Selasa, 29 November 2016

NS atasi segera kelemahan serangan

ARKIB : 08/04/1999
MESKIPUN berjaya mencatat kemenangan selepas dibelasah teruk oleh Pahang, Negeri Sembilan menganggap masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan bagi mengharungi laluan seterusnya dalam bola sepak Perdana Satu musim ini.

Dua keputusan yang berbeza dalam tempoh seminggu itu memaksa pasukan Rusa itu melakukan sesuatu.

Kelemahan paling ketara yang dikenal pasti ialah ketumpulan jentera barisan serangan.

Masalah persefahaman antara pemain turut menjadi agenda utama. Ini kerana masalah itulah yang menjadi punca kegagalan jentera serangan menembusi pertahanan lawan.

Dalam beberapa perlawanan terdahulu, jentera serangan Negeri Sembilan sukar menjaringkan gol walaupun mencipta banyak peluang di depan pintu gol.

Hakikat ini diakui sendiri oleh pengurus pasukan Negeri Sembilan, Jamaluddin Ahmad ketika dihubungi di Seremban, semalam.

Katanya, pihak pengurusan akan menggembeling tenaga bersama jurulatih, Irfan Bakti bagi mengenal pasti beberapa kelemahan dalam masa terdekat ini.

''Kami akan pastikan setiap posisi dalam pasukan Rusa mempunyai kekuatan seimbang serta mampu menahan asakan pihak lawan dan pada masa yang sama mencipta jaringan,'' kata Jamaluddin.

Mengulas kemenangan tipis Negeri Sembilan 1-0 ke atas Perak kelmarin, beliau menjelaskan bahawa Negeri Sembilan sepatutnya mampu menjaringkan banyak gol tetapi mempersia-siakan banyak peluang.

Jamaluddin berkata, perlawanan itu menunjukkan kelemahan dari segi persefahaman antara pemain-pemain terutamanya barisan depan.

Katanya lagi, masalah ini juga mungkin berpunca dari ketiadaan penyerang, Faisal yang digantung satu perlawanan kerana memungut dua kad kuning pada perlawanan yang lepas.

Mengenai kekalahan 5-0 kepada Pahang Sabtu lalu, beliau menjelaskan ia disebabkan ramai pemain utama tidak dapat beraksi kerana mengalami masalah kecederaan selain penggantungan selepas mengumpul dua kad kuning.

Jelasnya, ketiadaan B. Rajnikand yang terpaksa direhatkan satu perlawanan kerana dua kad kuning dan kecederaan Faizal Zainal, Rusa nyata nampak goyah di bahagian pertahanan.

''Jika pertahanan tidak mampu menahan asakan pihak lawan, bagaimana bola hendak sampai kepada pemain serangan,'' ulasnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RSgzOZRY © Utusan Melayu (M) Bhd

Negeri Sembilan idamkan kemenangan

ARKIB : 30/03/1999
SKUAD bola sepak Negeri Sembilan mempertaruhkan segala kekuatan kesebelasan utama untuk mencipta kemenangan sulung mengatasi Sabah dalam kancah Perdana Satu di Paroi, malam ini.

Meskipun sudah bersedia, jurulatih Irfan Bakti mahu anak-anak buahnya sentiasa merendah diri dan tidak memperlecehkan kemampuan Sabah kerana negeri itu juga mempunyai kelebihan tersendiri serta pemain berkebolehan seperti Yap Wai Loon, lapor MEOR HARMAN SHAKRI.

Ketegasan yang disuarakan oleh jurulatih berpengalaman itu turut mengingatkan barisan pertahanan skuad Rusa agar tidak mengulangi kesilapan ketika menentang Kedah dan Pulau Pinang sebelum ini sehingga menyeret kepada tendangan penalti.

Biarpun corak dan kemampuan pertahanan skuad Rusa dianggap paling kebal dan terbaik ketika ini, namun ruang di kawasan itu akan sentiasa diperbaiki dan tidak ditinggalkan kosong.

Irfan yang ditemui di sini, hari ini berkata, beliau akan mengubah corak permainan ketika menentang Sabah termasuk posisi pemain serba boleh, Zami Mohd. Nor sebagai rahsia untuk mencorak permainan yang boleh mengelirukan pihak lawan.

''Kita akan lakukan apa sahaja esok bagi memastikan kemenangan sulung dan kejayaan-kejayaan yang seterusnya, apa yang pasti corak pada malam esok berubah daripada permainan ketika menentang Kedah dan Pulau Pinang,'' katanya.

Beliau memberitahu, setiap pemain perlu bersemangat ketika di atas padang dan elakkan daripada membenarkan keputusan permainan dengan Sabah ditentukan menerusi tendangan penalti.

Mengulas mengenai kekalahan pada tendangan penalti ketika bertemu dengan Kedah dan Pulau Pinang sebelum ini, Irfan menjelaskan, skuad negeri mempamerkan permainan yang baik tetapi tidak bernasib baik ketika mengambil sepakan penalti.

Beliau berkata, keputusan menerusi penalti sebelum ini bukan bermakna perjuangan skuad Rusa sudah tiba ke penghujung malah skuad berkenaan masih mempunyai kelebihan dari segi pungutan mata yang tidak jauh berbeza dengan lain-lain pasukan.

''Kita bernasib baik kerana tidak seorang daripada kesebelasan utama yang mendapat cedera ketika menentang Kedah dan keadaan ini memberikan keyakinan untuk berjuang mencari kemenangan pada malam esok,'' ujarnya.

Skuad Negeri Sembilan yang kini menduduki tempat kelapan memungut dua mata selepas dua perlawanan yang mencatat keputusan seri dengan jumlah mengumpul jaringan empat gol.

Kekurangan satu mata memisahkan kedudukan pasukan Negeri Sembilan dengan pencabar terdekatnya dari Kedah dan Pahang selain mengatasi satu kedudukan anak tangga dengan Sabah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4ROzkaIiV © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 18 November 2016

Nasib tidak menyebelahi NS

ARKIB : 21/03/1999
NEGERI Sembilan gagal mengambil kesempatan beraksi di tempat sendiri, apabila tumpas 3-2 menerusi tendangan penalti kepada Pulau Pinang pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas 90 minit permainan, dan masih terikat 2-2 dalam penentuan sepakan penalti, sehingga memaksa penalti suddent-death diberikan.

Yong Woon Seang berjaya menyempurnakan penalti terakhir Pulau Pinang, selepas R. Suresh Kumar dan Azlisham Ibrahim menjadikan kedudukan 2-2.

Gol-gol penanti Negeri Sembilan pula dijaringkan oleh pemain kebangsaan, Zami Mohd. Noor dan Khairul Anuar Baharom.

Pulau Pinang mendahului 1-0 pada minit ke-10 menerusi bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan, yang menguis bola dari kiri pintu gol tuan rumah.

Zami, bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-68 hasil rembatan terus yang gagal ditangkap oleh penjaga gol pasukan pelawat, Azlisham Ibrahim.

Azman kembali meletakkan Pulau Pinang di depan pada minit ke-87 menerusi sudut yang sama, tetapi Zami sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke-90.

Sementara itu, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pasukan tuan rumah turut mencatat kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti dengan kemenangan 5-4 ke atas Kedah.

Sebelum itu kedua-dua pasukan seri 1-1 dengan jaringan pembukaan dihasilkan penyerang tuan rumah, Anuar Jusoh pada minit ke-33.

Kedah bangkit pada babak kedua dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Ahmad Zalghafari Manaf pada minit ke-71.

Namun kedua-dua pasukan gagal mencari gol kemenangan dalam tempoh 90 minit permainan yang memaksa sepakan penalti dilakukan.

Gol penalti bagi pasukan Kedah dijaringkan oleh Rafiz Abu Bakar, Mohamad Faraok Ismail dan Adrien Jurad manakala gol Terengganu menerusi Mohd. Nafuzi Mohd. Zain, Md. Noor Derus dan Rosdi Talib.

Rosli pula menambah jaringan ke empat bagi membolehkan Terengganu menang penalti 4-3 sekaligus membantu skuad Penyu menang perlawanan pada kiraan mata 2-1.

Di Kompleks Sukan Barakas, Brunei gagal mengambil kesempatan daripada pasukan yang dibarisi bintang import apabila tewas kepada Kuala Lumpur 4-3 menerusi tendangan penalti.

Kemenangan itu membolehkan Kuala Lumpur membawa pulang dua mata.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4QLNGT6C5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 13 November 2016

Bola kini berada di kaki pemain

ARKIB : 12/02/1999
''BOLA kini berada di kaki pemain, persatuan sudah melakukan apa yang sepatutnya,'' kata Abdullah Sani Abdul Hamid ketika menggambarkan harapannya untuk sekurang- kurangnya memiliki satu piala berprestij pada musim ini, lapor MEOR HARMAN SHAKRI.

Kata-kata Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) itu jelas membayangkan harapan seluruh jentera persatuan dan peminat sukan tempatan apatah lagi pelaburan pada musim ini menjangkau kepada RM2.5 juta.

Menurut Abdullah, percaturan skuad Negeri Sembilan kini berjalan dengan lancar apatah lagi keyakinan yang ditunjukkan oleh barisan pemain ketika menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih Irfan Bakti menggembirakan semua pihak.

''Kini segala-galanya terletak pada bahu pemain dan mereka semestinya mengetahui matlamat dan cita-cita kita pada tahun ini untuk membawa pulang kejuaraan,'' katanya di Seremban, semalam.

Bagi menguji keserasian para pemain, Abdullah memberitahu, pihaknya sudah mengatur beberapa perlawanan persahabatan di sini termasuk bertandang ke utara bagi menyertai jemputan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pada akhir Februari ini.

Pada musim ini, skuad negeri yang diberi jolokan Rusa turut dibarisi oleh enam pemain dari skuad kebangsaan malah skuad berkenaan juga boleh dikatakan amat seimbang di semua posisi termasuk kebolehan setiap pemain untuk menjaringkan gol.

Antara barisan pemain musim ini ialah Azmin Azram Abdul Aziz, Mohd. Yazid Yasin, Khairil Zainal, Faizal Zainal, Ching Hong Aik, Khairul Anuar Baharom dan B. Rajinikandh.

Selain itu, Ahmad Shahrul Azhar, Tuan Kamree Tuan Yahya, Adnan Mohd. Zain, Rizal Hasan, Shamsul Akmar Japperi, Zami Mohd. Nor, Halim Jantan, Azmi Mohamed, Affendi Malek dan Nor Isham Ismail.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan untuk mendapatkan pemain Arfandi Lokman dari Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), beliau berkata, PBNS masih berbincang mengenai soal bayaran yuran perpindahan yang dikenakan.

''Namun, saya mengucapkan terima kasih kepada MAFA kerana masih mahu berbincang dengan PBNS berhubung perkara tersebut dan berharap Arfandi dapat menyarung jersi negeri pada musim ini,'' ujarnya.

MAFA sebelum ini mengenakan yuran sebanyak RM100,000 kepada PBNS sebagai bayaran perpindahan untuk mendapatkan khidmat pemain terbabit.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PswaKkRH © Utusan Melayu (M) Bhd

Kekentalan semangat bekalan Negeri Sembilan

ARKIB : 11/02/1999
NEGERI Sembilan yang dibarisi oleh bintang-bintang ternama dalam skuad kebangsaan melangkah dengan penuh yakin untuk membuka tirai Piala FA musim ini tanpa perlu bimbang dengan bayangan kekalahan peringkat awal saingan musim lalu, lapor MEOR HARMAN SHAKRI.

Meskipun pernah dilabelkan sebagai pasukan pilihan sejak lima musim yang lalu, skuad itu masih belum mampu membawa pulang gelaran juara dan pencapaian terbaik hanya berada pada kedudukan tempat ketiga pada saingan 1996.

Mungkin kerana tersilap percaturan menurunkan ramai pemain muda pada peringkat awal pada saingan Piala FA musim lalu menyebabkan hasrat pasukan itu sering terkandas malah tewas 2-5 secara agregat dengan Melaka pada pusingan kedua.

Bak kata pepatah, 'untung sabut timbul, untung batu tenggelam' tuah Negeri Sembilan hanya turun dalam pusingan kedua untuk bertemu dengan pemenang antara NS Chempaka dan JKR Kelantan.

Jika mereka melepasi halangan itu, skuad bimbingan Irfan Bakti bakal berdepan dengan pemenang antara Selangor atau Pahang pada perlawanan peringkat suku akhir.

Malah, Pengurus Pasukan Jamaludin Ahmad berkata, beliau akan menurunkan kesebelasan utama pada kali ini berbanding ramai pemain muda ketika berentap pada saingan FA musim lalu.

''Kita akan menurunkan kesebelasan utama dalam saingan Piala FA musim ini kerana kita pandang serius tahap saingan piala berkenaan dan pada masa yang sama menggemilangkan semula skuad ini,'' katanya di Seremban, semalam.

Menurut Jamaludin, Negeri Sembilan yang tidak dapat lari dilabelkan sebagai pasukan penuh bintang tidak menafikan himpunan pemain terbaik musim ini mampu melakukan kejutan.

Beliau berkata, skuad yang diberikan jolokan hebat seperti Rusa kini tidak bimbang dengan masalah kecederaan pemain kerana barisan pemain simpanan adalah setanding.

Katanya, pemain begitu bersemangat dalam latihan kelmarin dan kekentalan semangat ini akan menjadi bekalan ketika turun di padang.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4PstARCbc © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 12 November 2016

Skuad baru Rusa mahu satu gelaran

ARKIB : 03/02/1999
SKUAD bola Sepak Negeri Sembilan yang berwajah baru di bawah jurulatih Irfan Bakti yakin mampu mengulangi kesinambungan perjuangan untuk merangkul sekurang-kurangnya satu gelaran musim ini apabila diperkuatkan dengan enam pemain kebangsaan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, selain itu PBNS juga sudah mengenal pasti 22 pemain yang akan menyarung jersi Negeri.

Katanya, pembentukan skuad baru yang akan membawa cabaran skuad Rusa kali ini kelihatan mantap apatah lagi di bawah tunjuk ajar jurulatih berpengalaman seperti Irfan Bakti.

Menurutnya, pemilihan para pemain dalam skuad senior ini berdasarkan kehebatan pemain ketika beraksi atas padang manakala pengambilan Irfan adalah kerana pengalamannya.

''Kita yakin pada skuad baru kali ini dan sekurang-kurangnya dapat membawa cabaran yang lebih baik dan merangkul gelaran pada liga musim ini,'' katanya di Seremban, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat PBNS, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, muka baru skuad negeri musim ini terdiri Azmin Azram (Kuala Lumpur), Khairul Anwar Baharom (Perak), Tuan Kamaree Tuan Yahya dan Adnan Mohd. Zain (Kelantan), Rizal Hassan (Selangor) dan Mohd. Nor Sheikh Ibrahim (Melaka).

Katanya, kedudukan Azmi Mohamed yang bermain dengan Johor pada musim lalu masih bergantung kepada keputusan mesyuarat Pesatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Dalam pada itu, PBNS masih menimbang yuran perpindahan sebanyak RM100,000 yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) berhubung pengambilan pemainnya Affendi Lokman.

''Yuran perpindahan yang dikenakan oleh MAFA kepada PBNS amat tinggi bagaimanapun PBNS akan mengadakan perbincangan lanjut dengan MAFA berhubung perkara itu,'' katanya di Seremban.

Abdullah berkata, buat masa ini A. Ganeson sudah berhijrah ke skuad Terengganu manakala Rosli Omar, Raizuwah Idris dan M. Balan turut berbuat demikian ke lain pasukan.

Ditanya mengenai pengurusan baru, beliau berkata, PBNS masih mengekalkan pengurus musim lalu Jamaluddin Ahmad yang dibantu oleh Zailan Othman manakala Irfan Bakti akan dibantu oleh penolong jurulatih Hamid Ramli dan Ibrahim Mohamad.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4PsAyiaqH © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 11 November 2016

Azmi minta kembali ke NS

ARKIB : 13/01/1999
SKUAD Jengking mungkin tidak serasi bagi bekas pemain kebangsaan, Azmi Mohamed yang akan menyarungkan semula jersi skuad Rusa (Negeri Sembilan) dalam Liga Malaysia, musim ini.

Azmi yang mengikat perjanjian permainan selama satu tahun dengan Johor FA akan bermain semula untuk Negeri Sembilan setelah pernah berkhidmat dengan skuad Rusa selama tiga tahun sebelum kembali ke Johor musim lalu, lapor ISHAK SALLEH.

Beliau memberitahu, dia telah menandatangani kontrak permainan selama dua tahun dengan Negeri Sembilan bagi musim ini.

Bagaimanapun, penghijrahan Azmi ini menimbulkan sedikit masalah kerana pemain tersebut dikatakan telah bersetuju untuk bermain selama dua tahun dalam surat tawaran yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), musim lalu.

Namun begitu, katanya, semasa menandatangani perjanjian dengan Jengking, dia hanya mendatangani bagi tempoh satu tahun sahaja.

Azmi berkata dia menyedari perkara tersebut dan kontrak perjanjian permainan dengan Jengking telah tamat pada akhir tahun 1998.

Sementara itu, PBNJ berpendapat, Azmi masih terikat dengan Johor memandangkan surat tawaran yang dipersetujui adalah untuk dua tahun, walaupun kontrak permainan yang ditandatangani untuk tempoh setahun.

Pengurus Pasukan, Ahamad Mohamed berkata, PBNJ masih mempunyai pegangan ke atas Azmi memandangkan dia telah bersetuju untuk berada dengan skuad tersebut bagi tempoh dua tahun.

Katanya, beliau telah memberitahu, Azmi agar menjelaskan kedudukannya sebelum menandatangani perjanjian dengan Negeri Sembilan.

Beliau memberitahu, bagi PBNJ, PBNJ masih mempunyai hak ke atas Azmi dan Azmi juga memahami kedudukan tersebut semasa tawaran bermain dengan Jengking dibuat tahun lalu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4PiFeZDnf © Utusan Melayu (M) Bhd

NS ikat 4 pemain KL, Johor dan Kelantan

ARKIB : 26/12/1998
NS ikat 4 pemain KL, Johor dan Kelantan
KESUNGGUHAN semi finalis Piala Malaysia, Negeri Sembilan mahu memburu gelaran nampak ghairah apabila berjaya menambat empat pemain bakal memperkuatkan cabaran musim 1999, lapor AMRAN MULUP.

Empat pemain yang sudah ditambat oleh Negeri Sembilan terdiri daripada tonggak pertahanan Perak, Khairul Anuar Baharom, penjaga gol Kuala Lumpur, Azmin Azram, penyerang Johor, Azmi Mohamad dan pemain tengah Kelantan, Tuan Kamree Tuan Yahya.

Di samping itu juga, Negeri Sembilan juga turut menyambar pemain Selangor, Mohd. Rizal Hassan dan bekas pelatih skuad bola sepak kebangsaan yang digugurkan, Affandy Lokman.

Menurut pegawai atasan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), kelima-lima pemain sudah memberikan persetujuan menyertai Negeri Sembilan.

''Pada pertemuan singkat sebelum ini, mereka sudah memberikan persetujuan dan rasanya tiada masalah yang akan timbul selepas ini, tidak seperti mana yang berlaku ketika cuba mengikat Azman Adnan awal tahun ini,'' kata sumber itu semalam.

Kata sumber itu lagi, beberapa pemain dari negeri lain yang pernah mendapat tunjuk ajar Irfan ketika di bawah bekas jurulatih kebangsaan dan Olimpik, Claude Le Roy turut melahirkan hasrat untuk menyertai skuad Rusa.

Perak yang sebelum ini memberi jaminan Khairul akan terus bersama skuad Seladang sebaliknya terpaksa menerima hakikat terpaksa kehilangan tonggak pertahanan itu menghadapi kempen musim depan.

Malah sewaktu pertemuan pengurus pasukan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dengan pemain Perak yang menjulang Piala Malaysia Edisi ke-32 di Ipoh kelmarin, hanya Khairul tidak menampilkan diri.

Azmi Mohamad pernah menyarung jersi Negeri Sembilan musim lepas tetapi kempen musim ini dia yang turut dipanggil menjalani latihan skuad bola sepak kebangsaan tetapi diketepikan akibat kecederaan, kembali ke negeri asalnya, Johor.

Kontrak kesemua pemain itu dijangka berakhir 31 Disember ini.

Bukan lagi terlalu asing buat lima pemain itu bakal menyarung jersi Negeri Sembilan di bawah kendalian jurulatih Irfan Bakti yang dilantik menggantikan M. Karathu menghadapi kempen musim depan.

Kelima-lima pemain itu adalah juga anak didikan Irfan sewaktu mengemudi skuad bawah 23 tahun apabila dimahkotakan selaku juara Piala Kemerdekaan Bangladesh pada 1996.

Kehadiran lima pemain itu dijangka akan memantapkan skuad Negeri Sembilan bakal menggegar persaingan kempen Perdana Satu musim depan.

Sebelum ini, Negeri Sembilan mengekalkan beberapa pemain utama antaranya ialah Mohd Yazid, Zami Mohd Noor, Khairil Zainal, Faizal Zainal, B. Rajanikandh, Ching Hong Aik, Ahmad Shahrul Azhar, A. Ganeson, Affendi Julaihi dan Dollah Salleh

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Ph3Q8SVJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 9 November 2016

NS bernafas Sabah kecewa


 

ARKIB : 22/11/1998
NS bernafas Sabah kecewa
PERTAHANAN Perak, Khairul Anuar Baharom bijak menyekat gerakan pemain Negeri Sembilan, B. Rajanikandh pada perlawanan separuh akhir pusingan pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi semalam. Negeri Sembilan dan Perak seri 2-2.

KELEBIHAN beraksi di gelanggang sendiri di dua gelanggang di Stadium Likas dan Tuanku Abdul Rahman di Paroi semalam jelas tidak menyebelahi tuan rumah.

Sebaliknya harapan untuk melakar suasana gembira bertukar duka.

