
ARKIB : 11/02/2009
DUA pemain Perlis (jersi
kuning) menghalang pemain Selangor Mohd. Amirul Hadi Zainal dalam saingan bola
sepak Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi. - UTUSAN/SHAHARANI SAIBI
KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan
merampas kedudukan pendahulu bola sepak Liga Super selepas membelasah Johor FC
3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.
Mereka berjaya mengetepikan
pendahulu terdahulu, KL Plus yang mengalami kekalahan pertama musim ini selepas
tumpas 2-0 kepada penyandang juara, Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Selangor pula masih berjaya
mencatat kemenangan 2-1 ke atas Perlis meskipun menamatkan permainan dengan 10
pemain di Stadium Shah Alam.
Empat pasukan - Negeri
Sembilan, Selangor, KL Plus dan Kelantan kini berkongsi 12 mata selepas mengharungi
lima perlawanan, tetapi dipisahkan oleh perbezaan gol.
Dalam perlawanan di Shah Alam,
Selangor terpaksa mengharungi 20 minit terakhir dengan 10 pemain selepas Nasriq
Baharom dilayangkan kad merah kerana menyiku pemain lawan.
Tuan rumah bagaimanapun berjaya
mempertahankan kelebihan mendahului menerusi jaringan Nasriq pada minit ke-40,
diikuti Fazilidin Khalid pada minit ke-52.
Perlis yang tampil lebih cergas
selepas beraksi dalam dua perlawanan Piala FA, memperoleh gol sagu hati
menerusi rembatan deras Danial Fadzly Abdullah pada minit ke-56.
Sementara itu, Kedah akhirnya
memperoleh kemenangan pertama musim ini, berterima kasih kepada dua jaringan
Mohd. Fadly Baharum pada minit kesembilan dan 63.
Kemenangan tersebut
menghidupkan kembali peluang skuad Hijau Kuning itu untuk mempertahankan
kejuaraan selepas mengalami tiga kekalahan dan satu seri dalam empat perlawanan
terdahulu.
Kelantan pula terus menjadi
pencabar utama gelaran Liga Super musim ini apabila mencatat kemenangan
keempatnya dengan menewaskan Perak 3-2 di Stadum Perak, Ipoh.
Kedua-dua pasukan terikat 2-2
ketika saingan tinggal seminit untuk ditamatkan, namun jaringan Mohd. Norfarhan
Mohamad pada minit ke-89 memastikan Kelantan pulang bersama tiga mata penuh.
Dalam perlawanan di Stadium
Darul Makmur, Pahang terus malang apabila tunduk 1-2 kepada wakil Kedah, Kuala
Muda Naza.
Gol Kuala Muda dijaringkan oleh
ketua pasukan, Mohd. Anuar Jusoh pada minit ke-27 dan K. Rajan (minit ke-41),
manakala gol sagu hati Pahang pada minit ke-54 dijaringkan oleh Mohd. Shahrizan
Salleh.
Di Stadium Bandaraya, Pulau
Pinang juga gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila
tumpas 2-3 kepada UPB-MyTeam.
Mohd. Fazrul Hazli Kadri
membuka jaringan MyTeam pada minit ke-10, diikuti jaringan Mohd. Nazrin Nawi
(56) dan Mohd. Zamri Chin (89) manakala gol Pulau Pinang dijaringkan Mohd. Mohd
Rafiuddin Nordin pada minit ke-30 dan Mohd. Failee Mohd. Ghazali, minit ke-69.
Dalam satu lagi perlawanan di
Stadium Sultan Mizan, gol tunggal Mohd Ashaari Shamsuddin di minit ke-77
membantu Terengganu menewaskan pasukan tercorot liga, PDRM 1-0.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51iyGWvJf
© Utusan Melayu (M) Bhd