
ARKIB : 11/10/2009
PENJAGA gol Kelantan, Mohd.
Shahrizan (dua dari kanan) menyelamatkan bola daripada asakan pemain Kedah,
Azrul Ahmad dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Star,
malam tadi.
KUALA LUMPUR - Seperti dijangka
Selangor dan Negeri Sembilan tidak menghadapi masalah untuk menyertai Kelantan
layak ke suku akhir Piala Malaysia, semalam ketika ada satu lagi perlawanan
peringkat kumpulan yang tinggal.
Dengan tiga pasukan tersebut
sudah pun layak, ada lima lagi tempat untuk diisi oleh lapan pasukan yang masih
berpeluang ke suku akhir iaitu KL Plus, Perlis, Terengganu, Perak, Johor FC,
Kuala Muda Naza, Kedah dan Pulau Pinang.
Namun, KL PLUS yang menewaskan
Melaka 4-0 di Stadium Hang Tuah, semalam boleh dikatakan sudah sebelah kaki
berada di suku akhir dan hanya perlu seri dengan Perlis pada perlawanan
terakhir peringkat Kumpulan A, Selasa ini untuk mara.
Selangor pula walaupun sekadar
mencatat keputusan seri 1-1 dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium
Majlis Perbandaran Selayang tetapi sudah cukup kukuh untuk mengatasi tiga lagi
pasukan dalam Kumpulan D.
Dengan mengumpul 13 mata,
Selangor tidak mampu dipintas lagi termasuk oleh pasukan di tangga kedua, Kuala
Muda Naza yang menang 3-1 ke atas Sabah di Kompleks Sukan Tawau, semalam.
Negeri Sembilan pula terlalu
unggul menguasai saingan Kumpulan B apabila kemenangan kali kelima
berturut-turut dengan mengatasi Sarawak 1-0 di Stadium Sarawak, semalam
menjamin terus tempat mereka di suku akhir.
Mengekori rapat adalah Terengganu
yang mencipta kemenangan 4-2 ke atas Johor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos
semalam tetapi masih terpaksa menunggu nasib mereka pada perlawanan terakhir
menentang Negeri Sembilan di Paroi untuk layak.
Dalam saingan Kumpulan C, Johor
FC dan Perak memiliki peluang seimbang untuk layak selepas Johor FC menang 4-2
ke atas UPB-MyTeam di Stadium Petaling Jaya manakala Perak seri 1-1 dengan
Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Paling sukar untuk layak ke suku
akhir adalah Kedah dan Pulau Pinang. Selepas Kelantan mengesahkan tempat, nasib
mereka bergantung kepada perlawanan terakhir apabila mereka bakal bertemu
sesama sendiri, Selasa ini.
Semalam, Kedah menewaskan barisan
kedua Kelantan 1-0 di Stadium Darul Aman manakala Pulau Pinang menewaskan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 di Stadium Bandaraya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YaW3xqZp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan