Selasa, 19 Disember 2017

NS rampas takhta Liga Super



 
ARKIB : 11/02/2009
DUA pemain Perlis (jersi kuning) menghalang pemain Selangor Mohd. Amirul Hadi Zainal dalam saingan bola sepak Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi. - UTUSAN/SHAHARANI SAIBI

KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan merampas kedudukan pendahulu bola sepak Liga Super selepas membelasah Johor FC 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.

Mereka berjaya mengetepikan pendahulu terdahulu, KL Plus yang mengalami kekalahan pertama musim ini selepas tumpas 2-0 kepada penyandang juara, Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Selangor pula masih berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Perlis meskipun menamatkan permainan dengan 10 pemain di Stadium Shah Alam.

Empat pasukan - Negeri Sembilan, Selangor, KL Plus dan Kelantan kini berkongsi 12 mata selepas mengharungi lima perlawanan, tetapi dipisahkan oleh perbezaan gol.

Dalam perlawanan di Shah Alam, Selangor terpaksa mengharungi 20 minit terakhir dengan 10 pemain selepas Nasriq Baharom dilayangkan kad merah kerana menyiku pemain lawan.

Tuan rumah bagaimanapun berjaya mempertahankan kelebihan mendahului menerusi jaringan Nasriq pada minit ke-40, diikuti Fazilidin Khalid pada minit ke-52.

Perlis yang tampil lebih cergas selepas beraksi dalam dua perlawanan Piala FA, memperoleh gol sagu hati menerusi rembatan deras Danial Fadzly Abdullah pada minit ke-56.

Sementara itu, Kedah akhirnya memperoleh kemenangan pertama musim ini, berterima kasih kepada dua jaringan Mohd. Fadly Baharum pada minit kesembilan dan 63.

Kemenangan tersebut menghidupkan kembali peluang skuad Hijau Kuning itu untuk mempertahankan kejuaraan selepas mengalami tiga kekalahan dan satu seri dalam empat perlawanan terdahulu.

Kelantan pula terus menjadi pencabar utama gelaran Liga Super musim ini apabila mencatat kemenangan keempatnya dengan menewaskan Perak 3-2 di Stadum Perak, Ipoh.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 ketika saingan tinggal seminit untuk ditamatkan, namun jaringan Mohd. Norfarhan Mohamad pada minit ke-89 memastikan Kelantan pulang bersama tiga mata penuh.

Dalam perlawanan di Stadium Darul Makmur, Pahang terus malang apabila tunduk 1-2 kepada wakil Kedah, Kuala Muda Naza.

Gol Kuala Muda dijaringkan oleh ketua pasukan, Mohd. Anuar Jusoh pada minit ke-27 dan K. Rajan (minit ke-41), manakala gol sagu hati Pahang pada minit ke-54 dijaringkan oleh Mohd. Shahrizan Salleh.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang juga gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tumpas 2-3 kepada UPB-MyTeam.

Mohd. Fazrul Hazli Kadri membuka jaringan MyTeam pada minit ke-10, diikuti jaringan Mohd. Nazrin Nawi (56) dan Mohd. Zamri Chin (89) manakala gol Pulau Pinang dijaringkan Mohd. Mohd Rafiuddin Nordin pada minit ke-30 dan Mohd. Failee Mohd. Ghazali, minit ke-69.

Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Sultan Mizan, gol tunggal Mohd Ashaari Shamsuddin di minit ke-77 membantu Terengganu menewaskan pasukan tercorot liga, PDRM 1-0.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51iyGWvJf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 16 Disember 2017

Bintang muda dapat rentak kembali


 

ARKIB : 15/01/2009
Pemain Negeri Sembilan, Nor Faizal Faroq (kanan) cuba melepasi pertahanan Perak, Mohd. Syazwan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, kelmarin.
- Bernama

SEREMBAN - Tuah bermain di gelanggang sendiri malam kelmarin kembali semarakkan semangat anak buah Wan Jamak Wan Hassan untuk menewaskan pasukan pelawat, Perak, 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, lapor AINOL AMRIZ ISMAIL.

Kemenangan itu juga telah menutup aib pasukan Negeri Sembilan yang tewas 0-3 kepada Selangor minggu lalu pada aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

Kata Wan Jamak, barisan pemain sudah sedar kesilapan yang dilakukan dan mereka telah bangkit membetulkan rentak untuk merobek gawang Perak, sekali gus membawa pulang tiga mata penuh perlawanan berprestij ini.

"Kenapa semua jaringan tiga gol, sukar untuk saya jawab. Tetapi itu bukan halnya kerana tiga mata telah dikumpulkan dalam perlawanan menentang Perak ini, selepas kita kehilangan tiga mata pada pertemuan menentang Selangor minggu lalu.

