Jumaat, 30 November 2018

Kedah tersungkur, NS kenduri gol


ARKIB : 30/09/2009
KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Kedah tersungkur buat kali pertama manakala Negeri Sembilan berkenduri gol dengan membelasah Sarawak 8-0 dalam perlawanan bola sepak Piala Malaysia 2009, semalam.

Gol tunggal sepakan bebas Indra Putra Mahayuddin sudah memadai buat Kelantan melukakan Sang Kenari di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu dalam perlawanan Kumpulan E.

Namun Negeri Sembilan yang berhak bergembira besar termasuk dengan catatan hatrik penyerang muda negara, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak dalam aksi Kumpulan B di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.

Selangor pula melenyapkan keraguan tentang reputasinya selaku juara tiga piala musim ini, Sabtu lalu dengan menumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 dalam perlawanan Kumpulan D di Stadium Shah Alam.

Trio barisan depan - Amirulhadi Zainal, Safee Sali dan Amri Yahyah masing-masing memastikan tiga mata buat Gergasi Merah dengan sepakan leret, rembatan kanan dan tolakan mudah pada minit ke-17, 38 dan 88.

Naib juara Liga Super, Perlis pula menghela nafas lega di Stadium Utama Negeri, Kangar sekalipun cuba ditentang sengit menerusi gol pemain Pahang, Rahman Kadir dan Badrul Hisani untuk menang 3-2.

Dua jaringan pemenang Kasut Emas musim ini, Nizaruddin Yusof dan Ahmad Fakri Saarani pada minit ketiga, 25 dan 35 mengukuhkan penguasaan Singa Utara sebagai teraju Kumpulan A setakat ini.

Namun KL PLUS sudah kembali dengan mengutip mata penuh apabila membenam Melaka 4-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hasil dua jaringan Fadzli Saari selain Mohd. Lot Abu Hassan dan Amir Shahrin Abdul Mubin.

Setelah mengekang Kedah 1-1 di Alor Setar, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkongsi mata lagi apabila seri dengan sebuah lagi pasukan Liga Super, Pulau Pinang 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Kuala Lumpur pula mengejutkan bekas juara Piala Malaysia, Perak 1-0 dengan jaringan Mohd. Badrulhisham pada minit ke-65 daripada gerakan solo selepas diumpan Yong Kuong Yong biarpun kehilangan Kamaruzaman Mahmud kerana kad merah.

Tidak seperti 'abangnya' Johor yang ditumpaskan Terengganu 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Johor FC terus mara dengan kemenangan kedua berturut-turut dan menerajui Kumpulan C selepas menewaskan UPB-MyTeam 4-1.

Setelah menyambar tiga mata dari Kuala Lumpur, anak buah Ramlan Rashid ini menyambung langkah konsisten dengan dua gol Farid Ideris (43 dan 81), Nurul Azwan Roya (47) dan Sumardi Hajalan (69) di Stadium JCorp, Pasir Gudang.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5YLuSQ9Nf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 26 November 2018

Percaturan mengena


ARKIB : 10/07/2009
Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my
SEREMBAN - Satu percaturan yang baik untuk jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan apabila keputusan menggugurkan pemain utama yang tidak komited membuahkan hasil 'lumayan' di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, baru-baru ini.

Menang kepada pasukan pelawat, UPB-My Team, 6-2 pada aksi Liga Super itu nyata mengembalikan keyakinan peminat untuk kembali menyokong, walaupun sebelum ini rekod tewas seolah-olah sudah sebati dalam barisan skuad Rusa ini.

''Saya telah menggugurkan beberapa pemain utama kerana mereka tidak menunjukkan komitmen terbaik dalam perlawanan sebelum ini.

''Saya lakukan itu untuk memastikan hanya mereka yang komited layak bermain dalam skuad ini," katanya di sini kelmarin.

Menurut Wan Jamak, soal semangat pemain pada aksi kelmarin tidak dipersoalkan tetapi teknikal dan rentak permainan yang menjadi kebimbangan dan memerlukan kekemasan segera.

''Saya puji semangat pemain tetapi saya bimbang dari segi teknikal. Masih lemah," kata Wan Jamak.

Dalam aksi kelmarin, Negeri Sembilan telah menyumbat enam gol pada separuh masa pertama menerusi S. Kunalan minit ke-5 dan 14, Mohd. Zaquan Adha (m-8, m-21), manakala Shahurain Abu Samah (m-22 dan m-38).

MyTeam telah menjaringkan gol pada minit ke-18 menerusi Norsahrul Idlan Talaha sebelum Azmi Muslim merapatkan jurang jaringan pada minit ke-74.

Kata Wan Jamak, walaupun reputasi anak buahnya dilihat oleh peminat sebagai 'tiada harapan', namun dia yakin jika pemain meletakkan kemenangan sebagai matlamat untuk mara ke Piala Malaysia, skuad ini mampu melakukannya.

''Saya tetap yakin dan percaya barisan pemain akan melakukan perubahan. Saya harap dengan kemenangan itu, mereka kembali sedar untuk berlatih dengan bersungguh-sungguh dan mengutamakan perlawanan," jelasnya.

Baru-baru ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan menegur sikap pemain yang gagal menghadiahkan kemenangan kepada pasukan ini, sekali gus memperlihatkan kedudukan dalam carta terus merudum.

Kata Mohamad, beliau kecewa dan kesal dengan perkembangan semasa pasukan ini dan mahu Setiuasaha PBNS, Datuk Abd Halim Abd Latif segera menganjurkan mesyuarat bersama pasukan dan pemain selain pengurusan mencari pendekatan terbaik memastikan skuad Negeri Sembilan terus gagah.

''Kalau ada pemain yang tidak menunjukkan minat, kita boleh cari pemain lain. Mereka perlu bangkit untuk membuktikan kesungguhan dalam pasukan dan membawa Negeri Sembilan mara ke aksi yang lebih berprestij iaitu Piala Malaysia," tegas Mohamad.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5XxWiI2da
© Utusan Melayu (M) Bhd