Sabtu, 18 Februari 2017

Negeri Sembilan tewaskan Terengganu 3-2

KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB
17 FEBRUARI 2017
 Negeri Sembilan tewaskan Terengganu 3-2
Negeri Sembilan tewaskan Terengganu 3-2 Mohammad Faizal Abu Bakar (bawah) bersaing dengan Issey Nakajima (atas) untuk mendapatkan bola. - Foto Hafis Abd Aziz (gawang.my)
NEGERI Sembilan mencatatkan kemenangan keempat berturut-turut di laman sendiri apabila menundukkan Terengganu dengan jaringan 3-2, sebentar tadi.

Beraksi di depan ribuan penyokong sendiri, Skuad Hoben Jang Hoben bermula garang apabila terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-23.

Penyerang import berdarah kacukan Brazil Jepun, Bruno Suzuki menanduk masuk bola hantaran lintang Mohammad Faizal Abu Bakar untuk meletakkan tuan rumah di depan.


Berselang empat minit kemudian, giliran Marko Simic memahat nama sebagai penjaring juga menerusi tandukan yang berpunca daripada sepakan percuma Andrew Tuck.

Lebih manis, gol itu merupakan jaringan pertama bagi penyerang berkenaan selepas menempuh empat perlawanan tanpa sebarang hasil.

Muhammad Izuan Mohd Salahuddin menambah derita Terengganu apabila menjaringkan gol ketiga Skuad Jang pada minit ke-74.

Tolakan kaki kanannya di near post sebelah kanan hanya mampu diperhatikan Amierul Hakimi Awang yang mengawal pintu gawang.

Sebelum itu pada minit ke-17, Andrew Tuck hampir memecah kebuntuan tetapi percubaannya tidak menepati sasaran.

Minit ke-30 pula menyaksikan rembatan Khairul Anwar Shahrudin ditepis keluar penjaga gol lawan.

Memasuki babak kedua, Sang Penyu mula kembali mengatur gerak dan berhasil merapatkan jurang kedudukan melalui kapten pasukan, Abdul Latiff Suhaimi.

Rembatan dilepaskan pada minit ke-53 tertampan pertahanan tuan rumah, sebelum menerjah jaring.

Issey Nakajima menambah gol untuk Terengganu apabila sepakan leretnya dari luar kotak penalti melepasi jangkauan Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman.

Kemenangan itu menyaksikan Negeri Sembilan kini menerajui persada Liga Perdana 2017 dengan mengumpul 12 mata.

Sumber-sinar Harian online 17 FEBRUARI 2017

Negeri Sembilan gah kuasai Liga Perdana

JUMAAT, 17 FEBRUARI 2017 @ 11:49 PM
 Oleh Mohd Amin Jalil bhsukan@bh.com.my
Pemain Negeri Sembilan, Mohamad Fauzan (kiri) bersaing dengan pemain Terengganu, Muhd Ferris Danial Mat Nasir (kanan) pada perlawanan Liga Premier 2017 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

SEREMBAN: Negeri Sembilan berjaya mengekalkan rekod cemerlangnya di laman sendiri apabila menewaskan pencabar utama Terengganu, 3-2, dalam saingan Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. Ini adalah kemenangan keempat dicatatkan skuad Hobin Jang Hobin sekali gus mengukuhkan cengkamannya di puncak carta liga dengan meraih 12 mata selepas empat perlawanan.

      Manakala Terengganu jatuh ke tangga ketiga apabila dipintas Johor Darul Ta'zim (JDTII) yang berkongsi sembilan mata tetapi beraksi lebih satu perlawanan. Dalam perlawanan malam tadi, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi agresif sebaik permainan dimulakan dalam usaha mereka untuk mendapatkan gol awal.

Terengganu yang gigih mendapatkan gol awal tersentak apabila Bruno Suziki meledak gol pertama Negeri Sembilan menerusi tandukan selepas menerima hantaran silang Mohd Faizal Abu Bakar pada minit ke-23, yang menewaskan penjaga gol Terengganu, Amierul Hakimi Awang.

Empat minit kemudian, Negeri Sembilan berjaya melebarkan jurang apabila giliran Marko Simic menjaringkan gol kedua, menerusi tandukan cantik hasil sepakan percuma Lee Andrew Tuck dari sebelah kiri pada minit ke-27. Jaringan itu menaikkan lagi semangat anak buah Mohd Asri Ninggal apabila berterusan melancarkan serangan ke kubu skuad Penyu, dalam usaha mereka mendapatkan kedudukan lebih selesa.

Di babak kedua, Terengganu memperkemaskan jentera serangan dan menguasai permainan sebelum berjaya mendapatkan gol pertama hasil jaringan kapten Abdul Latif Suhaimi pada minit ke-53. Gol itu dihasilkan susulan kesilapan pertahanan Negeri Sembilan yang gagal mengeluarkan bola jauh dari kawasan kotak penalti.

Kesilapan pertahanan tuan rumah itu bagaimanapun ditebus Mohd Izuan apabila dia berjaya menjaringkan gol ketiga tuan rumah pada minit ke-74, menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti. Essey Nakajima berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan gol kedua Terengganu pada minit ke-80 hasil sepakan rendah dari luar kotak penalti selepas memperdayakan pertahanan Negeri Sembilan. Usaha anak buah Irfan Bakti untuk mengikat kedudukan bagaimanapun tidak berhasil sehingga ke wisel penamat


Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/249641