"Hari ini bintang muda telah menunjukkan 'kuasa' luar biasa dan mereka seperti penggempur. Rentak itulah yang dikekalkan sehingga akhir permainan," katanya di sini, kelmarin.

Dalam aksi genting itu, Negeri Sembilan memperoleh gol seawal minit ke-8 menerusi Shahurain Abu Samah apabila dia menolak masuk bola muntah ke gawang lawan akibat salah faham barisan pertahanan skuad Seladang di dalam petak penalti.

Tiga minit kemudian, penyerang Mohd. Rahman Zabul pula menambah derita pasukan lawan apabila menjaring gol kedua hasil sepakan percuma Rezal Zambery Yahya.

Negeri Sembilan menceriakan penyokong tuan rumah apabila pemain kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak memberi gol ketiga selepas berjaya menanduk masuk bola sepakan percuma Rezal pada minit ke-66.

''Dengan kombinasi matang antara pemain berpengalaman dengan bintang baru, kita lihat susah semakin serasi dan ia diterjemahkan dalam padang untuk menghasilkan kemenangan pada perlawanan ini," katanya.

Pasukan Negeri Sembilan yang ketika ini berada pada kedudukan ketiga dalam senarai Liga Super berkongsi sembilan mata dengan Selangor dan menyaksikan KL Plus menguasai carta dengan 12 mata.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51TLzHYFi

© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 14 Disember 2017

NS makin matang

ARKIB : 08/01/2009
Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
 
Pemain Negeri Sembilan, Tengku Qayyum Ubaidillah (25) cuba menghalang asakan pemain Kedah, Mohd. Fauzi Shaari (11) pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, kelmarin.
- Gambar ABD. RAZAK AID

SEREMBAN - Ini bukan soal siapa lebih garang di atas padang tetapi aksi Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi kelmarin nyata telah menunjukkan permainan yang semakin matang.

Apa tidaknya, Pulau Pinang yang dahulunya garang telah dijinakkan Negeri Sembilan, 3-0 pada aksi pembukaan Liga Super dan kelmarin, Kedah yang sebelum ini gagah dan perkasa, juga rebah dibelasah skuad Rusa ini dengan keputusan, 3-0.

Dengan keputusan itu, Negeri Sembilan terus mengekalkan rekod dua perlawanan tanpa bolos dan menang dengan jaringan besar, sekali gus mengumpulkan enam mata penuh dan berada di persada liga.

Menurut jurulatih skuad Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan, anak buahnya telah bermain dalam corak yang pantas, mengelirukan lawan sekali gus mencuri peluang terbuka menjaringkan gol untuk membuat Kedah berputih mata.

"Pemain negeri telah menunjukkan kematangan, kawalan bola yang baik, pantas dan sebenarnya peluang untuk menjaringkan gol lebih banyak sentiasa terbuka dalam aksi bertemu Kedah," katanya kelmarin.

Kata Wan Jamak, pemain muda seperti Mohd. Rahman Zabul, Mohd. Aidil Zafuan, Mohd. Zaquan Adha, Shahurain Abu Samah, K.Thanaraj, Abd. Halim Zainal, Tengku Qayyum Ubaidullah dan Fadzly Iskandar telah menunjukkan prestasi yang baik.

Selain mereka, kehadiran pemain berpengalaman seperti Mohd. Shukor Adan, Rezal Zambery Yahya, Idris Karim juga telah menguatkan lagi barisan kesebelasan skuad Rusa kelmarin.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Mohd. Azrai Khor Abdullah berkata, pemainnya telah diserang 'penyakit' tidak boleh menjaringkan gol.

''Saya tidak tahu apa yang berlaku, peluang begitu banyak tetapi mereka langsung tidak boleh menjaringkan gol. Inilah penyakit mereka," katanya.

Kata Mohd. Azrai, selepas melihat prestasi di Paroi ini, banyak yang perlu diperbetulkan lebih-lebih lagi tiada persefahaman dalam corak permainan.

"Kekalahan ini satu kejutan. Kedah sudah tewas dua perlawanan. Sesuatu perlu dilakukan segera," tegasnya.

Dalam aksi kelmarin, ketua pasukan kebangsaan, Muhd Shukor Adan telah memulakan malam gemilang skuad 'Hobin Jang Hobin' dengan menjaringkan gol pertama melalui tandukan cantik hasil hantaran Rezal Zambery pada minit ke-33.

Penyerang berbisa, Mohd. Zaquan Adha menambah derita skuad Kedah dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-39 hasil lorongan cantik Mohd. Firdaus Azizul.

K.Thanaraj yang menggantikan Shukor Adan meranapkan impian Kedah dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-59 sekali gus melengkapkan kutipan mata penuh dalam Liga Super
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51IQqJ75S

© Utusan Melayu (M) Bhd