Jumaat, 4 Ogos 2017

NS Naza pilih jalan sukar

ARKIB : 03/09/2006
Oleh: AZRAN FITRI RAHIM

DUA pemain pertahanan Telekom Melaka, Mohd. Munir Aman (kiri) dan rakan sepasukan Mohd. Marzuki Yusof (dua dari kanan) cuba menghalang pemain lawan dalam perlawanan separuh akhir pertama menentang NS Naza di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, malam tadi.

SEREMBAN – Negeri Sembilan (NS) Naza memilih jalan sukar dan seterusnya mengharungi tugas getir apabila sekadar mampu mencatat keputusan seri 1-1 dengan Telekom Melaka pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Walaupun disuntik dengan kehadiran 40,000 penonton tempatan yang penuh sesak memberikan sokongan, NS Naza jelas gagal menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri untuk membawa bekalan selesa ke separuh akhir kedua di Stadium Hang Jebat, Sabtu depan.

Ternyata gol pendahuluan menerusi Bustun Nagbe Brown pada minit ke-46 tidak membawa kesan kepada NS Naza untuk menghasilkan lebih banyak gol.

Sebaliknya, Telekom Melaka yang tenang menerima asakan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian, Azlan Ahmad pada minit ke-83.

Jelas babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan walaupun anak buah K. Devan memulakan rentak permainan dengan penuh yakin.

Selepas saling berbalas serangan, pasukan pelawat nyaris membuka jaringan tetapi sepakan percuma Mohamad Marzuki Yusof diselamatkan pemain pertahanan NS Naza, Ching Hong Aik di atas garisan gol.

Pada minit-minit terakhir babak pertama, Idris Karim mendapat peluang keemasan tetapi rembatannya hanya melewati penjuru gawang Telekom Melaka.

Seminit selepas babak kedua bermula, NS Naza tidak menunggu lama untuk mendahului apabila sepakan sudut yang diambil Noel Rodwell Mwandila ditanduk ke belakang oleh Bekamenga Bekamengo sebelum disambut dengan sepakan gunting Brown menewaskan penjaga gol lawan, Mohd. Sufian Abd Rahman.

Gol itu membangkitkan semangat pemain Telekom Melaka yang kembali menyusun permainan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-52 tetapi sepakan kencang pemain tengah mereka, Tengku Hasbullah Raja Hassan dari luar kotak penalti ditangkap kemas penjaga gol tuan rumah, Azizun Kadir.

Kesabaran Telekom Melaka akhirnya berbalas apabila tujuh minit sebelum permainan tamat, mereka berjaya menjelmakan gol penyamaan yang dicari-cari.

Gol berpunca hasil daripada kesilapan Azizun yang gagal membaca bola hantaran silang di depan gol dengan menyaksikan dia bukan sahaja gagal menangkap bola malah menepisnya sama sekali.

Ini sekali gus memberi kesempatan kepada Azlan yang berada di belakangnya untuk mudah menampan bola ke dalam gawang yang terbuka.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4omeDI3xQ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan