Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my

TEMPOH rehat panjang tanpa
perlawanan Liga Super memberi ruang buat penyerang muda Negeri Sembilan, N
Thanabalan untuk pulih daripada kecederaan lutut kanan yang membelenggunya
lebih sebulan lalu.
Pemain berusia 23 tahun itu
berkata, dia berasa amat lega kerana kecederaan yang dialami ketika menentang
Terengganu di Paroi pada 23 Februari lalu sudah hampir 100 peratus pulih dan
yakin tahap kecergasannya akan kembali ke tahap terbaik dalam tempoh terdekat.
“Saya sudah boleh menjalani
latihan penuh sejak dua minggu lalu. Ini satu perkembangan menggembirakan
kerana saingan liga akan kembali bersambung 14 April ini.
“Dengan baki tempoh masa yang
masih ada sebelum perlawanan menentang Kelantan, saya harap mampu mencapai
tahap prestasi terbaik bagi meneruskan perjuangan pasukan dalam liga.
“Tambahan pula, Negeri Sembilan
perlu bangkit bagi memastikan pasukan dapat keluar daripada kelompok terbawah
carta liga,” katanya di sini, hari ini.
Aksi terakhir Negeri Sembilan
dalam liga mengecewakan apabila mereka dibelasah Pahang 4-0 di Kuantan pada 10
Mac lalu.
Skuad itu yang kini dibimbing
bekas pengendali kebangsaan, Azraai Khor Abdullah akan menanti kunjungan
Kelantan pada 14 April depan.
Pemain berasal dari Rantau itu
berkata, dia dan rakan sepasukan mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan
pasukan itu dapat terus bersaing dalam liga selepas sekadar mencatat satu
kemenangan daripada lima perlawanan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Khamis, 29 Mac 2018 @ 3:07 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan