Sabtu, 10 September 2016

Komitmen, tanggungjawab faktor N. Sembilan menang

ARKIB : 28/05/1998
Komitmen, tanggungjawab faktor N. Sembilan menang
KOMITMEN dan sikap bertanggungjawab pemain merupakan faktor yang membawa kemenangan skuad Negeri Sembilan menewaskan Selangor dalam Liga Perdana Satu, kelmarin.

SHAZALI HUSSAIN melaporkan, kemenangan itu meletakkan Negeri Sembilan di tangga ketiga selepas mengutip 15 mata daripada sembilan perlawanan, tiga mata di belakang Pulau Pinang dan lapan mata di belakang pendahulu liga, Pahang .

Sebenarnya kemenangan skuad Rusa itu sekurang-kurangnya dapat menutup sikap 'celupar' sesetengah pihak dan para penyokong yang gemar melontarkan kata-kata nista ke atas pegawai dan pemain kerana gagal menewaskan Melaka pada Piala FA, minggu lalu.

Ini kerana menjelang pertemuan dua musuh tradisi itu banyak pihak termasuk para penyokong yakin Negeri Sembilan akan menjadi mangsa Selangor.

Namun begitu, jurulatih M. Karathu tidak melayani perkara remeh temeh itu sebaliknya yakin dan percaya dengan kemampuan anak buahnya setiap kali permainan.

''Walaupun dua jaringan sudah cukup kerana yang penting mengutip mata penuh namun masih terdapat kelemahan biasa yang boleh diatasi semasa sesi latihan,'' katanya.

Kedua-dua gol itu dijaringkan oleh pemain lincah Ching Hong Aik dan pertahanan import, Pedro Oliveira pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, menurut Karathu, pemain juga perlu bersikap bertanggungjawab dan bijak untuk mengawal permainan ketika mendahului dan ketinggalan kepada lawan.

''Pada keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan yang disajikan oleh pemain walaupun ada yang gagal melaksanakan tugas dengan sempurna,'' ujarnya.

Sementara itu, pengurus pasukan Negeri Sembilan diberi kuasa penuh untuk bertindak tegas ke atas pemain-pemain yang tidak mempamerkan prestasi cemerlang dalam Liga Perdana Satu sehingga penghujung musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, kuasa penuh itu perlu diberikan kepada pengurus dan jawatankuasa pengurusan liga bagi memastikan kejayaan Negeri Sembilan musim ini.

''Setelah mendengar laporan dan pandangan semua ahli, majlis bersetuju memberikan kuasa penuh bagi pengurus pasukan bertindak tegas ke atas pemain yang gagal tidak menunjukkan prestasi dan tidak konsisten,'' katanya.

Mohd. Isa berkata demikian kepada para pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penuh ahli majlis PBNS di kediamannya di Seremban petang semalam.

Katanya, kuasa penuh itu diberikan kepada pengurus pasukan kerana kita dapati sukar bagi majlis untuk bermesyuarat apabila ingin mengambil tindakan ke atas pemain yang melakukan kesalahan.

Beliau yang juga Menteri Besar bagaimanapun memberitahu, sebarang bentuk hukuman yang akan dikenakan ke atas pemain akan ditentukan pengurus pasukan dan jawatankuasa pengurusan liga.

Berhubung prestasi skuad Rusa terkini, Mohd. Isa berkata, walaupun dia berpuas hati tetapi Negeri Sembilan sepatutnnya berada ditempat yang lebih baik lagi berdasarkan dengan memiliki barisan pemain yang ada.

''Memanglah saya puas hati, tetapi berdasarkan laporan Negeri Sembilan sepatutnya berada ditempat yang lebih baik daripada hari ini,'' ujarnya.

Mengenai tindakan ke atas pemain import Gus Cerro yang mencetuskan kekecohan dengan jurulatih M. Karathu sewaktu menentang Sarawak, Mohd. Isa berkata, Cerro telah menulis surat dan memohon maaf diatas kesalahannya.

Katanya, setelah meneliti laporan lengkap oleh pengurus pasukan, sebenarnya tidak berlaku sebarang pergaduhan seperti yang dilaporkan akhbar.

''Oleh kerana itu PBNS bersetuju menerima permohonan memaafkan pemain itu, tetapi diberikan amaran keras akan bertindak tegas jika Cerro mengulangi kesalahan yang sama,'' tegasnya.

Pengurus pasukan, Jamaluddin Ahmad pula berkata, mandat penuh yang diberikan akan memudahkan dia menjalankan tugas dan tanggungjawab membawa kejayaan pasukan itu musim ini.

Jamaluddin yang juga Timbalan Presiden PBNS berkata, dia akan berjumpa dengan semua pemain dan memanggil mesyuarat khas jawatankuasa pengurusan liga secepat mungkin untuk mengenal pasti bentuk hukuman yang bakal dikenakan nanti.

''Namun begitu saya akan menemui semua pemain dan berbincang untuk meningkatkan lagi prestasi pasukan serta memaklumkan hukuman yang mungkin dikenakan jika mereka melakukan kesalahan dan sebagainya,'' ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4JrkEoWfU © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan