Isnin, 3 Disember 2018

Kemarau 61 tahun berakhir

ARKIB : 08/11/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD, FERZALFIE FAUZI dan ILAH HAFIZ AZIZ
sukan@utusan.com.my
Gambar - IZHAM JAAFAR, MOHD. NAZUDEEN MAHMUD dan FARIZUWAN
KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan mengakhiri kemarau 61 tahun untuk menjulang trofi teragung bola sepak negara, Piala Malaysia dengan menewaskan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Sebaliknya malam malang penuh hampa buat Wira Merah kerana biarpun bertemankan majoriti penonton, mereka masih gagal mematahkan tanduk Si Rusa yang melonjak megah meraikan kejayaan bersejarah sekali gus memberikan hadiah tidak ternilai buat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang baru ditabalkan 26 Oktober lalu.

Jika bersandarkan sejarah kejohanan, inilah Piala Malaysia pertama yang berjaya menebus kehampaan Negeri Sembilan pada tahun 2000 dan 2006 setelah ditewaskan Perak dan Perlis pada perlawanan akhir.

Sebelum ini, Negeri Sembilan pernah sekali muncul juara iaitu pada 1948 ketika kejohanan ini menggunakan nama, Piala HMS-Malaya.

Dimulai Shahurain Abu Samah pada minit ke-18, disambung Hairuddin Omar seminit selepas rehat dan dilengkapkan Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak tanggal minit ke-59, tiada apa yang mampu dilakukan Kelantan melainkan memanjangkan penantian dan rasa kempunan yang mencecah 39 tahun untuk menikmati trofi itu.

Gol tunggal Kelantan pada masa kecederaan babak kedua pada minit ke-93 menerusi sepakan bebas ketua pasukannya, Indra Putra Mahayuddin sekadar satu sagu hati yang mengubat luka barisan Wira Merah yang terpaksa menelan hakikat pahit keputusan ini.

Kecuaian bek kiri Kelantan, Zamri Ramli mengawal bola daripada hantaran lambung ke kotak penalti menghukum pasukannya dengan gol pertama Negeri Sembilan hasil rembatan kencang Shahurain Abu Samah pada minit ke-18 tanpa mampu ditepis Mohd. Halim Napi.

Dua minit sebelum rehat, Hairuddin Omar nyaris melebarkan kedudukan Si Rusa dengan gol kedua tetapi tandukan kencangnya sekadar sipi beberapa inci daripada tiang gol Kelantan selepas mendapat umpanan lintang S. Kunanlan dari sebelah kiri.

Namun hanya seminit babak kedua bermula, Hairuddin menebus kegagalan itu dengan tandukan yang menjerat Halim secara solo hasil hantaran sebelah kiri gandingan serangannya, Zaquan Adha sekali gus menjelmakan gol kedua Negeri Sembilan.

Gol yang meragut 90 peratus semangat juang Kelantan itu muncul gara-gara sangkaan barisan belakangnya yang meleset bahawa Hairuddin yang dipinjam daripada T-Team bagi Piala Malaysia musim ini, sudah berada dalam keadaan ofsaid.

Zamri sekali lagi menambah derita Kelantan gara-gara menarik tangan Shahurain yang sudah mencerobohi kubunya pada minit ke-58 lantas menghadiahkan sepakan penalti buat Negeri Sembilan yang tenang disudahkan Zaquan Adha seminit kemudian.

Ketinggalan tiga gol itu hanya tambah memberangkan penyokong Si Kijang yang bukan sahaja beransur-ansur meninggalkan tempat duduk bahkan melontar pelbagai objek termasuk mercun sehingga berkepul-kepul asap tebal di ruang angkasa gelanggang tanda tidak puas hati.

Malah ada diantaranya membakar kerusi di tempat duduk penonton.

Perlawanan yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 RTM itu turut disaksikan Tuanku Muhriz di samping Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Negeri Sembilan mendapat hadiah bonus apabila pemainnya, Shukor Adan dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir itu.

Dalam pada itu, Mohamad ketika ditemui berkata, beliau kagum dengan kesungguhan dan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain.

“Kita tak pernah ada hutang dengan pemain dan gaji mereka dibayar tepat pada masanya, ini antara faktor kemenangan.

“Malah pemain juga beraksi dengan baik dan memberikan tumpuan sepenuhnya.

“Kita akan memikirkan imbuhan kepada pemain dan pegawai hasil daripada kemenangan ini,” katanya.

Sementara itu, Annuar yang diminta mengulas mengenai aksi malam tadi berkata: “Kita berpuas hati dengan permainan malam ini. Bayangkan, ini kali pertama kita ke final, tapi orang lupa.

“Memang Negeri (Sembilan) bermain dengan hebat terutama pada posisi tengah yang kental manakala kami di bahagian yang sama tak berapa kuat ditambah dengan kejutan gol yang pertama.

“Jadi ini pengalaman bagi kami. memang saya faham penyokong hampa dan saya mewakili pasukan memohon maaf kerana tidak dapat menunaikan harapan mereka.

“Walau apa pun, saya merayu kepada mereka supaya banyak bersabar,” katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YcFulbxt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 2 Disember 2018

NS, Selangor layak


 
ARKIB : 11/10/2009
PENJAGA gol Kelantan, Mohd. Shahrizan (dua dari kanan) menyelamatkan bola daripada asakan pemain Kedah, Azrul Ahmad dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Star, malam tadi.

KUALA LUMPUR - Seperti dijangka Selangor dan Negeri Sembilan tidak menghadapi masalah untuk menyertai Kelantan layak ke suku akhir Piala Malaysia, semalam ketika ada satu lagi perlawanan peringkat kumpulan yang tinggal.

Dengan tiga pasukan tersebut sudah pun layak, ada lima lagi tempat untuk diisi oleh lapan pasukan yang masih berpeluang ke suku akhir iaitu KL Plus, Perlis, Terengganu, Perak, Johor FC, Kuala Muda Naza, Kedah dan Pulau Pinang.

Namun, KL PLUS yang menewaskan Melaka 4-0 di Stadium Hang Tuah, semalam boleh dikatakan sudah sebelah kaki berada di suku akhir dan hanya perlu seri dengan Perlis pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A, Selasa ini untuk mara.

Selangor pula walaupun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang tetapi sudah cukup kukuh untuk mengatasi tiga lagi pasukan dalam Kumpulan D.

Dengan mengumpul 13 mata, Selangor tidak mampu dipintas lagi termasuk oleh pasukan di tangga kedua, Kuala Muda Naza yang menang 3-1 ke atas Sabah di Kompleks Sukan Tawau, semalam.

Negeri Sembilan pula terlalu unggul menguasai saingan Kumpulan B apabila kemenangan kali kelima berturut-turut dengan mengatasi Sarawak 1-0 di Stadium Sarawak, semalam menjamin terus tempat mereka di suku akhir.

Mengekori rapat adalah Terengganu yang mencipta kemenangan 4-2 ke atas Johor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos semalam tetapi masih terpaksa menunggu nasib mereka pada perlawanan terakhir menentang Negeri Sembilan di Paroi untuk layak.

Dalam saingan Kumpulan C, Johor FC dan Perak memiliki peluang seimbang untuk layak selepas Johor FC menang 4-2 ke atas UPB-MyTeam di Stadium Petaling Jaya manakala Perak seri 1-1 dengan Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Paling sukar untuk layak ke suku akhir adalah Kedah dan Pulau Pinang. Selepas Kelantan mengesahkan tempat, nasib mereka bergantung kepada perlawanan terakhir apabila mereka bakal bertemu sesama sendiri, Selasa ini.

Semalam, Kedah menewaskan barisan kedua Kelantan 1-0 di Stadium Darul Aman manakala Pulau Pinang menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 di Stadium Bandaraya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YaW3xqZp
© Utusan Melayu (M) Bhd