Isnin, 23 Oktober 2017

NS Naza semakin matang




Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my
PEMAIN NS Naza, S. Kunalan (kanan) dihalang kapten PDRM, Yosri Dema Raju pada pertemuan Liga Super kelmarin.

NEGERI SEMBILAN Naza (NS Naza) semakin memperlihatkan kematangan.

Kemenangan demi kemenangan yang dicatat membuktikan segalanya.

Terbaru, PDRM menjadi mangsa mereka selepas mencatat kemenangan 3-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam kelmarin.

Menariknya, persembahan pemain muda yang diserapkan dalam skuad tersebut juga semakin menunjukkan kematangan.

Jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan berkata, rombakan dalam pasukan terpaksa dilakukan kerana ramai pemain utama masih dibelenggu kecederaan.

"Saya puas hati kerana pemain-pemain muda yang diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran telah menunjukkan komitmen selain memberikan persembahan terbaik pada setiap perlawanan.

"Namun begitu, pada perlawanan malam ini (kelmarin), kita dapat melihat barisan pertahanan masih goyah tanpa tonggak utama, Marion Juhas.

"Kami akan terus bekerja keras untuk mengatasi kelemahan ini," katanya.

Pada perlawanan menentang PDRM malam kelmarin, Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak menjadi wira NS Naza apabila berjaya menyumbat gol kemenangan pada minit ke-60.

Sebelum itu, dia membuka tirai jaringan melalui tandukan cantik pada minit ke-14 sebelum PDRM menyamakan kedudukan hasil jaringan Azlan Ismail pada minit ke-37.

Pemain muda NS Naza yang sedang meningkat naik, S.Kunalan memberi kelebihan kepada skuad bimbingan Wan Jamak itu dengan rembatan cantik pada minit ke-50 sebelum Azlan Ismail sekali lagi menghampakan dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-56.

Wan Jamak menambah, dia akan memberi penumpuan untuk memastikan barisan muda ini mempunyai persefahaman yang baik menjelang perlawanan akan datang.

Katanya, dia berbangga dengan semangat juang anak buahnya kerana berjaya mengutip tiga mata penuh untuk terus mengekori pendahulu Liga Super, Kedah.

SUMBER Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0131&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4wNhZ9RxMHakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan