ARKIB : 30/09/2009
KUALA LUMPUR - Juara bertahan,
Kedah tersungkur buat kali pertama manakala Negeri Sembilan berkenduri gol
dengan membelasah Sarawak 8-0 dalam perlawanan bola sepak Piala Malaysia 2009,
semalam.
Gol tunggal sepakan bebas Indra
Putra Mahayuddin sudah memadai buat Kelantan melukakan Sang Kenari di Stadium
Sultan Mohamed IV, Kota Bharu dalam perlawanan Kumpulan E.
Namun Negeri Sembilan yang berhak
bergembira besar termasuk dengan catatan hatrik penyerang muda negara, Mohd.
Zaquan Adha Abd. Radzak dalam aksi Kumpulan B di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi, Seremban.
Selangor pula melenyapkan
keraguan tentang reputasinya selaku juara tiga piala musim ini, Sabtu lalu
dengan menumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 dalam perlawanan Kumpulan D
di Stadium Shah Alam.
Trio barisan depan - Amirulhadi
Zainal, Safee Sali dan Amri Yahyah masing-masing memastikan tiga mata buat
Gergasi Merah dengan sepakan leret, rembatan kanan dan tolakan mudah pada minit
ke-17, 38 dan 88.
Naib juara Liga Super, Perlis
pula menghela nafas lega di Stadium Utama Negeri, Kangar sekalipun cuba
ditentang sengit menerusi gol pemain Pahang, Rahman Kadir dan Badrul Hisani
untuk menang 3-2.
Dua jaringan pemenang Kasut Emas
musim ini, Nizaruddin Yusof dan Ahmad Fakri Saarani pada minit ketiga, 25 dan
35 mengukuhkan penguasaan Singa Utara sebagai teraju Kumpulan A setakat ini.
Namun KL PLUS sudah kembali
dengan mengutip mata penuh apabila membenam Melaka 4-1 di Stadium Bola Sepak Kuala
Lumpur hasil dua jaringan Fadzli Saari selain Mohd. Lot Abu Hassan dan Amir
Shahrin Abdul Mubin.
Setelah mengekang Kedah 1-1 di
Alor Setar, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkongsi mata lagi apabila seri
dengan sebuah lagi pasukan Liga Super, Pulau Pinang 1-1 di Stadium Majlis
Perbandaran Selayang.
Kuala Lumpur pula mengejutkan
bekas juara Piala Malaysia, Perak 1-0 dengan jaringan Mohd. Badrulhisham pada
minit ke-65 daripada gerakan solo selepas diumpan Yong Kuong Yong biarpun
kehilangan Kamaruzaman Mahmud kerana kad merah.
Tidak seperti 'abangnya' Johor
yang ditumpaskan Terengganu 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Johor
FC terus mara dengan kemenangan kedua berturut-turut dan menerajui Kumpulan C
selepas menewaskan UPB-MyTeam 4-1.
Setelah menyambar tiga mata dari
Kuala Lumpur, anak buah Ramlan Rashid ini menyambung langkah konsisten dengan
dua gol Farid Ideris (43 dan 81), Nurul Azwan Roya (47) dan Sumardi Hajalan
(69) di Stadium JCorp, Pasir Gudang.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5YLuSQ9Nf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan