Khamis, 28 Julai 2016

Selepas Azman, kini Duro

ARKIB : 13/03/1998
SELEPAS isu Azman Adnan reda dalam perebutan khidmat pemain berkenaan antara Negeri Sembilan dengan Selangor, kini skuad Rusa menerima tamparan baru apabila pemain asuhannya, Joszef Duro pula 'disunting' pasukan lain di Semenanjung.

Tanpa menyebut nama negeri berkenaan, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, beliau benar-benar kesal apabila perkara seumpama itu berulang sekali lagi, sebaik pemain import itu bersetuju dengan kontrak awal dengan skuad ini.

Abdullah Sani juga kecewa taktik 'kotor' pasukan berkenaan yang sanggup melangkaui kontrak Negeri Sembilan dengan menawarkan kontrak baru, kononnya lebih lumayan kepada Duro.

Abdullah Sani berkata, pasukan tersebut tidak sepatutnya mengadakan rundingan dengan agen atau Duro kerana Negeri Sembilan telah bersetuju menawarkan kontrak bermain kepadanya.

''Saya kesal dengan cara pasukan berkenaan yang sanggup menawarkan kontrak kepada pemain itu sedangkan mereka tahu kita terlebih dahulu menawarkan kontrak,'' katanya selepas mesyuarat jawatankuasa pengurusan Liga Malaysia, di Wisma PBNS, Seremban, semalam.

Bekas pertahanan pasukan kebangsaan Hungary, Duro, 32, menjadi perhatian sebuah pasukan di Semenanjung ketika Negeri Sembilan menyertai kejohanan bola sepak empat penjuru merebut Piala Van Der Horst di Singapura baru-baru ini.

Semasa di kejohanan itulah pegawai pasukan berkenaan telah mengadakan rundingan bersama ejen dan pemain serta sanggup menawarkan kontrak yang lebih lumayan berbanding tawaran Negeri Sembilan.

Sebelum itu, Negeri Sembilan telah bersetuju menawarkan kontrak kepada Duro bagi melengkapkan kuota pemain import musim ini setelah mempamerkan aksi yang cemerlang dalam pertandingan itu.

''Pemain import berkenaan bersetuju dengan kontrak yang kami tawarkan, cuma masa untuk menandatangani kontrak tidak dapat diadakan segera kerana pemain itu terus pulang ke Hungary sebaik tamat perlawanan di Singapura lalu,'' ujarnya.

Menurut Abdullah Sani, tidak salah jika pasukan itu menawarkan kontrak kepada Duro, jika Negeri Sembilan menolak pemain tersebut.

''PBNS tahu pasukan itu dan akan membuat aduan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai tindak- tanduk ejen dan pasukan berkenaan,'' ujarnya.

Oleh: SHAZALI HUSSAIN




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FhrbVtnX © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan