JUMAAT, 17 FEBRUARI 2017 @
11:49 PM
Oleh Mohd Amin Jalil bhsukan@bh.com.my

Pemain Negeri Sembilan, Mohamad
Fauzan (kiri) bersaing dengan pemain Terengganu, Muhd Ferris Danial Mat Nasir
(kanan) pada perlawanan Liga Premier 2017 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
- Foto NSTP/Hazreen Mohamad
SEREMBAN: Negeri Sembilan
berjaya mengekalkan rekod cemerlangnya di laman sendiri apabila menewaskan
pencabar utama Terengganu, 3-2, dalam saingan Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul
Rahman, Paroi, malam tadi. Ini adalah kemenangan keempat dicatatkan skuad Hobin
Jang Hobin sekali gus mengukuhkan cengkamannya di puncak carta liga dengan
meraih 12 mata selepas empat perlawanan.
Manakala Terengganu jatuh ke tangga
ketiga apabila dipintas Johor Darul Ta'zim (JDTII) yang berkongsi sembilan mata
tetapi beraksi lebih satu perlawanan. Dalam perlawanan malam tadi, kedua-dua
pasukan mempamerkan aksi agresif sebaik permainan dimulakan dalam usaha mereka
untuk mendapatkan gol awal.
Terengganu yang gigih
mendapatkan gol awal tersentak apabila Bruno Suziki meledak gol pertama Negeri
Sembilan menerusi tandukan selepas menerima hantaran silang Mohd Faizal Abu
Bakar pada minit ke-23, yang menewaskan penjaga gol Terengganu, Amierul Hakimi
Awang.
Empat minit kemudian, Negeri
Sembilan berjaya melebarkan jurang apabila giliran Marko Simic menjaringkan gol
kedua, menerusi tandukan cantik hasil sepakan percuma Lee Andrew Tuck dari
sebelah kiri pada minit ke-27. Jaringan itu menaikkan lagi semangat anak buah
Mohd Asri Ninggal apabila berterusan melancarkan serangan ke kubu skuad Penyu,
dalam usaha mereka mendapatkan kedudukan lebih selesa.
Di babak kedua, Terengganu
memperkemaskan jentera serangan dan menguasai permainan sebelum berjaya
mendapatkan gol pertama hasil jaringan kapten Abdul Latif Suhaimi pada minit
ke-53. Gol itu dihasilkan susulan kesilapan pertahanan Negeri Sembilan yang
gagal mengeluarkan bola jauh dari kawasan kotak penalti.
Kesilapan pertahanan tuan rumah
itu bagaimanapun ditebus Mohd Izuan apabila dia berjaya menjaringkan gol ketiga
tuan rumah pada minit ke-74, menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti.
Essey Nakajima berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan gol kedua Terengganu
pada minit ke-80 hasil sepakan rendah dari luar kotak penalti selepas
memperdayakan pertahanan Negeri Sembilan. Usaha anak buah Irfan Bakti untuk
mengikat kedudukan bagaimanapun tidak berhasil sehingga ke wisel penamat
Sumber-Selanjutnya di :
http://www.bharian.com.my/node/249641
Tiada ulasan:
Catat Ulasan