Jumaat, 27 Oktober 2017

NS Naza masih perlu belajar



ARKIB : 21/01/2008

SEREMBAN – Gerak aksi sudah semakin matang tetapi jurulatih Negeri Sembilan Naza, Wan Jamak Wan Hassan mempunyai sebab untuk tidak bergembira kerana anak buah bimbingannya masih banyak yang perlu belajar.

Biarpun katanya, kemenangan 2-0 ke atas Perlis di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi kelmarin bagaikan ledakan selepas kecundang kepada Kedah tempoh hari, Wan Jamak mahu anak buahnya terus memberi fokus kepada perlawanan Liga Super ini.

‘‘Masih banyak yang perlu dibaiki terutama pada bahagian serangan. Kita juga mahu pemain lebih bersedia sebelum mereka turun menentang lawan,” katanya di sini, semalam.

Pada aksi kelmarin, Negeri Sembilan Naza mengganyang Perlis, 2-0 melalui jaringan yang dibuat Mohd. Aidil Zafuan pada minit ke-18 dan S. Kunalan diminit ke-73.

Dengan kemenangan itu, Negeri Sembilan Naza kini menduduki tangga kedua dengan 19 mata berbanding pendahulu, Kedah, 22 mata.

‘‘Saya menganggap pasukan ini masih lagi mentah dan perlu diberi lebih banyak pendedahan. Namun saya berbangga kerana menunjukkan satu persembahan yang baik.

Apa yang saya nyatakan kepada mereka, usah gentar berhadapan lawan, nampaknya berbaloi,” ujarnya.

Memuji

Wan Jamak juga memuji kecekapan Lamin Coteh yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam mengkucar-kacirkan benteng lawan, sehingga membuka ruang untuk memboloskan dua gol kelmarin.

‘‘Jika kita lihat Lamin Coteh berjaya mengerakkan jentera serangan di bahagian hadapan dan saya lihat kombinasinya bersama pemain semakin menjadi.

Saya yakin, Negeri Sembilan Naza akan memberikan saingan yang lebih baik pada aksi seterusnya,” jelasnya.

Namun begitu, Wan Jamak mengingatkan pemain, supaya tidak alpa dengan kemenangan itu kerana kesilapan yang dilakukan dalam padang boleh menjejaskan kedudukan dalam carta Liga Super, sekali gus menyebabkan pasukan skuad Rusa ini tersingkir pada saingan Piala Malaysia.

‘‘Kemenangan ini memberikan lebih banyak pelajaran kepada anak buah bimbingan saya dan mereka perlu belatih dan berlatih untuk memantapkan semua jentera barisan kesebelasan utama skuad Negeri Sembilan Naza untuk memberikan kemenangan demi kemenangan,” tegas Wan Jamak.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4whCTQyNi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan