupun harapan itu diletakkan kepada pasukan bimbingannya, tetapi beliau bertegas yang anak buahnya kini berada dalam keletihan selepas mengharungi banyak perlawanan di peringkat liga tempatan.

“Saya telah jelaskan banyak kali kerana ia menjejaskan prestasi pasukan. Tetapi kami akan berusaha mengatasi masalah itu dan bermain sebaik mungkin dalam pertemuan esok (malam ini),” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hatem yang diburu kontroversi pada aksi melampau di stadium sama baru-baru ini kerana dikatakan memukul penyokong skuad itu, ditanya sama ada pemainnya berhadapan tekanan pada pertemuan menentang kelab Hong Kong, beliau berkata:

“Saya tidak faham apa yang kamu maksudkan. Apakah saya dalam tekanan. Kami tidak bermain dalam tekanan. Semua perlawanan adalah seimbang, 50-50. Ya, kita akan cuba yang terbaik untuk memastikan kemenangan pasukan dalam perlawanan Piala AFC ini,” ujarnya.

Negeri Sembilan Naza kini berada pada kedudukan paling bawah dalam kumpulan D Piala AFC ini selepas mengumpulkan cuma dua mata daripada tiga perlawanan dengan dua aksi berakhir seri dan satu tewas.

Pada 6 Mac lalu, skuad ini mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang kelab Vietnam, Hoa Pat Hanoi dan 20 Mac mereka juga seri dengan kelab Maldives, Victory SC, 2-2.

Bagaimanapun pada 10 April lalu, Negeri Sembilan Naza tewas 0-2 kepada kelab Hong Kong ini dalam pertemuan mereka di Stadium Mongkok, Hong Kong.

“Setiap perlawanan adalah penting dan corak permainan yang berbeza, bagi saya bermain di tempat lawan atau gelanggang sendiri, ia tetap melalui kesukaran. Kita akan cuba yang terbaik,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Jurulatih kelab Xiangzue Sun Hei dari Hong Kong, Koo Luan Khen berkata:

“Biarpun berada pada kedudukan teratas kumpulan D, semua perlawanan adalah sama penting. Kita tidak mahu mengambil kesempatan daripada kedudukan itu. Kami akan bermain sebaik mungkin. Kami akan berikan persembahan terbaik.

Luan Khen berkata, kelabnya kini mengumpulkan sembilan mata selepas menang kesemua tiga perlawanan, menewaskan Victory SC, 2-0, Hoa Pat Hanoi, 2-1 dan Negeri Sembilan Naza, 2-0 dan memperoleh enam jaringan.

Apa yang pasti katanya, kelabnya tidak membuat persiapan khusus untuk menentang Negeri Sembilan Naza kerana liga Hong Kong sudah sampai ke penghujung aksi dan anak buahnya menjalani rutin latihan seperti biasa di sana.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4tY0cMILI
© Utusan Melayu (M) Bhd