Sabtu, 17 September 2016

TERKINI MASA KEDUA


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Kedah            4-0 Negeri Sembilan
m-22 Shane Smeltz

Selangor  1-0  PKNS

PDRM 0-1      Kelantan

Felda United   0-0       T-Team


KEPUTUSAN MASA PERAMA 17.9.2016

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Kedah            2-0 Negeri Sembilan
m-22 Shane Smeltz
Selangor  0-0  PKNS

PDRM 0-0      Kelantan

Felda United   0-0       T-Team


TERKINI SUKU AKHIR PIALA MALAYSIA 17.9.2016


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Kedah            1-0 Negeri Sembilan
m-22 Shane Smeltz
Selangor  0-0  PKNS

PDRM 0-0      Kelantan


Felda United   0-0       T-Team

TERKINI SUKU AKHIR KEDUA PIALA MALAYSIA 17.9.2016

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Kedah  0-0 Negeri Sembilan

Selangor  0-0  PKNS

PDRM 0-0      Kelantan

Felda United   0-0       T-Team


N. Sembilan ada potensi

KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB FOTO HAFIS ABD AZIZ (WWW.GAWANG.MY)
10 SEPTEMBER 2016
 N.Sembilan ada potensi
N.Sembilan ada potensi Kapten Negeri Sembilan, Taylor Regan memikul tanggungjawab besar memastikan pasukannya layak separuh akhir.
SKUAD Hoben Jang Hoben tampak mempunyai potensi mara ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia 2016, walaupun hakikatnya Kedah bukanlah pasukan yang mudah untuk ditundukkan.

Beberapa faktor menjadi sandaran kepada keyakinan ini, antaranya keputusan seri tanpa jaringan yang dicatatkan Negeri Sembilan semasa beraksi di laman sendiri pada suku akhir pertama, 28 Ogos lalu.

Jika diimbas kembali perlawanan itu, Skuad Jang hanya menurunkan seorang pemain import iaitu Taylor Regan bagi menggalas tugas selaku kapten pasukan, manakala selebihnya dibarisi pemain muda.

Walaupun kekurangan dari aspek pengalaman beraksi di pentas besar, anak buah Gary Michael Phillips cukup ampuh bertahan dengan segala asakan dilontarkan kepada mereka.

Petanda positif

INI merupakan satu petanda positif, apatah lagi mengambil kira bahawa mereka berdepan barisan terbaik Lang Merah yang turut mengetengahkan empat pemain import berkaliber.

Kemudian, rekod enam pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan sejak tahun 2012 juga didapati lebih memihak kepada skuad Hoben Jang Hoben.

Negeri Sembilan menang empat daripadanya dengan keputusan 2-1 dalam saingan Liga Super pada 17 Mac 2012, 2-0 (Liga Super - 7 Julai 2012), 1-0 (Liga Perdana - 14 Februari 2014) dan 2-0 (Liga Perdana - 14 Ogos 2015).

Mereka tewas kepada Lang Merah dengan jaringan 1-2 dalam saingan Liga Perdana pada 23 Mei 2014 dan 17 April 2015.

Rekod pertemuan itu sekali gus menggambarkan wujudnya persaingan yang seimbang antara kedua-dua pasukan, di mana peluang untuk Negeri Sembilan ke separuh akhir tetap ada.

Rasanya tidak salah juga kalau dikatakan, Negeri Sembilan mempunyai sedikit kelebihan berbanding Kedah pada suku akhir kedua yang bakal berlangsung di Stadium Darul Aman, 17 September nanti.

Sudah memadai

Berdasarkan format kiraan gol di tempat lawan, keputusan seri 1-1 sahaja sudah memadai untuk melayakkan mereka ke peringkat seterusnya.

Berbeza pula dengan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe yang berdepan lebih tekanan, berikutan mempunyai satu pilihan sahaja untuk mara iaitu melalui kemenangan.

Namun, semua faktor ini langsung tidak berguna seandainya skuad Hoben Jang Hoben gagal memanfaatkannya.

Kebimbangan penyokong sudah pasti tertumpu pada ketumpulan jentera serangan. Letaklah Goran Jerkovic atau Muhammad Afiq Azmi sekalipun, hasilnya tetap tidak memberangsangkan buat masa ini.

Mungkin sudah tiba masanya penyerang muda daripada skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, Mohd Rahizi Mohd Rasib diturunkan untuk mencuba nasib dan mencurah keringat kepada pasukan.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE  10 SEPTEMBER 2016

Jumaat, 16 September 2016

NS membara mahu kejutkan Kedah

 
PEMAIN Kuala Lumpur Leonardo Moriera (tengah) dihalang pemain Negeri Sembilan Goran Jerkovic pada perlawanan minggu lalu.
Seremban: Selepas kembali mendapat rentak kemenangan apabila menewaskan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Perdana di Stadium Selayang, Jumaat lalu, Negeri Sembilan kini fokus ke arah pertemuan dengan Kedah, pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, hujung minggu ini.

Malah kemenangan ke atas skuad warga kota itu disifatkan amat bermakna dalam usaha mereka untuk mencipta kejutan ke atas Kedah.

Ini diakui sendiri pertahanan tengah Nasriq Baharom yang menyifatkan kemenangan ke atas Kuala Lumpur memberi tonik cukup baik buat pasukan terutama dari segi meningkatkan keyakinan diri.

Katanya, dia yakin pasukan itu mampu menangani cabaran Kedah di gelanggang lawan, biarpun hanya berbekalkan keputusan seri tanpa jaringan pada suku akhir pertama di gelanggang sendiri, awal bulan ini.

“Kemenangan ke atas Kuala Lumpur sudah pasti dapat memberikan suntikan semangat baharu kepada setiap pemain dalam membuat persiapan menghadapi cabaran menentang Kedah.

“Saya yakin keputusan positif itu akan dapat menyumbang kepada usaha pasukan untuk mencipta kejutan di Alor Setar nanti,” katanya semalam.

Pada perlawanan Jumaat lalu, Alex Smith dan Goran Jerkovic menjadi nadi penting buat Negeri Sembilan selepas masing-masing menjaringkan gol buat pasukan itu dengan menewaskan Kuala Lumpur 2-1.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 8:53 AM

Sabtu, 10 September 2016

Komitmen, tanggungjawab faktor N. Sembilan menang

ARKIB : 28/05/1998
Komitmen, tanggungjawab faktor N. Sembilan menang
KOMITMEN dan sikap bertanggungjawab pemain merupakan faktor yang membawa kemenangan skuad Negeri Sembilan menewaskan Selangor dalam Liga Perdana Satu, kelmarin.

SHAZALI HUSSAIN melaporkan, kemenangan itu meletakkan Negeri Sembilan di tangga ketiga selepas mengutip 15 mata daripada sembilan perlawanan, tiga mata di belakang Pulau Pinang dan lapan mata di belakang pendahulu liga, Pahang .

Sebenarnya kemenangan skuad Rusa itu sekurang-kurangnya dapat menutup sikap 'celupar' sesetengah pihak dan para penyokong yang gemar melontarkan kata-kata nista ke atas pegawai dan pemain kerana gagal menewaskan Melaka pada Piala FA, minggu lalu.

Ini kerana menjelang pertemuan dua musuh tradisi itu banyak pihak termasuk para penyokong yakin Negeri Sembilan akan menjadi mangsa Selangor.

Namun begitu, jurulatih M. Karathu tidak melayani perkara remeh temeh itu sebaliknya yakin dan percaya dengan kemampuan anak buahnya setiap kali permainan.

''Walaupun dua jaringan sudah cukup kerana yang penting mengutip mata penuh namun masih terdapat kelemahan biasa yang boleh diatasi semasa sesi latihan,'' katanya.

Kedua-dua gol itu dijaringkan oleh pemain lincah Ching Hong Aik dan pertahanan import, Pedro Oliveira pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, menurut Karathu, pemain juga perlu bersikap bertanggungjawab dan bijak untuk mengawal permainan ketika mendahului dan ketinggalan kepada lawan.

''Pada keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan yang disajikan oleh pemain walaupun ada yang gagal melaksanakan tugas dengan sempurna,'' ujarnya.

Sementara itu, pengurus pasukan Negeri Sembilan diberi kuasa penuh untuk bertindak tegas ke atas pemain-pemain yang tidak mempamerkan prestasi cemerlang dalam Liga Perdana Satu sehingga penghujung musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, kuasa penuh itu perlu diberikan kepada pengurus dan jawatankuasa pengurusan liga bagi memastikan kejayaan Negeri Sembilan musim ini.

''Setelah mendengar laporan dan pandangan semua ahli, majlis bersetuju memberikan kuasa penuh bagi pengurus pasukan bertindak tegas ke atas pemain yang gagal tidak menunjukkan prestasi dan tidak konsisten,'' katanya.

Mohd. Isa berkata demikian kepada para pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penuh ahli majlis PBNS di kediamannya di Seremban petang semalam.

Katanya, kuasa penuh itu diberikan kepada pengurus pasukan kerana kita dapati sukar bagi majlis untuk bermesyuarat apabila ingin mengambil tindakan ke atas pemain yang melakukan kesalahan.

Beliau yang juga Menteri Besar bagaimanapun memberitahu, sebarang bentuk hukuman yang akan dikenakan ke atas pemain akan ditentukan pengurus pasukan dan jawatankuasa pengurusan liga.

Berhubung prestasi skuad Rusa terkini, Mohd. Isa berkata, walaupun dia berpuas hati tetapi Negeri Sembilan sepatutnnya berada ditempat yang lebih baik lagi berdasarkan dengan memiliki barisan pemain yang ada.

''Memanglah saya puas hati, tetapi berdasarkan laporan Negeri Sembilan sepatutnya berada ditempat yang lebih baik daripada hari ini,'' ujarnya.

Mengenai tindakan ke atas pemain import Gus Cerro yang mencetuskan kekecohan dengan jurulatih M. Karathu sewaktu menentang Sarawak, Mohd. Isa berkata, Cerro telah menulis surat dan memohon maaf diatas kesalahannya.

Katanya, setelah meneliti laporan lengkap oleh pengurus pasukan, sebenarnya tidak berlaku sebarang pergaduhan seperti yang dilaporkan akhbar.

''Oleh kerana itu PBNS bersetuju menerima permohonan memaafkan pemain itu, tetapi diberikan amaran keras akan bertindak tegas jika Cerro mengulangi kesalahan yang sama,'' tegasnya.

Pengurus pasukan, Jamaluddin Ahmad pula berkata, mandat penuh yang diberikan akan memudahkan dia menjalankan tugas dan tanggungjawab membawa kejayaan pasukan itu musim ini.

Jamaluddin yang juga Timbalan Presiden PBNS berkata, dia akan berjumpa dengan semua pemain dan memanggil mesyuarat khas jawatankuasa pengurusan liga secepat mungkin untuk mengenal pasti bentuk hukuman yang bakal dikenakan nanti.

''Namun begitu saya akan menemui semua pemain dan berbincang untuk meningkatkan lagi prestasi pasukan serta memaklumkan hukuman yang mungkin dikenakan jika mereka melakukan kesalahan dan sebagainya,'' ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4JrkEoWfU © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 3 September 2016

Pulau Pinang terus malang

ARKIB : 30/04/1998
Pulau Pinang terus malang
PULAU Pinang yang kalah tipis 2-3 kepada Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Sabtu lalu terus dirundung malang apabila Moey Kok Hong belum pasti dapat membantu pasukan itu Sabtu ini.

Malah, pasukan itu menghadapi kemungkinan tidak dapat menggunakan khidmat Ng Kok Heng yang cedera di paha dan terpaksa direhatkan sementara.

Jurulatih pasukan itu, Moey Yok Ham yang masih 'pening' memikirkan keputusan pengadil membatalkan gol ketiga rembatan Fabio Da Silva, kini terpaksa membuat persiapan tergesa-gesa dan perhitungan bagi mencari pengganti Ng Kok Heng untuk menghadapi Brunei, Sabtu ini.

Katanya, untuk mengantikan pemain lain di tempat Ng Kok Heng bukanlah masalah baginya, tetapi takut tidak menjadi sepertimana yang dirancangkan.

''Walau bagaimanapun, kita masih mengharap Kok Hong dapat beraksi ketika bertemu dengan Brunei nanti.

''Jika Kok Hong mampu beraksi, sekali gus Pulau Mutiara berada dalam keadaan seimbang di semua penjuru,'' katanya kepada Sukan Utusan di Stadium Bandaraya, semalam.

Kok Hong yang kadang-kadang ditugaskan supaya beraksi sebagai defensive midfielder juga diperlukan untuk mengawasi Mohd. Brian Bothwell Abdullah yang mempunyai kebolehan melakukan tandukan sepertinya (Kok Hong).

Moey juga berharap persembahan anak buahnya di tempat sendiri nanti tidak akan menghampakan peminat Pulau Pinang kerana mereka mampu mempamerkan aksi yang menarik ketika bertemu Brunei nanti.

''Saya yakin mereka akan mempamerkan semangat juang seperti mana ketika menentang Pahang,'' katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Moey turut mengakui bekas pemain Perlis, Domi Che Non kini belum mampu menunjukkan apa yang diharapkan.

Katanya, dari lima perlawanan hanya ketika bertemu Negeri Sembilan sahaja Domi mampu mempamerkan aksi menarik apabila membantu menyumbatkan satu gol untuk Pulau Pinang.

Menurut Moey, di samping dikawal terlalu ketat oleh pemain pertahanan lawan dalam setiap perlawanan, dia juga belum mampu bertindak pada tahap kecergasan seratus peratus.

Oleh itu, beliau meminta para penyokong bersabar dan memberi sedikit masa untuk Domi mendapat ketahanan fizikal yang tinggi bagi beraksi dengan baik.

Jurulatih itu memberitahu, berbanding dengan pemain lain, Domi masih ketinggalan dari segi latihan fizikal kerana kecederaan lalu.

''Suatu hari nanti saya percaya prestasi Domi akan menjadi lebih baik seperti mana yang diharapkan,'' ujarnya.

Oleh: FAIZUL ABD. SHUKOR

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4JCoIRes5 © Utusan Melayu (M) Bhd

N. Sembilan puas hati dengan seri

ARKIB : 27/04/1998
N. Sembilan puas hati dengan seri
SEKALIPUN hanya mampu seri 1-1 dengan Perak, Negeri Sembilan tetap berpuas hati dengan keputusan itu memandangkan lawan mereka adalah sebuah pasukan yang kuat dan kental, lapor SHAZALI HUSSAIN.

Walaupun beberapa kali berpeluang menjaringkan gol terutama pada separuh masa kedua, tetapi kehebatan pertahanan dan kecemerlangan penjaga gol Perak mengecewakan setiap percubaan penyerang skuad Rusa.

Namun begitu jurulatih M. Karathu berkata, faktor nasib turut tidak menyebelahi Negeri Sembilan walaupun mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

Katanya, pada separuh masa kedua Negeri Sembilan mendapat peluang, tetapi Scott Ollerenshaw, Effendi Julaihi, Dollah Salleh dan Gus Cerro gagal menyudahkan peluang itu dengan sempurna.

''Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati dengan persembahan pemain yang nyata mempamerkan peningkatan pada setiap perlawanan,'' ujarnya.

Menurut Karathu, beliau mengakui kekuatan barisan pertahanan Perak yang bermain dengan baik sehingga menyukarkan asakan-asakan pemain serangan Negeri Sembilan.

Mengulas tindakannya menggantikan Faizal Zainal dengan Dollah Salleh pada separuh masa kedua, Karathu berkata, beliau terpaksa mengeluarkan pemain itu untuk menguatkan barisan serangan.

''Selain itu Faizal masih belum dapat bermain dengan baik dan sering melakukan kesalahan serta mudah kehilangan bola,'' jelasnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4JCcxvXBb © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 2 September 2016

N. Sembilan berpeluang uji skuad Olimpik 2000

ARKIB : 17/04/1998
N. Sembilan berpeluang uji skuad Olimpik 2000
NEGERI Sembilan yang menemui semula sentuhan berbisanya berpeluang menguji kehebatan pasukan Olimpik 2000, apabila kedua pasukan itu bertarung pada Liga Perdana Satu di Stadium Merdeka, malam ini, lapor SHAZALI HUSSAIN.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Jamaludin Ahmad mengingatkan pemainnya agar tidak mengambil mudah apabila berdepan dengan anak buah jurulatih dari Tunisia, Hatem Soussi,

Jamaludin yang juga Pengurus Pasukan berkata, walaupun Olimpik 2000 masih belum meraih kemenangan, tetapi mereka mempunyai kelebihan kerana beraksi di gelanggang sendiri.

''Namun begitu peluang Negeri Sembilan tetap ada seandainya kesemua pemain yang diturunkan dapat mengekalkan kehebatan yang serupa ketika menewaskan Perlis,'' ujarnya.

Mengenai peluang pasukannya, Jamaludin yang juga bekas pemain negeri berkata, hanya pasukan yang bijak mencari kesilapan lawan sahaja akan memenangi perlawanan malam ini.

Sementara itu jurulatih, M. Karathu berkata, beliau tidak berhajat membuat banyak perubahan kecuali menukar seorang dua pemain yang mengalami kecederaan untuk menentang Olimpik 2000.

''Bagaimanapun, pemain yang telah beraksi dengan cemerlang dikekalkan kecuali pemain yang mengalami kecederaan akan direhatkan,'' katanya.

Bagaimanapun, Karathu agak resah kerana berkemungkinan tidak dapat menurunkan beberapa pemain utama termasuk penyerang Affendi Julaihi kerana masih lagi dibelenggu kecederaan.

''Namun begitu, saya masih mempunyai penyerang Scott Ollerenshaw, Halim Jantan, Gus Cerro, Ching Hong Aik, Zami Mohd Noor dan rakan-rakannya untuk melakukan tugas menjaringkan gol,'' ujarnya.

Oleh kerana itu, Karathu mengingatkan para pemain lebih berhati-hati dan jangan sekali-kali melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan semangat pasukan.

''Saya mahu pemain menganggap Olimpik 2000 sebuah pasukan muda yang berpengalaman dan mempunyai gandingan yang mantap pada semua posisi,'' ujarnya.

Bercakap mengenai peluang pasukannya, jurulatih kelahiran Perak itu berkata, kedua-dua pasukan mempunyai peluang, tetapi siapa lebih pintar mencari kelemahan lawan, peluang memenangi perlawanan lebih cerah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4JA3JJop6 © Utusan Melayu (M) Bhd