ARKIB : 19/01/2004
TIGA tonggak yang gagal
menyerlah, taktik kotor pertahanan lawan dan kesilapan ketika mengekang sepakan
sudut adalah di antara penyebab Negeri Sembilan kempunan untuk menjulang Piala
Sultan Ahmad Shah dalam perlawanan bola sepak Sumbangsih, kelmarin.
Entah di mana silapnya, aksi
Anuar Jusoh, Shahrin Majid dan Cajetan Ndubuisi Oparaugo jauh meleset dari
tahap kemampuan sebenar sedangkan mereka sebelum ini sentiasa memikat
jurulatih, K. Devan.
``Oparaugo buat silap besar untuk
gol ketiga (sedangkan) sebelum ini dia tak begitu,'' kata Devan pada sidang
akhbar selepas perlawanan pembuka tirai bola sepak Liga Malaysia musim ini di
Stadium MPPJ, Petaling Jaya.
``Satu dua pemain lain yang saya
harapkan dapat menyerlah, gagal kali ini - jauh berbeza ketika perlawanan
persahabatan pramusim lalu. Itu yang menampakkan Negeri Sembilan macam tak
menjadi,'' tambahnya.
Tangkapan kurang kemas penjaga
gol dari Nigeria itu pada minit ke-49 membuka laluan bagi Bruno Sebastian
Martelotto meledakkan rembatan yang membawa gol ketiga MPPJ.
Kemerosotan Anuar dan Shahrin
menjana umpanan dan menguasai bahagian tengah pula mendorong Devan pantas
menarik mereka keluar untuk digantikan dengan Sathian Krishnan Moorthy dan
Syaiful Sabtu.
Katanya, ``paling ketara juga
ialah apabila tiada sesiapa pun daripada barisan benteng kami cuba mencabar
cubaan MPPJ untuk dua gol pertama menerusi dua sepakan sudut mereka. Kelemahan
benteng ini juga berulang dalam gol keempat lawan.''
Devan turut melahirkan kekecewaan
terhadap taktik benteng tuan rumah pimpinan Khairil Zainal yang didakwanya
sering menghadang dan menarik dua penyerang import skuad Rusa, Duke Esffiong
dan Razak Ekpoki.
``Pengadil patut perhatikan
taktik mereka tapi tak buat apa-apa. Mereka terus main kotor dengan penyerang
kami. Esffiong sampai tercedera buku lali dan akibatnya, dia terpaksa
dikeluarkan.
``Ekpoki pula diterjah. Setiap
kali dapat bola, dia diterjah dari belakang. Dijatuhkan dalam kotak penalti pun
masih dibiarkan oleh pengadil,'' keluh beliau.
Menurut Devan, aduan anak buahnya
terhadap taktik MPPJ itu cuma dipandang sepi oleh pengadil, Ahmad Khalidi
Supian dari Kedah sehingga turut mengganggu tumpuan dan kualiti persembahan
mereka.
``Saya amat kecewa. Yang
menjatuhkan juga tidak pula dikenakan kad kuning atau kami diberi penalti.
Dengan taktik sebegini, apa lagi yang boleh saya harapkan daripada penyerang
Negeri Sembilan?
``Jangan katakan pemain Nigeria
tiada kudrat untuk menangani asakan pemain Malaysia tapi kalau asyik diterjah
dan dikasari, macam mana kami mahu mempersembahkan permainan sebenar?''
katanya.
Bagaimanapun Devan tidak
berhasrat untuk memanjangkan isu ini menjadi lebih besar termasuk sehingga ke
peringkat mengajukan bantahan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
``Tiada bantahan bakal dihantar.
Ini hanya perlawanan pertama tetapi apa yang terjadi di padang sepanjang 90
minit memang kami tak suka. Kami tak mahu jadikannya satu isu besar,'' kata
beliau.
Devan mendakwa, secara
keseluruhan Negeri Sembilan mempamerkan corak permainan bola sepak yang sebenar
jika dibandingkan dengan juara Piala Malaysia bimbingan bekas penyerang
kebangsaan, Dollah Salleh itu.
``Sebenarnya pasukan saya
tidaklah teruk sangat. Jika kami dapat bangkit dan menyumbat dua gol untuk
penyamaan ketika beraksi di gelanggang lawan, saya fikir itu sudah cukup bagus.
``Kami lebih banyak menyerang,
menambah peluang untuk menyamakan dua gol lagi. Penjaga gol kami kurang
memegang bola berbanding mereka dan kecuali gol-gol MPPJ, saya tidak nampak ada
lagi cubaan berbahaya mereka,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dqkJschr
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan