Selasa, 28 November 2017

NS disaran buat rayuan

ARKIB : 17/07/2008
KUALA LUMPUR - Keputusan rayuan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) berhubung pemotongan tiga mata diterima atau sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada jawatankuasa pertandingan tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"PBNS boleh mengemukakan rayuan dan mengemukakan alasan kenapa berlakunya perkara itu dan kita (jawatankuasa pertandingan tempatan) akan mempertimbangkannya," kata pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Che Mat Jusoh di sini, semalam.

Che Mat berkata, jika jawatankuasa berpendapat alasan PBNS kukuh, ia akan dikemukakan kepada jawatankuasa rayuan untuk dipertimbangkan tentang hukuman yang telah dijatuhkan itu dan begitu juga sebaliknya.

Jawatankuasa pertandingan tempatan pada Isnin lepas mendapati Negeri Sembilan bersalah kerana tidak menurunkan sekurang-kurangnya seorang pemain bawah 21 tahun dalam tempoh permainan.

Ini menyebabkan kemenangan Negeri Sembilan 3-0 ke atas Selangor di Shah Alam pada 27 Jun lepas adalah tidak sah dan mereka ditolak tiga mata.

"Peraturan FAM telah menetapkan seorang pemain bawah 21 tahun perlu berada di dalam padang dalam tempoh 90 minit (masa permainan) atau masa tambahan walaupun hanya satu saat," katanya.

Pada perlawanan itu, skuad Negeri Sembilan telah mengeluarkan Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak dengan pemain importnya Fortune E-Udo kira-kira tiga minit sebelum tamat permainan.

Negeri Sembilan kini terdesak untuk mencari tempat ke suku akhir Piala Malaysia apabila sekadar menduduki tangga keempat di dalam kumpulan A dengan 13 mata dan baki satu perlawanan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, setakat petang ini PBNS belum menghantar surat rayuan itu
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4zlm0iNMQ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Pemain bola sepak NS cedera kemalangan

ARKIB : 16/07/2008
SEREMBAN - Seorang pemain bola sepak Negeri Sembilan cedera ringan apabila kereta yang dinaikinya terbabas di Kilometer 227.6 Lebuh Raya Air Keroh, dekat sini, semalam.

Kereta yang dipandu Ching Hong Aik, 35, terbabas ketika cuba mengelak daripada melanggar sebuah lori yang dipercayai memotong keretanya dari sebelah kiri.

Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Mizan Md Dom yang mengesahkan perkara itu berkata kejadian tersebut berlaku kira-kira 3.20 petang ketika pemain itu sedang dalam perjalanan pulang dari Melaka ke Seremban.

Jurulatih Wan Jamak Wan Hassan ketika dihubungi berkata, walaupun tidak mengalami kecederaan teruk tetapi Hong Aik mungkin masih berada dalam keadaan terkejut.

"Ada kemungkinan Hong Aik tidak akan diturunkan ketika Negeri Sembilan menentang Sarawak (Piala Malaysia) di Paroi malam ini," katanya.

- Bernama
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4zleNWwSr

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 26 November 2017

NS Naza kembali nama asal Negeri Sembilan

ARKIB : 12/06/2008
 
Penyerang Sabah, Zainizam Marjan (kiri) berjaya mengawal bola walaupun cuba dihalang pemain pertahanan P.Pinang, Mat Saiful Mohamad pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Likas, semalam.

SEREMBAN - Skuad Hobin Jang Hobin tidak lagi menggunakan perkataan NAZA pada nama pasukannya dan kini pasukan itu kembali ke nama asal, Negeri Sembilan.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Abd. Halim Abd. Latif, nama baru itu mula digunakan pada kempen Piala Malaysia (semalam).

Jelas beliau, keputusan untuk menggugurkan perkataan NAZA itu dibuat dalam mesyuarat pengurusan PBNS yang diadakan baru-baru ini.

Tambahnya, pasukan bola sepak Negeri Sembilan telah menggunakan nama Negeri Sembilan NAZA dalam dua musim sebelum ini.

''Sehubungan itu, PBNS ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada NAZA Group kerana telah menaja pasukan bola sepak Negeri Sembilan selama dua musim berturut-turut," ujar Abd. Latif ketika dihubungi di sini, semalam.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zaVHQhru

© Utusan Melayu (M) Bhd

Kekalahan NS buka laluan Perlis, WP ke suku akhir

ARKIB : 02/06/2008
KUALA TERENGGANU - Ketua jurulatih bola sepak Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hasan sekali lagi berang dengan persembahan hambar para pemain sambil menyifatkan ia pencapaian buruk pasukan tersebut.

Pemenang pingat emas acara bola sepak Sukma 2004 itu terpaksa menamatkan cabaran lebih awal pada temasya di sini apabila tewas 2-3 kepada Perlis pada perlawanan terakhir Kumpulan C di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, semalam.

Kekalahan tersebut memberi laluan kepada Perlis untuk mengiringi Wilayah Persekutuan ke suku akhir dalam kumpulan tersebut.

Wilayah Persekutuan unggul dengan sembilan mata selepas menang 2-1 ke atas Melaka dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C di padang Kompleks Sukan Gong Badak, semalam.

Perlis muncul naib juara dengan enam mata manakala Melaka di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Kegagalan tersebut disifatkan satu kejutan ke atas Negeri Sembilan yang diletakkan sebagai antara pasukan pilihan kerana dibarisi tiga pemain Liga Super iaitu S. Kunalan, Shahrain Abu Samah dan K. Thanaraj.

Apa yang lebih mengecewakan, kata Wan Jamak, Negeri Sembilan berjaya berada di depan dengan dua gol sebelum membenarkan Perlis meraih jaringan kemenangan.

"Saya kecewa dengan prestasi pemain terutama barisan pertahanan. Tiga jaringan Perlis itu umpama 'hadiah' daripada Negeri Sembilan.

"Posisi pertahanan sekadar menjadi pemerhati sehingga membenarkan Perlis menjaringkan gol hanya menerusi lontaran ke dalam," katanya.

Pertembungan Negeri Sembilan-Perlis berlangsung sengit bagi perebutan slot ke suku akhir.

Perlis dua kali bangkit dari ketinggalan sebelum menang menerusi jaringan Md. Helmi Abd. Karim.

Terdahulu Negeri Sembilan yang menguasai babak awal perlawanan di depan seawal minit kelapan menerusi Muhd. Arif Ismail, namun Perlis bangkit menyamakan kedudukan minit ke-22 menerusi Mohd. Alif Aswad.

Negeri Sembilan yang muncul juara bola sepak di tempat sendiri pada Sukma 2004, sekali lagi di depan menerusi gol sendiri pemain Perlis, Hazerin Abd. Hamid pada minit ke-30.

Ketinggalan satu gol tidak mematahkan semangat Perlis yang bangkit dengan jaringan penyamaan sekali lagi oleh Mohd. Alif Aswad pada minit ke-39.

Md. Helmi Abd. Karim muncul wira Perlis apabila menjaringkan gol kemenangan dua minit sebelum rehat.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukanberhati-hati, namun Perlis mempertahankan kedudukan tersebut untuk memastikan tempat ke suku akhir.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C, Wilayah Persekutuan yang telah layak ke suku akhir mengatasi Melaka 2-1.

Walaupun sudah tidak berpeluang ke suku akhir, Melaka tetap memberi saingan sengit dan hasilnya memperoleh jaringan pendahulu pada minit ke-30 menerusi Mohd. Yusri Abad.

Namun, Kuala Lumpur yang tidak tertekan, bangkit menerusi jaringan penyamaan Mohd. Hafzairi Azmi minit ke-40 dan gol kemenangan Stanley Bernard Stephen Samuel minit ke-57.

Sementara itu, perlawanan terakhir kumpulan B, Kelantan berpesta gol dengan membelasah Sabah 5-0.

Namun kemenangan itu sudah tidak bermakna kerana kedua-dua pasukan telah pun tersingkir awal
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4zX076gu4

© Utusan Melayu (M) Bhd