
Jaringan
tunggal Marko Simic (depan, kanan) pada suku akhir pertama di Sabah, 1
April lalu menjadi bekalan Skuad Jang mara ke separuh akhir. - Foto
Hafis Abd Aziz (www.gawang.my)
SKUAD Jang mara ke separuh akhir Piala FA 2017 selepas
melakar keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi, sebentar tadi.
Gol tunggal diperoleh di tempat lawan pada suku akhir pertama hasil
jaringan Marko Simic, 1 April lalu menjadi faktor yang melayakkan mereka
ke pusingan seterusnya.
Melalui kemenangan itu, Skuad Hoben Jang Hoben bakal bertemu sama ada
Pahang atau Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan bersaing pada Ahad ini.
Walaupun beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, aksi Negeri
Sembilan tampak tenggelam dan seolah-olah tidak bermaya sepanjang babak
pertama.
Sebaliknya, pasukan pelawat yang lebih menguasai perlawanan sehingga
memaksa Mohd Asri Ninggal mengeluarkan Mohamad Izzudin Zainudin untuk
digantikan dengan Muhammad Izuan Mohd Salahuddin pada minit ke-32 bagi
memantapkan serangan.
Ketiadaan Andrew Tuck yang mendapat jolokan dalam kalangan penyokong
sebagai pemain mempunyai tiga paru-paru, jelas sekali telah memberi
kesan agak besar terhadap rentak permainan Skuad Hoben Jang Hoben.
Sesekali sahaja mereka mengancam kubu Sang Badak, namun cubaan
dilancarkan sama ada tersasar atau tepat ke dakapan Rozaimie Rohim yang
mengawal pintu gawang.
Bagaimanapun, situasi mula berubah selepas perlawanan memasuki separuh
masa kedua apabila gerakan demi gerakan direncanakan Skuad Rusa dilihat
lebih teratur.
Namun, tiang dan palang gol menjadi penghalang kepada hasrat pasukan
tuan rumah untuk mencipta jaringan yang amat diperlukan bagi meletakkan
mereka dalam kedudukan lebih selesa.
Rembatan kencang Marko Simic dari luar kotak penalti pada minit ke-56
sudah pun menewaskan penjaga gawang, namun bola terkena tiang sebelah
kanan.
Selang tiga minit kemudian, Khairul Anwar Shahrudin pula mengalami
nasib seperti Marko Simic apabila bola sepakannya dari near post sebelah
kiri terkena tiang.
Memasuki minit ke-73, pemain muda ini sekali lagi berputih mata
berikutan sepakan percuma dilepaskan dari jarak kira-kira 26 meter
sekadar menggegar palang.
Untuk rekod, kali terakhir Negeri Sembilan menjejaki peringkat suku
akhir Piala FA adalah pada 2013 yang menyaksikan mereka tunduk kepada
Terengganu dengan agregat 1-6.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 21.4.2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan