ARKIB : 08/01/2009
Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL

Pemain Negeri Sembilan, Tengku
Qayyum Ubaidillah (25) cuba menghalang asakan pemain Kedah, Mohd. Fauzi Shaari
(11) pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, kelmarin.
- Gambar ABD. RAZAK AID
SEREMBAN - Ini bukan soal siapa
lebih garang di atas padang tetapi aksi Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul
Rahman, Paroi kelmarin nyata telah menunjukkan permainan yang semakin matang.
Apa tidaknya, Pulau Pinang yang
dahulunya garang telah dijinakkan Negeri Sembilan, 3-0 pada aksi pembukaan Liga
Super dan kelmarin, Kedah yang sebelum ini gagah dan perkasa, juga rebah
dibelasah skuad Rusa ini dengan keputusan, 3-0.
Dengan keputusan itu, Negeri
Sembilan terus mengekalkan rekod dua perlawanan tanpa bolos dan menang dengan
jaringan besar, sekali gus mengumpulkan enam mata penuh dan berada di persada
liga.
Menurut jurulatih skuad Negeri
Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan, anak buahnya telah bermain dalam corak yang
pantas, mengelirukan lawan sekali gus mencuri peluang terbuka menjaringkan gol
untuk membuat Kedah berputih mata.
"Pemain negeri telah
menunjukkan kematangan, kawalan bola yang baik, pantas dan sebenarnya peluang
untuk menjaringkan gol lebih banyak sentiasa terbuka dalam aksi bertemu
Kedah," katanya kelmarin.
Kata Wan Jamak, pemain muda
seperti Mohd. Rahman Zabul, Mohd. Aidil Zafuan, Mohd. Zaquan Adha, Shahurain
Abu Samah, K.Thanaraj, Abd. Halim Zainal, Tengku Qayyum Ubaidullah dan Fadzly
Iskandar telah menunjukkan prestasi yang baik.
Selain mereka, kehadiran pemain
berpengalaman seperti Mohd. Shukor Adan, Rezal Zambery Yahya, Idris Karim juga
telah menguatkan lagi barisan kesebelasan skuad Rusa kelmarin.
Sementara itu, jurulatih Kedah,
Mohd. Azrai Khor Abdullah berkata, pemainnya telah diserang 'penyakit' tidak
boleh menjaringkan gol.
''Saya tidak tahu apa yang
berlaku, peluang begitu banyak tetapi mereka langsung tidak boleh menjaringkan
gol. Inilah penyakit mereka," katanya.
Kata Mohd. Azrai, selepas
melihat prestasi di Paroi ini, banyak yang perlu diperbetulkan lebih-lebih lagi
tiada persefahaman dalam corak permainan.
"Kekalahan ini satu
kejutan. Kedah sudah tewas dua perlawanan. Sesuatu perlu dilakukan
segera," tegasnya.
Dalam aksi kelmarin, ketua
pasukan kebangsaan, Muhd Shukor Adan telah memulakan malam gemilang skuad
'Hobin Jang Hobin' dengan menjaringkan gol pertama melalui tandukan cantik
hasil hantaran Rezal Zambery pada minit ke-33.
Penyerang berbisa, Mohd. Zaquan
Adha menambah derita skuad Kedah dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-39
hasil lorongan cantik Mohd. Firdaus Azizul.
K.Thanaraj yang menggantikan
Shukor Adan meranapkan impian Kedah dengan menjaringkan gol ketiga pada minit
ke-59 sekali gus melengkapkan kutipan mata penuh dalam Liga Super
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51IQqJ75S
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan