ARKIB : 15/02/2004
MPPJ SELANGOR memulakan kempen
bola sepak Liga Perdana dengan sekadar seri 1-1 ke atas Negeri Sembilan di
Stadium Petaling Jaya semalam, sekali gus gagal mengulangi pencapaian mereka
dalam perlawanan Sumbangsih sebelum ini.
Juara Piala Malaysia, MPPJ, yang
menewaskan skuad Rusa 4-2 pada perlawanan Sumbangsih kelihatan mampu mengulangi
pencapaian itu apabila memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-57 hasil
percubaan Sasa Branezac.
Tetapi, Negeri Sembilan bangkit
mengasak untuk memaksa tuan rumah melakukan kesilapan. Mereka akhirnya
memperoleh sepakan penalti pada minit ke-75 yang disempurnakan oleh penyerang
dari Nigeria Duke Effiong.
Sementara itu, Johor FC harus
berterima kasih kepada pemain barunya, Papa Grourgiou dari Australia yang
menghasilkan gol kemenangan pada minit ke-70 untuk mengatasi Telekom Melaka 1-0
di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru.
Dalam perkembangan Liga Super,
Perak dan Pahang mengakui gagal mempamer aksi berkualiti khususnya dibabak
pertama kerana tertekan disebabkan pertemuan mereka menjadi tumpuan.
Menurut Pengurus Perak, Datuk
Jamal Nasir Rasdi para pemain berpengalaman pun jelas tidak dapat menyerap
bahang kehebatan perlawanan sulong Liga Super.
``Pertemuan ini merupakan satu
sejarah kerana para pemain `dipaksa' mempamerkan permainan berkualiti menepati
kehendak Liga Super menyebabkan pemain hilang tumpuan,'' katanya.
Pendapat itu turut dikongsi oleh
rakan sejawatannya, Pengurus Pahang, Datuk Shahibuddin Moin yang secara tidak
langsung mengakui barisan pemain `bintang' dalam pasukannya tidak dapat bermain
secara aggresif.
``Tetapi saya percaya para pemain
akan membentuk persefahaman dalam sedikit masa lagi,'' katanya.
Bagi jurulatih Perak pula, Toni
Netto menyifatkan pertemuan Perak - Pahang satu pertemuan hebat yang memenuhi
kriteria permainan Liga Super.
Katanya, walaupun sekadar seri
kedua pasukan mempamer permainan bermutu khususnya di babak kedua, meskipun
bermain dalam keadaan tertekan.
``Keputusan seri adalah adil
walaupun hakikatnya kami kecewa kerana beberapa peluang gagal disempurnakan,''
katanya
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4dwvhFkw2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan