Ahad, 18 Mac 2018

Bekas pemain bola sepak N. Sembilan meninggal dunia


ARKIB : 18/04/2009
SEREMBAN - Bekas pemain bola sepak negeri era 1970-an dan 80-an, Burhanudin Junid, 55, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dekat sini, semalam selepas menderita sekian lama penyakit saraf.

Allahyarham meninggal dunia di hadapan isterinya, Rosmawati Abd. Manaf, 47 serta seorang daripada lima anaknya di hospital itu pada pukul 9.30 pagi, semalam.

Anak kedua Allahyarham, Mohd Syazwan, 21 berkata, bapanya telah lama menghidap penyakit saraf dan telah beberapa kali dimasukkan ke hospital mendapatkan rawatan.

''Tetapi semalam, kesihatan bapa semakin lemah dan pagi ini (semalam), doktor mengesahkan beliau meninggal dunia," katanya.

Allahyarham sewaktu hayatnya pernah bermain dan menjadi jurulatih kepada pasukan negeri meninggalkan seorang balu dan lima anak yang berusia dari sembilan hingga 22 tahun.

Turut menziarahi jenazah Allahyarham semalam termasuklah beberapa bekas pemain kebangsaan, jurulatih serta kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS), di mana tempat berkhidmat sewaktu hayatnya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan ketika dihubungi, semalam berkata, pemergian Allahyarham Burhanudin merupakan satu kehilangan kepada pasukan dan bola sepak negeri ini.

''Arwah merupakan bekas pemain yang cukup dedikasi.

''Kepada keluarga arwah, PBNS mengucapkan takziah dan bersabar dengan ketentuan Allah ini," kata beliau.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5AAeM1JZA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan