Isnin, 19 Mac 2018

NS bersedia terima asakan pelawat


ARKIB : 18/04/2009
Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
sukan@utusan.com.my
SEREMBAN – Sebelah kaki sudah ke perlawanan akhir Piala FA, cuma hari ini memerlukan pengesahan tanpa sebarang kesilapan bagi memastikan babak akhir milik Negeri Sembilan.

Biarpun bahang di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bahru pada aksi separuh akhir pertama menentang Kelantan, minggu lalu masih terasa, ia bagaimanapun terpaksa ditelan agar tidak menjejaskan reputasi aksi ulangan ini.

Bagaimanapun kata jurulatihnya, Wan Jamak Wan Hassan, kelebihan agregat 1-0 ke atas Kelantan belum kukuh, sebaliknya jika mereka menyajikan aksi layu di gelanggang sendiri.

‘‘Walaupun Idris Karim dan ketua pasukan, Rezal Zambry Yahya tidak akan diturunkan, saya akan menurunkan Shukor Adnan di tengah. Saya harap dia dapat membantu barisan pertahanan menahan asakan lawan,” katanya, semalam.

Tambah Wan Jamak, beliau yakin Kelantan akan mengganda menyerang secara berterusan bagi mencari mata awal perlawanan nanti.

‘‘Saya yakin kami akan memberikan saingan lebih sengit terhadap pelawat. Mereka akan memastikan kemenangan di hadapan penyokong sendiri. Saya berharap penyokong akan turun beramai-ramai untuk menyuntik semangat pemain,” jelasnya.

Wan Jamak juga menyifatkan kelebihan satu gol yang dijaringkan di Kelantan itu boleh dilihat ‘selesa’ kalau anak-anak buahnya terus mengasak lawan dengan corak permainan agresif.

‘‘Kita tidak boleh memandang ringan 90 minit perlawanan berlangsung. Setiap detik hendaklah dilakukan dengan serangan ke kubu lawan. Kita tidak boleh beri ruang untuk pasukan pelawat melakukan serangan,” tegas Wan Jamak.

Melalui corak latihan dan kesungguhan pemain, Wan Jamak yakin anak buahnya akan mempamerkan aksi menarik untuk memastikan Negeri Sembilan ke babak akhir.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5AB1RfqNn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan