Jumaat, 30 Mac 2018

Thana syukur dapat rehat panjang


Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my
 
TEMPOH rehat panjang tanpa perlawanan Liga Super memberi ruang buat penyerang muda Negeri Sembilan, N Thanabalan untuk pulih daripada kecederaan lutut kanan yang membelenggunya lebih sebulan lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata, dia berasa amat lega kerana kecederaan yang dialami ketika menentang Terengganu di Paroi pada 23 Februari lalu sudah hampir 100 peratus pulih dan yakin tahap kecergasannya akan kembali ke tahap terbaik dalam tempoh terdekat.

“Saya sudah boleh menjalani latihan penuh sejak dua minggu lalu. Ini satu perkembangan menggembirakan kerana saingan liga akan kembali bersambung 14 April ini.

“Dengan baki tempoh masa yang masih ada sebelum perlawanan menentang Kelantan, saya harap mampu mencapai tahap prestasi terbaik bagi meneruskan perjuangan pasukan dalam liga.

“Tambahan pula, Negeri Sembilan perlu bangkit bagi memastikan pasukan dapat keluar daripada kelompok terbawah carta liga,” katanya di sini, hari ini.

Aksi terakhir Negeri Sembilan dalam liga mengecewakan apabila mereka dibelasah Pahang 4-0 di Kuantan pada 10 Mac lalu.

Skuad itu yang kini dibimbing bekas pengendali kebangsaan, Azraai Khor Abdullah akan menanti kunjungan Kelantan pada 14 April depan.

Pemain berasal dari Rantau itu berkata, dia dan rakan sepasukan mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan pasukan itu dapat terus bersaing dalam liga selepas sekadar mencatat satu kemenangan daripada lima perlawanan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 3:07 PM

Isnin, 19 Mac 2018

NS bersedia terima asakan pelawat


ARKIB : 18/04/2009
Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
sukan@utusan.com.my
SEREMBAN – Sebelah kaki sudah ke perlawanan akhir Piala FA, cuma hari ini memerlukan pengesahan tanpa sebarang kesilapan bagi memastikan babak akhir milik Negeri Sembilan.

Biarpun bahang di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bahru pada aksi separuh akhir pertama menentang Kelantan, minggu lalu masih terasa, ia bagaimanapun terpaksa ditelan agar tidak menjejaskan reputasi aksi ulangan ini.

Bagaimanapun kata jurulatihnya, Wan Jamak Wan Hassan, kelebihan agregat 1-0 ke atas Kelantan belum kukuh, sebaliknya jika mereka menyajikan aksi layu di gelanggang sendiri.

‘‘Walaupun Idris Karim dan ketua pasukan, Rezal Zambry Yahya tidak akan diturunkan, saya akan menurunkan Shukor Adnan di tengah. Saya harap dia dapat membantu barisan pertahanan menahan asakan lawan,” katanya, semalam.

Tambah Wan Jamak, beliau yakin Kelantan akan mengganda menyerang secara berterusan bagi mencari mata awal perlawanan nanti.

‘‘Saya yakin kami akan memberikan saingan lebih sengit terhadap pelawat. Mereka akan memastikan kemenangan di hadapan penyokong sendiri. Saya berharap penyokong akan turun beramai-ramai untuk menyuntik semangat pemain,” jelasnya.

Wan Jamak juga menyifatkan kelebihan satu gol yang dijaringkan di Kelantan itu boleh dilihat ‘selesa’ kalau anak-anak buahnya terus mengasak lawan dengan corak permainan agresif.

‘‘Kita tidak boleh memandang ringan 90 minit perlawanan berlangsung. Setiap detik hendaklah dilakukan dengan serangan ke kubu lawan. Kita tidak boleh beri ruang untuk pasukan pelawat melakukan serangan,” tegas Wan Jamak.

Melalui corak latihan dan kesungguhan pemain, Wan Jamak yakin anak buahnya akan mempamerkan aksi menarik untuk memastikan Negeri Sembilan ke babak akhir.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5AB1RfqNn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 18 Mac 2018

Bekas pemain bola sepak N. Sembilan meninggal dunia


ARKIB : 18/04/2009
SEREMBAN - Bekas pemain bola sepak negeri era 1970-an dan 80-an, Burhanudin Junid, 55, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dekat sini, semalam selepas menderita sekian lama penyakit saraf.

Allahyarham meninggal dunia di hadapan isterinya, Rosmawati Abd. Manaf, 47 serta seorang daripada lima anaknya di hospital itu pada pukul 9.30 pagi, semalam.

Anak kedua Allahyarham, Mohd Syazwan, 21 berkata, bapanya telah lama menghidap penyakit saraf dan telah beberapa kali dimasukkan ke hospital mendapatkan rawatan.

''Tetapi semalam, kesihatan bapa semakin lemah dan pagi ini (semalam), doktor mengesahkan beliau meninggal dunia," katanya.

Allahyarham sewaktu hayatnya pernah bermain dan menjadi jurulatih kepada pasukan negeri meninggalkan seorang balu dan lima anak yang berusia dari sembilan hingga 22 tahun.

Turut menziarahi jenazah Allahyarham semalam termasuklah beberapa bekas pemain kebangsaan, jurulatih serta kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS), di mana tempat berkhidmat sewaktu hayatnya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan ketika dihubungi, semalam berkata, pemergian Allahyarham Burhanudin merupakan satu kehilangan kepada pasukan dan bola sepak negeri ini.

''Arwah merupakan bekas pemain yang cukup dedikasi.

''Kepada keluarga arwah, PBNS mengucapkan takziah dan bersabar dengan ketentuan Allah ini," kata beliau.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5AAeM1JZA
© Utusan Melayu (M) Bhd