Jumaat, 28 April 2017

Fairuz cerahkan laluan Negeri Sembilan

ARKIB : 22/09/2004
PEMAIN MPPJ, Branezac Sasa (kiri) dihalang Mohamad Ghazali (depan) dan Ching Hong Aik dari Negeri Sembilan dalam aksi bola sepak Piala Malaysia di Stadium Petaling Jaya, malam tadi. Kedua-dua pasukan seri 1-1. -Gambar MOHD. NOOR MD. AMIN.


PEMAIN remaja, Mohd. Fairuz Ezwan membantu Negeri Sembilan melebarkan laluannya untuk merebut satu lagi tempat dari Kumpulan B ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia apabila mengikat penyandang juara, MPPJ Selangor dengan keputusan 1-1 di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya malam tadi, lapor A. Jailani Abdullah
Keputusan seri pertama bagi kedua-dua pasukan itu juga mengukuhkan kedudukan Negeri Sembilan di tangga kedua dengan tujuh mata, lima di belakang Pulau Pinang yang lebih awal melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
MPPJ pula naik ke tangga ketiga dengan empat mata, satu di depan Perak tetapi berdepan dengan kemungkinan terkeluar kerana Perak masih mempunyai baki dua perlawanan.
Skuad Seladang yang tidak bermain semalam akan bertemu Pulau Pinang Isnin depan sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan menentang MPPJ pada 29 September.
Bermain tanpa dua perancang tengah, Bruno Martelotto dari Argentina yang digantung kerana mengumpul dua kad kuning ketika mereka tewas 3-2 kepada Pulau Pinang pada 25 Ogos lepas, MPPJ Selangor kelihatan mudah meratah Negeri Sembilan dengan menguasai sepenuhnya aksi babak pertama.
MPPJ Selangor mencipta beberapa peluang keemasan di depan pintu gol tetapi hanya percubaan jarak dekat penyerang dari Yugoslavia, Brenezec Sasa berjaya menembusi kawalan Azizion Abd. Kadir pada minit ke-29.
Hanya tiga minit kemudian Sasa bertindak cemerlang dengan umpanan cantik, menguis ke belakang kepada rakannya di barisan depan, Haris Safwan Kamal tetapi pemain itu menyepak tepat kepada Azizion untuk ditepis keluar.
Ketika separuh masa pertama memasuki masa kecederaan, MPPJ sekali lagi menyaksikan Sasa bertindak baik dengan umpanan kepada Azrin Shah Zainal yang melepaskan rembatan tepat kepada penjaga gol. Bola yang melantun disambar oleh Harris tetapi percubaannya juga terus kepada Azizion untuk ditolak keluar.
Selepas rehat, tanda-tanda kebangkitan skuad Rusa jelas kelihatan menerusi percubaan Mohd. Ghazali dari hujung kotak yang memerlukan Jamsari bertindak pantas menolak bola keluar di atas palang gol pada minit ke-57.
Namun Jamsari tidak mampu berbuat apa-apa seminit kemudian apabila ketua pasukan skuad Sukan Malaysia (Sukma) Negeri Sembilan, Mohd. Fairuz, yang masuk menggantikan Mohd. Farid Ideris, menyepak kencang dari sebelah kanan untuk gol penyamaan.
Menyedari barisan belakang MPPJ semakin longgar, tonggak pertahanan kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah naik untuk membantu rakan-rakannya dan nyaris menghasilkan gol kedua Negeri Sembilan tetapi percubaannya dari hujung kawasan gol terkena tiang.
Fabricio Franchesi menceriakan para penyokong setia MPPJ pada minit ke-89 dengan percubaan tepat ke dalam gawang selepas menerima umpanan lintang Sasa tetapi pengadil, V. Thiruch Selvam tidak mengesahkan jaringan itu kerana dia lebih dulu melakukan kesalahan.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ahad, 23 April 2017

Negeri Sembilan menang tipis

ARKIB : 17/06/2004
JUARA bertahan, Negeri Sembilan bangkit pada babak kedua untuk menewaskan Perak 3-2 pada suku akhir pertama bola sepak Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Seremban semalam.
Anuar Jusoh menjadi wira skuad Rusa apabila menghasilkan dua gol termasuk jaringan kemenangan pada minit terakhir perlawanan.
Perak sebelum itu mendahului menerusi jaringan ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar seawal minit kelapan tetapi Anuar menyamakan kedudukan pada minit ke-51. Liew Kit Kong kembali meletakkan Perak di depan minit ke-68 tetapi rakan sepasukannya Luciano Jesus menjaringkan gol sendiri untuk membolehkan kedudukan terikat 2-2 pada minit ke-87 dan dihampakan oleh jaringan Anuar pada minit terakhir.
Sementara itu, Terengganu mengejutkan Sabah dengan kemenangan 4-2 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Pendahulu Liga Super, Pahang pula menang tipis 2-1 ke atas Johor FC di Stadium J.Corp., Pasir Gudang.
Tentera turut mencipta kejutan apabila mengikat pendahulu Kumpulan A Liga Perdana, PKNS Selangor dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya.
Perlawanan suku akhir kedua akan dilangsungkan pada 30 Jun ini.

Sabtu, 22 April 2017

Suku akhir Piala FA - N. Sembilan hadapi laluan getir

ARKIB : 02/06/2004
JUARA bertahan, Negeri Sembilan menghadapi laluan penuh liku untuk mempertahankan Piala FA apabila diundi bertemu Perak dalam perlawanan suku akhir yang akan bermula pada 16 Jun.
Pertandingan pusingan kedua dijadualkan berlangsung pada 30 Jun.
Negeri Sembilan, yang menundukkan Perlis dalam perlawanan akhir di Ipoh tahun lepas, hanya mendapat sedikit kelebihan untuk pertemuan itu kerana akan menjadi tuan rumah suku akhir pertama.
Perak merupakan juara pertandingan pertama Piala FA pada 1990. Mereka juga muncul naib juara sebanyak dua kali iaitu pada 1991 dan 2002.
Jika dilihat kepada prestasi semasa kedua-dua pasukan, Perak jelas lebih gah selaku pasukan di tangga ketiga Liga Super ketika ini manakala Negeri Sembilan sekadar di tempat keenam, sesuatu yang sudah pasti menggusarkan skuad Rusa.
Hanya tiga pasukan dari Liga Super terselamat dan meneruskan perjuangan ke suku akhir Piala FA. Dua lagi pasukan selain Perak ialah pendahulu liga, Pahang dan Sabah.
Undian yang dilangsungkan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam mempertemukan Pahang dengan Johor FC, manakala Sabah akan menentang sama ada Terengganu atau Selangor - kedua-duanya merupakan bekas juara.
Keputusan pasukan mana yang akan bertemu Sabah bakal diketahui pada Rabu ini apabila juara tahun 2000, Terengganu menentang juara 1991, 1997 dan 2001, Selangor dalam perlawanan kedua pusingan ketiga di Shah Alam. Terengganu memiliki kelebihan setelah menang 2-1 di Kuala Terengganu dalam pertemuan pertama mereka.
Sementara itu, pendahulu Liga Perdana Kumpulan A, PKNS Selangor kelihatan mendapat laluan paling mudah apabila diundi bertemu Tentera, pasukan yang mereka tewaskan 2-0 dan 5-4 dalam dua perlawanan liga sebelum ini.
Pengurus pasukan Negeri Sembilan, Datuk Jamaluddin Ahmad menganggap pertemuan anak-anak buahnya dengan Perak adalah yang paling sukar dalam undian semalam.
``Ia adalah pertemuan yang menggerunkan,'' katanya. ``Walau pun kami merupakan juara tahun lepas, tetapi Perak ialah pasukan yang kuat. Namun kami akan memastikan mereka akan kecewa.''
Mendengar tekad Jamaluddin, pengurus Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi membalas dengan melaungkan kata-kata lebih bersemangat.
``Semua orang bertekad untuk mencipta kejayaan tetapi kami sentiasa bersedia menggempur apa sahaja halangan dan cabaran yang mendatang,'' tegas Jamal Nasir.

N. Sembilan kembali menyengat

 
 PEMAIN Negeri Sembilan, Bruno Junichi Suzuki Castanheira (jersi kuning) diasak pemain Sabah, Rawilson Batuil pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

NEGERI Sembilan kembali mewarnai kemeriahan Piala FA selepas mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir apabila mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Sabah pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.
Keputusan tersebut sudah memadai buat juara Piala FA 2010 itu untuk meneruskan kemaraan dengan kelebihan agregat 1-0 hasil kemenangan pada suku akhir pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 1 April lalu.
Begitupun, skuad Negeri Sembilan tidak diberi laluan mudah kerana mereka telah berdepan tentangan sengit daripada pasukan pelawat yang ternyata ghairah untuk mencari gol pembukaan.
Begitupun, skuad Hoben Jang Hoben itu kental bertahan sehingga tamat perlawanan.
Turut mengiringi Negeri Sembilan ke separuh akhir ialah Kedah yang mara dengan agregat 6-2.
Pada aksi suku akhir kedua di Stadium Perak, Ipoh malam tadi, Kedah tewas 0-1 kepada pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC menerusi jaringan Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi pada minit ke-10.
Kekalahan tersebut tidak menjejaskan kedudukan Kedah untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan bergaya 6-1 pada suku akhir pertama di Alor Setar, 1 April lalu.
Di Kuching, pasukan tuan rumah, Sarawak terpaksa berputih mata apabila hajat mereka dimusnahkan oleh Terengganu.
Kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2 selepas perlawanan suku akhir kedua itu berakhir dengan keputusan 1-1.
Pada aksi suku akhir pertama di Kuala Terengganu, 1 April lalu mereka juga mencatat keputusan seri 1-1.
Keputusan tersebut memaksa perlawanan diheret sehingga ke masa tambahan, namun tiada jaringan dihasilkan.
Pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti yang dipergunakan sepenuhnya oleh Terengganu untuk mencatat kemenangan 4-1.
Satu lagi pasukan yang memburu tempat ke separuh akhir akan ditentukan malam esok apabila juara bertahan, Johor Darul Ta’zim bakal berhadapan dengan Pahang di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunus, Larkin

Jang mara ke separuh akhir Piala FA 2017


Jang mara ke separuh akhir Piala FA 2017
Jaringan tunggal Marko Simic (depan, kanan) pada suku akhir pertama di Sabah, 1 April lalu menjadi bekalan Skuad Jang mara ke separuh akhir. - Foto Hafis Abd Aziz (www.gawang.my)
SKUAD Jang mara ke separuh akhir Piala FA 2017 selepas melakar keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Gol tunggal diperoleh di tempat lawan pada suku akhir pertama hasil jaringan Marko Simic, 1 April lalu menjadi faktor yang melayakkan mereka ke pusingan seterusnya.
Melalui kemenangan itu, Skuad Hoben Jang Hoben bakal bertemu sama ada Pahang atau Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan bersaing pada Ahad ini.
Walaupun beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, aksi Negeri Sembilan tampak tenggelam dan seolah-olah tidak bermaya sepanjang babak pertama.
Sebaliknya, pasukan pelawat yang lebih menguasai perlawanan sehingga memaksa Mohd Asri Ninggal mengeluarkan Mohamad Izzudin Zainudin untuk digantikan dengan Muhammad Izuan Mohd Salahuddin pada minit ke-32 bagi memantapkan serangan.
Ketiadaan Andrew Tuck yang mendapat jolokan dalam kalangan penyokong sebagai pemain mempunyai tiga paru-paru, jelas sekali telah memberi kesan agak besar terhadap rentak permainan Skuad Hoben Jang Hoben.
Sesekali sahaja mereka mengancam kubu Sang Badak, namun cubaan dilancarkan sama ada tersasar atau tepat ke dakapan  Rozaimie Rohim yang mengawal pintu gawang.
Bagaimanapun, situasi mula berubah selepas perlawanan memasuki separuh masa kedua apabila gerakan demi gerakan direncanakan Skuad Rusa dilihat lebih teratur.
Namun, tiang dan palang gol menjadi penghalang kepada hasrat pasukan tuan rumah untuk mencipta jaringan yang amat diperlukan bagi meletakkan mereka dalam kedudukan lebih selesa.
Rembatan kencang Marko Simic dari luar kotak penalti pada minit ke-56 sudah pun menewaskan penjaga gawang, namun bola terkena tiang sebelah kanan.
Selang tiga minit kemudian, Khairul Anwar Shahrudin pula mengalami nasib seperti Marko Simic apabila bola sepakannya dari near post sebelah kiri terkena tiang.
Memasuki minit ke-73, pemain muda ini sekali lagi berputih mata berikutan sepakan percuma dilepaskan dari jarak kira-kira 26 meter sekadar menggegar palang.
Untuk rekod, kali terakhir Negeri Sembilan menjejaki peringkat suku akhir Piala FA adalah pada 2013 yang menyaksikan mereka tunduk kepada Terengganu dengan agregat 1-6.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 21.4.2017

Selasa, 11 April 2017

MPPJ, NS sama gagah



ARKIB : 15/02/2004
MPPJ SELANGOR memulakan kempen bola sepak Liga Perdana dengan sekadar seri 1-1 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Petaling Jaya semalam, sekali gus gagal mengulangi pencapaian mereka dalam perlawanan Sumbangsih sebelum ini.

Juara Piala Malaysia, MPPJ, yang menewaskan skuad Rusa 4-2 pada perlawanan Sumbangsih kelihatan mampu mengulangi pencapaian itu apabila memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-57 hasil percubaan Sasa Branezac.

Tetapi, Negeri Sembilan bangkit mengasak untuk memaksa tuan rumah melakukan kesilapan. Mereka akhirnya memperoleh sepakan penalti pada minit ke-75 yang disempurnakan oleh penyerang dari Nigeria Duke Effiong.

Sementara itu, Johor FC harus berterima kasih kepada pemain barunya, Papa Grourgiou dari Australia yang menghasilkan gol kemenangan pada minit ke-70 untuk mengatasi Telekom Melaka 1-0 di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru.

Dalam perkembangan Liga Super, Perak dan Pahang mengakui gagal mempamer aksi berkualiti khususnya dibabak pertama kerana tertekan disebabkan pertemuan mereka menjadi tumpuan.

Menurut Pengurus Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi para pemain berpengalaman pun jelas tidak dapat menyerap bahang kehebatan perlawanan sulong Liga Super.

``Pertemuan ini merupakan satu sejarah kerana para pemain `dipaksa' mempamerkan permainan berkualiti menepati kehendak Liga Super menyebabkan pemain hilang tumpuan,'' katanya.

Pendapat itu turut dikongsi oleh rakan sejawatannya, Pengurus Pahang, Datuk Shahibuddin Moin yang secara tidak langsung mengakui barisan pemain `bintang' dalam pasukannya tidak dapat bermain secara aggresif.

``Tetapi saya percaya para pemain akan membentuk persefahaman dalam sedikit masa lagi,'' katanya.

Bagi jurulatih Perak pula, Toni Netto menyifatkan pertemuan Perak - Pahang satu pertemuan hebat yang memenuhi kriteria permainan Liga Super.

Katanya, walaupun sekadar seri kedua pasukan mempamer permainan bermutu khususnya di babak kedua, meskipun bermain dalam keadaan tertekan.

``Keputusan seri adalah adil walaupun hakikatnya kami kecewa kerana beberapa peluang gagal disempurnakan,'' katanya

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4dwvhFkw2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 10 April 2017

N. Sembilan tewas angkara pemain



ARKIB : 19/01/2004

TIGA tonggak yang gagal menyerlah, taktik kotor pertahanan lawan dan kesilapan ketika mengekang sepakan sudut adalah di antara penyebab Negeri Sembilan kempunan untuk menjulang Piala Sultan Ahmad Shah dalam perlawanan bola sepak Sumbangsih, kelmarin.

Entah di mana silapnya, aksi Anuar Jusoh, Shahrin Majid dan Cajetan Ndubuisi Oparaugo jauh meleset dari tahap kemampuan sebenar sedangkan mereka sebelum ini sentiasa memikat jurulatih, K. Devan.

``Oparaugo buat silap besar untuk gol ketiga (sedangkan) sebelum ini dia tak begitu,'' kata Devan pada sidang akhbar selepas perlawanan pembuka tirai bola sepak Liga Malaysia musim ini di Stadium MPPJ, Petaling Jaya.

``Satu dua pemain lain yang saya harapkan dapat menyerlah, gagal kali ini - jauh berbeza ketika perlawanan persahabatan pramusim lalu. Itu yang menampakkan Negeri Sembilan macam tak menjadi,'' tambahnya.

Tangkapan kurang kemas penjaga gol dari Nigeria itu pada minit ke-49 membuka laluan bagi Bruno Sebastian Martelotto meledakkan rembatan yang membawa gol ketiga MPPJ.

Kemerosotan Anuar dan Shahrin menjana umpanan dan menguasai bahagian tengah pula mendorong Devan pantas menarik mereka keluar untuk digantikan dengan Sathian Krishnan Moorthy dan Syaiful Sabtu.

Katanya, ``paling ketara juga ialah apabila tiada sesiapa pun daripada barisan benteng kami cuba mencabar cubaan MPPJ untuk dua gol pertama menerusi dua sepakan sudut mereka. Kelemahan benteng ini juga berulang dalam gol keempat lawan.''

Devan turut melahirkan kekecewaan terhadap taktik benteng tuan rumah pimpinan Khairil Zainal yang didakwanya sering menghadang dan menarik dua penyerang import skuad Rusa, Duke Esffiong dan Razak Ekpoki.

``Pengadil patut perhatikan taktik mereka tapi tak buat apa-apa. Mereka terus main kotor dengan penyerang kami. Esffiong sampai tercedera buku lali dan akibatnya, dia terpaksa dikeluarkan.

``Ekpoki pula diterjah. Setiap kali dapat bola, dia diterjah dari belakang. Dijatuhkan dalam kotak penalti pun masih dibiarkan oleh pengadil,'' keluh beliau.

Menurut Devan, aduan anak buahnya terhadap taktik MPPJ itu cuma dipandang sepi oleh pengadil, Ahmad Khalidi Supian dari Kedah sehingga turut mengganggu tumpuan dan kualiti persembahan mereka.

``Saya amat kecewa. Yang menjatuhkan juga tidak pula dikenakan kad kuning atau kami diberi penalti. Dengan taktik sebegini, apa lagi yang boleh saya harapkan daripada penyerang Negeri Sembilan?

``Jangan katakan pemain Nigeria tiada kudrat untuk menangani asakan pemain Malaysia tapi kalau asyik diterjah dan dikasari, macam mana kami mahu mempersembahkan permainan sebenar?'' katanya.

Bagaimanapun Devan tidak berhasrat untuk memanjangkan isu ini menjadi lebih besar termasuk sehingga ke peringkat mengajukan bantahan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

``Tiada bantahan bakal dihantar. Ini hanya perlawanan pertama tetapi apa yang terjadi di padang sepanjang 90 minit memang kami tak suka. Kami tak mahu jadikannya satu isu besar,'' kata beliau.

Devan mendakwa, secara keseluruhan Negeri Sembilan mempamerkan corak permainan bola sepak yang sebenar jika dibandingkan dengan juara Piala Malaysia bimbingan bekas penyerang kebangsaan, Dollah Salleh itu.

``Sebenarnya pasukan saya tidaklah teruk sangat. Jika kami dapat bangkit dan menyumbat dua gol untuk penyamaan ketika beraksi di gelanggang lawan, saya fikir itu sudah cukup bagus.

``Kami lebih banyak menyerang, menambah peluang untuk menyamakan dua gol lagi. Penjaga gol kami kurang memegang bola berbanding mereka dan kecuali gol-gol MPPJ, saya tidak nampak ada lagi cubaan berbahaya mereka,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dqkJschr
© Utusan Melayu (M) Bhd