Langkah awal di pusingan separuh akhir pertama Piala Malaysia sekadar mencetuskan keriangan kepada pelawat apabila Terengganu melenyapkan keutuhan Sabah hasil kemenangan 2-0 di Likas.

Manakala Negeri Sembilan nyaris rebah setelah ketinggalan 2-1 pada satu ketika bangkit menyamakan kedudukan dengan keputusan 2-2.

Berbekalkan kemenangan 2-0 milik Terengganu menerusi jaringan Wan Ahmad Ridzuan (m-40) dan Samuel Chebli (m-46), impian untuk mengapai kenangan silam layak ke perlawanan akhir pada 1982 hampir menjadi kenyataan.

Buat Negeri Sembilan kini berdepan dengan ujian getir berdepan dengan Perak di gelangang lawan Sabtu depan ketika Terengganu perlu mempertahankan kelebihan dua jaringan untuk merealitikan impian layak ke akhir.

Di Stadium Likas, HARON SHAFIE melaporkan, keunggulan Sabah bermain di gelanggang sendiri nyata tenggelam di sebalik kehebatan Terengganu mencipta dua jaringan pada babak pertama dan kedua sudah cukup melegakan untuk mengukir kemenangan awal.

Dalam tempoh 15 minit babak berlangsung jelas pemain tuan rumah menguasai pentas saingan ketika Terengganu tercari-cari rentak.

Wan Ahmad Ridzuan memulakan jaringan awal Terengganu melakukan tolakan mudah selepas penjaga gol berpengalaman Sabah, Khairul Azman Mohamad gagal menangkap kemas tandukan kencang Samuel Chebli.

Gol awal itu nyata menggamamkan seketika anak buah Ken Shelito. Sengat Saphou Lassy penjaring terbanyak Sabah nyata tidak menjadi.

Sebaliknya Terengganu mengambil kesempatan itu sebaik babak kedua berlangsung bekas pemain Perak, Samuel Chebli meledakkan jaringan cantik buat kali kedua menewaskan Khairul.

SABAH: Khairul Azman Mohamad, Veselin Kovacevic, Burhan Ajui, Andrew Majanggim, Mokhtar Dayoh, Dunian Sulog, Henry Soimpon, Yap Wai Loon David Rocastle, Suharmin dan Saphou Lassy.

TERENGGANU: Zubir Ibrahim, Azman Ismail, Annuar Jusoh, Syamsol Mohd Saad, Badrul Hisham Abdullah, Seidu Issifu, Samuel Chebli, Wan Ahmad Ridzuan Hussin, Rosdi Talib, Jean Nyima dan Roshadi Wahab.

Manakala di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pula, MEOR HARMAN SHAKRI melaporkan, Negeri Sembilan hanya berpuashati mampu mencatat keputusan seri 2-2.

Perak yang beraksi di hadapan 20,000 penyokong tuan rumah gagal menggunakan kesempatan mendahului lawan meskipun Negeri Sembilan ketinggalan 1-2 pada satu ketika.

A. Ganeson muncul sebagai penyelamat apabila menjaringkan gol keramat Negeri Sembilan pada minit ke-89 untuk mengikat keputusan seri.

Perak memperoleh jaringan pertama seawal minit kesembilan apabila bekas pemain skuad Olimpik 2000, V. Saravanan menanduk bola umpanan Nagaraja dari sudut kanan padang.

Gol Saravanan yang disenaraikan sebagai pelatih kebangsaan sekali gus membakar semangat skuad Seladang untuk meneruskan corak permainan pantas.

Reda dengan tekanan pelawat anak buah Karathu kembali mengatur gerakan dan pada minit ke-25 gol penyamaan yang dicari disempurnakan oleh pemain veteran Dollah Salleh.

Dollah bijak melakukan hantaran lambung selepas mendapat lorongan cantik Rosli Omar yang sudah cukup menewaskan penjaga gol pelawat V. Murugan.

Gol Dollah memberikan inspirasi kepada Negeri Sembilan untuk bermain dengan lebih konsisten.

Zami Mohd. Noor yang sering mengucar-ngacirkan pertahanan Perak gagal melakukan penyudah yang sempurna pada minit ke-27 dan 37 apabila tendangannya sering kali tersasar.

Perak terus berada pada kedudukan selesa apabila menyumbat gol kedua pada minit ke-53 menerusi Azrul Amri Borhan.

Negeri Sembilan yang langsung tidak bermain dalam keadaan sebenar hanya mampu bertahan.

Keyakinan Perak untuk membawa buah tangan berharga apabila bertandang ke Ipoh tidak kesampaian apabila A. Ganeson bertindak sebagai pemusnah menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-89.

Tendangan bebas Rosli Omar hanya dikuis masuk oleh Ganeson yang berada pada kedudukan selesa di depan pintu gol.

Perak dan Negeri Sembilan hanya berpuas hati dengan keputusan seri apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Paroi malam tadi.

Perak yang di hadapan 20,000 penyokong tuan rumah gagal menggunakan kesempatan mendahului lawan meskipun Negeri Sembilan ketinggalan 1-2 .

A. Ganeson muncul sebagai penyelamat apabila menjaringkan gol keramat Negeri Sembilan pada minit ke-89.

NEGERI SEMBILAN: Faizal Zainal, B. Rajanikandh, Ching Hong Aik, Perdo Oliviera, Ahmad Shahrul, Rosli Omar, Dollah Salleh, Zami Mohd. Noor, Khairil Zainal, A. Ganeson, Mohd. Yazid Yatim

PERAK: V. Murugan, Raja Azlan, Chan Kok Heng, Khairul Anuar Baharom, M. Nagaraja, Gyorgy Takacs, Azrul Amri, Chan Wing Hong, Lim Seng Kong, Janos Kreska, V. Saravanan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PVm0EDH7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 6 November 2016

N. Sembilan ikut jejak Sabah

ARKIB : 08/11/1998
NEGERI Sembilan menempah tiket ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia apabila menewaskan Kuala Lumpur 3-1 di Stadium Paroi malam tadi.

Keputusan pada perlawanan itu sekali gus memadamkan impian Kuala Lumpur malah pasukan itu tersingkir daripada kempen Piala Malaysia musim ini.

Gol kemenangan Negeri Sembilan diperoleh menerusi pemain Zami Mohd. Noor pada minit ke-9 dan 41 manakala gol terakhir Negeri Sembilan menerusi A. Ganeson pada minit ke-73.

Sementara itu, gol sagu hati Kuala Lumpur pula diperoleh pada minit ke-47 menerusi G. Muthu.

Gol Skuad Rusa berpunca daripada sepakan percuma yang diambil oleh Faizal Zainal terus ke gawang.

Namun penjaga gol Kuala Lumpur Azmin Azram yang cuba mendakap bola terlepas daripada genggaman dan Zami yang berada di dalam kotak penalti terus merembat kencang menggegar jaring.

Skuad Kuala Lumpur yang bermain dengan strategi off sideternyata agak berkesan tetapi kesilapan menjatuhkan pemain Negeri Sembilan Sharul Akram membolehkan Negeri Sembilan memperoleh sepakan percuma dari jarak 20 meter.

Faizal melorong bola ke Pedro Olievera ke dalam kotak penalti, Pedro yang tidak dikawal membuat hantaran lintang ke arah Zami sebelum bola dikuis masuk.

Kuala Lumpur memperoleh gol pertama mereka menerusi G. Muthu yang berjaya memperdayakan Yazid dalam gerakan solo akibat daripada kecuaian pemain pertahanan Negeri Sembilan, Khairil Zainal.

Sorakan padu oleh 7,000 penyokong Negeri Sembilan ternyata membakar semangat anal-anak buah M. Karathu untuk mencipta serangan demi serangan ke arah kubu Kuala Lumpur.

Pada minit ke-73, pemain pertahanan Ganeson menambah kedudukan Negeri Sembilan apabila menyumbang gol ketiga.

NEGERI SEMBILAN: FAIZAL zainal, B. Rajnikandh, Ching Hong Aik, Pedro Oliveira, ahmad shahrul, Zami Mohd. Noor, Khairil Zainal, Shamsul akmar, Effandy Abdul Malek, MOhd. Yazid Mohd. Yassin.

KUALA LUMPUR: Azmin Azram, Azlan Meri, Ahmad Faizal, M. Karunakaran, P. Saravanan, Adilson Roque, G. Muthu, Azmir Noor Hakim, S. Paidiya Rao, Azlan Hussin, Liew Kim Tu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PE8eIgCJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Dollah diharap pulih segera

ARKIB : 05/11/1998
Dollah diharap pulih segera
KECEDERAAN Dollah Salleh diharap akan pulih secepat mungkin bagi membolehkan beliau berganding bahu dengan Zami Mohd. Noor untuk beraksi menentang Kuala Lumpur pada pertandingan bola sepak Piala Malaysia, Sabtu ini, lapor MEOR HARMAN MEOR SHAKRI.

Pengurus Pasukan Negeri Sembilan, Jamaluddin Ahmad berkata, penyerang berpengalaman itu mengalami kecederaan kaki kanan pada minit ke-42 sejurus menjaringkan gol kedua Rusa ketika skuad itu menentang pasukan Kedah di Alor Setar, semalam.

Katanya, kehadiran Dollah dalam kesebelasan utama skuad Rusa amat dinantikan oleh peminat bola sepak negeri termasuk pemain yang lain berikutan kombinasi kedua-dua pemain itu yang kini ternyata serasi dan menggerunkan pihak lawan.

Menurutnya, peningkatan persembahan yang dipamerkan oleh skuad Rusa tambah menyakinkan potensi Negeri Sembilan untuk menempah tiket ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

''Kita berharap Dollah bersedia untuk beraksi pada Sabtu ini dan perlawanan pasti rancak,'' katanya di Seremban, semalam.

Pada perlawanan semalam, Negeri Sembilan menewaskan Kedah 3-2.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4PDR8NYFX © Utusan Melayu (M) Bhd

Negeri Sembilan, Perak menanti dalam debaran

ARKIB : 03/11/1998
DEBARAN semakin terasa buat empat pasukan yang sudah tidak mempunyai jalan melainkan mencari kemenangan dalam perlawanan Piala Malaysia, malam ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Dengan hanya Sabah, pendahulu kumpulan B yang mengumpul 13 mata agak selesa untuk menghadapi Pahang, penghuni tangga tercorot (1 mata), tumpuan seharusnya beralih kepada Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Perak yang mempunyai selera besar.

Begitu juga dengan dua lagi pasukan tidak bertanding malam ini, pendahulu kumpulan A Terengganu (13 mata) dan Brunei di tangga kedua kumpulan B (11 mata) tetap menjadi pilihan ke separuh akhir Piala Malaysia sewaktu Kedah dan Pahang awal- awal lagi sudah tersingkir.

Bagaimanapun, perlawanan menentang Kedah, pasukan tercorot (2 mata) kumpulan A, kian penting buat Negeri Sembilan untuk mencerahkan peluangnya ke separuh akhir Piala Malaysia.

Walaupun sudah terkeluar daripada persaingan separuh akhir Piala Malaysia, Kedah turut digeruni lawan selepas bertukar imej daripada skuad handalan kepada pasukan ''kacau daun'' yang sebelum ini menjadi penghalang besar Pulau Pinang.

Kejayaan Kedah yang membariskan kesemua pemain tempatan mengikat Pulau Pinang menerusi perlawanan yang berkesudahan seri tanpa jaringan membimbangkan Negeri Sembilan.

Tidak ada pilihan bagi Negeri Sembilan untuk mengekalkan kedudukan tangga kedua (10 mata) kumpulan A, kemenangan ke atas Kedah penting bagi menjarakkan kedudukannya daripada pencabar hebat, sama ada Pulau Pinang atau Kuala Lumpur.

Begitu juga Pulau Pinang, pasukan tangga ketiga kumpulan A akan diberi tentangan sengit oleh Kuala Lumpur yang turut berkongsi 7 mata tetapi kelebihan jaringan meletakkannya di tempat keempat.

Namun, di gelanggang sendiri Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Cheras, skuad bimbingan jurulatih Mat Zan Mat Aris tidak mahu lagi melengahkan hajat untuk membuka seluas-luasnya ruang ke separuh akhir Piala Malaysia.

Walaupun tinggal ''nyawa di hujung tanjung,'' Pulau Pinang yang begitu memerlukan kemenangan dalam dua baki perlawanan menentang Kuala Lumpur dan Terengganu tetap berhempas pulas untuk melakukan kejutan luar biasa.

Sambil mengharapkan Negeri Sembilan tewas dalam tiga baki perlawanannya termasuk malam ini dengan Kedah, Pulau Pinang perlu terlebih dahulu mencari kemenangan ke atas skuad warga kota.

Sementara, saingan kumpulan B di Stadium Perak menyaksikan pasukan ''seladang'' berdepan tugas berat untuk menghadapi Sarawak yang turut memasang angan-angan tinggi untuk menang selepas tewas 0-2 kepada jiran tetangga Sabah.

Perak yang kini mendudukki tempat ketiga (7 mata) mempunyai peluang cerah sekiranya mampu mencipta kemenangan ke atas penghuni tempat keempat, Sarawak (6 mata).
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PDDDgBDf

© Utusan Melayu (M) Bhd