ARKIB : 17/07/2008
KUALA LUMPUR - Keputusan rayuan
Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) berhubung pemotongan tiga mata
diterima atau sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada jawatankuasa pertandingan
tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"PBNS boleh mengemukakan
rayuan dan mengemukakan alasan kenapa berlakunya perkara itu dan kita
(jawatankuasa pertandingan tempatan) akan mempertimbangkannya," kata
pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Che Mat Jusoh di sini, semalam.
Che Mat berkata, jika
jawatankuasa berpendapat alasan PBNS kukuh, ia akan dikemukakan kepada
jawatankuasa rayuan untuk dipertimbangkan tentang hukuman yang telah dijatuhkan
itu dan begitu juga sebaliknya.
Jawatankuasa pertandingan
tempatan pada Isnin lepas mendapati Negeri Sembilan bersalah kerana tidak
menurunkan sekurang-kurangnya seorang pemain bawah 21 tahun dalam tempoh
permainan.
Ini menyebabkan kemenangan
Negeri Sembilan 3-0 ke atas Selangor di Shah Alam pada 27 Jun lepas adalah
tidak sah dan mereka ditolak tiga mata.
"Peraturan FAM telah
menetapkan seorang pemain bawah 21 tahun perlu berada di dalam padang dalam
tempoh 90 minit (masa permainan) atau masa tambahan walaupun hanya satu
saat," katanya.
Pada perlawanan itu, skuad
Negeri Sembilan telah mengeluarkan Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak dengan pemain
importnya Fortune E-Udo kira-kira tiga minit sebelum tamat permainan.
Negeri Sembilan kini terdesak
untuk mencari tempat ke suku akhir Piala Malaysia apabila sekadar menduduki
tangga keempat di dalam kumpulan A dengan 13 mata dan baki satu perlawanan.
Sementara itu, Setiausaha Agung
FAM, Datuk Azzuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, setakat petang ini PBNS
belum menghantar surat rayuan itu
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4zlm0iNMQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan