Jumaat, 4 Ogos 2017

NS Naza, Perlis ke final



ARKIB : 10/09/2006
Penjaga gawang Perlis, Tay Sin Kiat (kanan) berjaya menepis bola dalam cubaan penyerang-penyerang Perak menjaringkan gol dalam pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi. – Gambar HANAFI KHAMIS.

KUALA LUMPUR - Dua musuh utama Negeri Sembilan Naza dan Perlis bakal membuat perhitungan untuk menentukan juara Piala Malaysia musim ini apabila mengatasi lawan masing-masing pada saingan separuh akhir kedua, malam tadi.

Buat NS Naza yang kali terakhir menjulang kejuaraan piala paling berprestij itu pada 1948, mengharungi laluan mudah berbanding Perlis yang diheret hingga ke masa tambahan sebelum mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir, Sabtu ini.

NS Naza tidak menghadapi sebarang laluan getir apabila mudah menewaskan Telekom Melaka 2-0 hasil jaringan dua bintang import mereka Christian Bekamenga dan Buston Brown.

Dua permata hitam Perlis, Philimon Chepita dan Zachariah Simukonda menjadi pemusnah apabila dua gol mereka membantu Singa Utara memahatkan kemenangan 2-1 menyingkirkan Perak.

Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka dua gol jaringan Bekamenga dan Brown memastikan kemenangan paling manis buat juara Liga Super, NS Naza menewaskan Telekom Melaka 2-0.

Dua jaringan Bekamenga pada minit ke-17 dan Brown pula menyusul di minit ke-51 meleburkan impian Telekom Melaka yang bercita-cita ingin mengikut jejak langkah MPPJ yang muncul juara pada 2003.

Skuad yang diterajui oleh jurulatih K. Devan mara menerusi agregat 3-1 selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 1-1 pada saingan separuh akhir pertama minggu lalu.

Kemenangan itu sekali gus mengetepikan impian tinggi Telekom Melaka yang berhajat ingin beraksi dalam perlawanan akhir.

Buat NS Naza kali terakhir mereka melangkah ke perlawanan akhir pada tahun 2000 dan menjulang piala berprestij itu pada 1948.

Di Stadium Perak pula, gol kemenangan jaringan Simukonda pada minit ke-101 di masa tambahan memastikan kemaraan kedua berturut-turut Perlis apabila mengalahkan Perak 2-1.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat 90 minit memaksa perlawanan diheret hingga ke masa tambahan.

Namun pada minit ke-101 menjadi jarak pemisah buat Perlis melangkah ke akhir apabila Simukonda mudah menguis bola masuk dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol Perak.

Perak membuka jaringan menerusi rembatan kencang Wong Sai Kong pada minit ke-76 sebelum Perlis menyamakan kedudukan hasil tandukan kencang Philimon Chepita pada minit ke-84.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4onTJFQv9

© Utusan Melayu (M) Bhd

NS Naza pilih jalan sukar

ARKIB : 03/09/2006
Oleh: AZRAN FITRI RAHIM

DUA pemain pertahanan Telekom Melaka, Mohd. Munir Aman (kiri) dan rakan sepasukan Mohd. Marzuki Yusof (dua dari kanan) cuba menghalang pemain lawan dalam perlawanan separuh akhir pertama menentang NS Naza di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, malam tadi.

SEREMBAN – Negeri Sembilan (NS) Naza memilih jalan sukar dan seterusnya mengharungi tugas getir apabila sekadar mampu mencatat keputusan seri 1-1 dengan Telekom Melaka pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Walaupun disuntik dengan kehadiran 40,000 penonton tempatan yang penuh sesak memberikan sokongan, NS Naza jelas gagal menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri untuk membawa bekalan selesa ke separuh akhir kedua di Stadium Hang Jebat, Sabtu depan.

Ternyata gol pendahuluan menerusi Bustun Nagbe Brown pada minit ke-46 tidak membawa kesan kepada NS Naza untuk menghasilkan lebih banyak gol.

Sebaliknya, Telekom Melaka yang tenang menerima asakan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian, Azlan Ahmad pada minit ke-83.

Jelas babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan walaupun anak buah K. Devan memulakan rentak permainan dengan penuh yakin.

Selepas saling berbalas serangan, pasukan pelawat nyaris membuka jaringan tetapi sepakan percuma Mohamad Marzuki Yusof diselamatkan pemain pertahanan NS Naza, Ching Hong Aik di atas garisan gol.

Pada minit-minit terakhir babak pertama, Idris Karim mendapat peluang keemasan tetapi rembatannya hanya melewati penjuru gawang Telekom Melaka.

Seminit selepas babak kedua bermula, NS Naza tidak menunggu lama untuk mendahului apabila sepakan sudut yang diambil Noel Rodwell Mwandila ditanduk ke belakang oleh Bekamenga Bekamengo sebelum disambut dengan sepakan gunting Brown menewaskan penjaga gol lawan, Mohd. Sufian Abd Rahman.

Gol itu membangkitkan semangat pemain Telekom Melaka yang kembali menyusun permainan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-52 tetapi sepakan kencang pemain tengah mereka, Tengku Hasbullah Raja Hassan dari luar kotak penalti ditangkap kemas penjaga gol tuan rumah, Azizun Kadir.

Kesabaran Telekom Melaka akhirnya berbalas apabila tujuh minit sebelum permainan tamat, mereka berjaya menjelmakan gol penyamaan yang dicari-cari.

Gol berpunca hasil daripada kesilapan Azizun yang gagal membaca bola hantaran silang di depan gol dengan menyaksikan dia bukan sahaja gagal menangkap bola malah menepisnya sama sekali.

Ini sekali gus memberi kesempatan kepada Azlan yang berada di belakangnya untuk mudah menampan bola ke dalam gawang yang terbuka.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4omeDI3xQ

© Utusan Melayu (M) Bhd