ARKIB : 10/07/2009
Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my
SEREMBAN - Satu percaturan yang
baik untuk jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan apabila keputusan
menggugurkan pemain utama yang tidak komited membuahkan hasil 'lumayan' di
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, baru-baru ini.
Menang kepada pasukan pelawat,
UPB-My Team, 6-2 pada aksi Liga Super itu nyata mengembalikan keyakinan peminat
untuk kembali menyokong, walaupun sebelum ini rekod tewas seolah-olah sudah
sebati dalam barisan skuad Rusa ini.
''Saya telah menggugurkan
beberapa pemain utama kerana mereka tidak menunjukkan komitmen terbaik dalam
perlawanan sebelum ini.
''Saya lakukan itu untuk
memastikan hanya mereka yang komited layak bermain dalam skuad ini,"
katanya di sini kelmarin.
Menurut Wan Jamak, soal semangat
pemain pada aksi kelmarin tidak dipersoalkan tetapi teknikal dan rentak
permainan yang menjadi kebimbangan dan memerlukan kekemasan segera.
''Saya puji semangat pemain
tetapi saya bimbang dari segi teknikal. Masih lemah," kata Wan Jamak.
Dalam aksi kelmarin, Negeri
Sembilan telah menyumbat enam gol pada separuh masa pertama menerusi S. Kunalan
minit ke-5 dan 14, Mohd. Zaquan Adha (m-8, m-21), manakala Shahurain Abu Samah
(m-22 dan m-38).
MyTeam telah menjaringkan gol
pada minit ke-18 menerusi Norsahrul Idlan Talaha sebelum Azmi Muslim merapatkan
jurang jaringan pada minit ke-74.
Kata Wan Jamak, walaupun reputasi
anak buahnya dilihat oleh peminat sebagai 'tiada harapan', namun dia yakin jika
pemain meletakkan kemenangan sebagai matlamat untuk mara ke Piala Malaysia,
skuad ini mampu melakukannya.
''Saya tetap yakin dan percaya
barisan pemain akan melakukan perubahan. Saya harap dengan kemenangan itu,
mereka kembali sedar untuk berlatih dengan bersungguh-sungguh dan mengutamakan
perlawanan," jelasnya.
Baru-baru ini, Presiden Persatuan
Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan menegur sikap
pemain yang gagal menghadiahkan kemenangan kepada pasukan ini, sekali gus
memperlihatkan kedudukan dalam carta terus merudum.
Kata Mohamad, beliau kecewa dan
kesal dengan perkembangan semasa pasukan ini dan mahu Setiuasaha PBNS, Datuk
Abd Halim Abd Latif segera menganjurkan mesyuarat bersama pasukan dan pemain
selain pengurusan mencari pendekatan terbaik memastikan skuad Negeri Sembilan
terus gagah.
''Kalau ada pemain yang tidak
menunjukkan minat, kita boleh cari pemain lain. Mereka perlu bangkit untuk
membuktikan kesungguhan dalam pasukan dan membawa Negeri Sembilan mara ke aksi
yang lebih berprestij iaitu Piala Malaysia," tegas Mohamad.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5XxWiI2da
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan