Jumaat, 29 Julai 2016

Pertahanan cuai punahkan NS

ARKIB : 06/04/1998
Pertahanan cuai punahkan NS
NEGERI SEMBILAN menganggap kekalahan pasukan itu kepada Pulau Pinang kelmarin disebabkan kecuaian barisan pertahanan sehingga menyebabkan skuad Rusa begitu mudah melepaskan tiga gol tanpa balas.

Pengurus pasukannya, Jamaludin Ahmad yang dihubungi semalam meluahkan rasa kecewanya terhadap persembahan kurang mantap beberapa pemain yang menghiasi skuad itu.

''Memanglah kalah dan menang adat permainan, tetapi kekalahan kepada Pulau Pinang sukar diterima kerana disebabkan kecuaian beberapa pemain sendiri,'' ujarnya.

Gol kemenangan Pulau Pinang dijaringkan pada separuh masa kedua oleh penyerang import, Merzagua Abdderrazak pada minit ke-55 dan 71, manakala satu gol lagi melalui Domi Che Non.

Menurut Jamaludin, dia pernah melihat aksi cemerlang beberapa pemain ketika perlawanan persahabatan tetapi menunjukkan permainan yang buruk menentang Pulau Pinang, malam semalam.

Namun begitu, katanya, masih terlalu awal untuk meramalkan nasib skuad itu, tetapi beliau yakin jurulatih berpengalaman, M. Karathu pasti akan melakukan perubahan ke atas posisi pemain bagi menghadapi cabaran Kuala Lumpur di gelanggang lawan pada Sabtu ini.

Jamaludin berkata, beliau hairan kenapa beberapa pemain gagal mengekalkan rentak permainan cemerlang pada separuh masa kedua sehingga memberi peluang kepada penyerang Pulau Pinang begitu mudah untuk menjaringkan gol.

''Saya yakin jika pemain itu dapat beraksi dengan baik dan tidak gopoh sudah tentu Merzagua dan Domi tidak semudah itu mampu menjaringkan gol,'' tegasnya.

Beliau menganggap Negeri Sembilan tidak bernasib baik kerana percubaan terbaik oleh Scott Ollerenshaw pada minit ke-24 pada separuh masa pertama terkena palang gawang.

Begitupun, beliau tetap berpuashati dengan persembahan beberapa pemain lain yang menunjukkan kesungguhan dan sanggup berhempas pulas meneruskan persaingan hingga wisel penamat

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FroWOQ1Z © Utusan Melayu (M) Bhd

Karathu tegur dua pemain

ARKIB : 25/03/1998
PERSEMBAHAN hambar penjaga gol, Othman Kathmon dan Faizal Zainal menimbulkan rasa kurang senang hati jurulatih M. Karathu yang kecewa dengan prestasi kedua pemain itu sewaktu menentang pasukan Telekom Malaysia Berhad, pada perlawanan persahabatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin, SHAZALI HUSSAIN melaporkan.

Menurut Karathu, sebagai pemain yang berpengalaman Othman dan Faizal perlu membaiki dan meningkatkan semula persembahan mereka jika tidak mahu kehilangan tempat dalam pasukan.

''Saya kecewa kerana Othman melepaskan gol pertama yang mudah kerana tidak berada pada posisi yang betul, oleh itu dia perlu berhati-hati dan meningkatkan semula prestasi.''tegasnya.

Begitu juga, Karathu yang ternyata tidak berpuashati dengan persembahan permainan Faizal dan mahukan pemain itu lebih kerap menjalani latihan.

''Saya mahu Faizal banyak berlatih kerana dia begitu lama tidak bermain, jadi dia perlu berhati-hati dan mengelakkan dari kecederaan,''ujarnya.

Bagaimanapun Negeri Sembilan yang tidak menurunkan empat pemain utama termasuk penyerang berbisa Scott Ollerenshaw, Effendi Julaihi, Ching Hong Aik dan Ahmad Shahrul masih mampu menewaskan Telekom 7-3.

''Sebenarnya saya merehatkan pemain ini kerana bimbang kecederaan mereka akan lambat pulih kerana perlawanan Liga akan bermula tidak lama lagi,''ujarnya.

Dalam perlawanan yang disaksikan lebih 2,000 penyokong terpegun dengan kelincahan bekas penyerang muda Melaka, Halim Jantan yang melakukan jaringan hat-triknya.

Manakala empat gol lagi dijaringkan melalui perancang tengah Guss Cerro (dua gol), A. Ganeson dan pemain muda Norhisham Ismail masing-masing menjaringkan satu gol.

Selain Halim, para penyokong turut memuji beberapa pemain termasuk Cerro, Zami Mohd Noor, A. Ganeson dan beberapa pemain muda berjaya mempamerkan persembahan yang mantap dan cemerlang.

''Saya akui pemain-pemain ini cukup berpengalaman oleh kerana itu mereka harus meningkat serta mengekalkan prestasi yang sama dalam perlawanan liga nanti,''katanya.

Mengenai Pedro Paulo Oliveira, Karathu berkata, dia gembira dan yakin dengan permainan cemerlang pemain dari Brazil itu.

''Setakat ini persembahan Pedro sebagai sweeper amat meyakinkan,'' kata Karathu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FmlhLGTN © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 28 Julai 2016

Selepas Azman, kini Duro

ARKIB : 13/03/1998
SELEPAS isu Azman Adnan reda dalam perebutan khidmat pemain berkenaan antara Negeri Sembilan dengan Selangor, kini skuad Rusa menerima tamparan baru apabila pemain asuhannya, Joszef Duro pula 'disunting' pasukan lain di Semenanjung.

Tanpa menyebut nama negeri berkenaan, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, beliau benar-benar kesal apabila perkara seumpama itu berulang sekali lagi, sebaik pemain import itu bersetuju dengan kontrak awal dengan skuad ini.

Abdullah Sani juga kecewa taktik 'kotor' pasukan berkenaan yang sanggup melangkaui kontrak Negeri Sembilan dengan menawarkan kontrak baru, kononnya lebih lumayan kepada Duro.

Abdullah Sani berkata, pasukan tersebut tidak sepatutnya mengadakan rundingan dengan agen atau Duro kerana Negeri Sembilan telah bersetuju menawarkan kontrak bermain kepadanya.

''Saya kesal dengan cara pasukan berkenaan yang sanggup menawarkan kontrak kepada pemain itu sedangkan mereka tahu kita terlebih dahulu menawarkan kontrak,'' katanya selepas mesyuarat jawatankuasa pengurusan Liga Malaysia, di Wisma PBNS, Seremban, semalam.

Bekas pertahanan pasukan kebangsaan Hungary, Duro, 32, menjadi perhatian sebuah pasukan di Semenanjung ketika Negeri Sembilan menyertai kejohanan bola sepak empat penjuru merebut Piala Van Der Horst di Singapura baru-baru ini.

Semasa di kejohanan itulah pegawai pasukan berkenaan telah mengadakan rundingan bersama ejen dan pemain serta sanggup menawarkan kontrak yang lebih lumayan berbanding tawaran Negeri Sembilan.

Sebelum itu, Negeri Sembilan telah bersetuju menawarkan kontrak kepada Duro bagi melengkapkan kuota pemain import musim ini setelah mempamerkan aksi yang cemerlang dalam pertandingan itu.

''Pemain import berkenaan bersetuju dengan kontrak yang kami tawarkan, cuma masa untuk menandatangani kontrak tidak dapat diadakan segera kerana pemain itu terus pulang ke Hungary sebaik tamat perlawanan di Singapura lalu,'' ujarnya.

Menurut Abdullah Sani, tidak salah jika pasukan itu menawarkan kontrak kepada Duro, jika Negeri Sembilan menolak pemain tersebut.

''PBNS tahu pasukan itu dan akan membuat aduan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai tindak- tanduk ejen dan pasukan berkenaan,'' ujarnya.

Oleh: SHAZALI HUSSAIN




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FhrbVtnX © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 27 Julai 2016

Dollah dilamar skuad Rusa

ARKIB : 26/02/1998
'JODOH' bekas ketua pasukan bola sepak Liga Perdana Melaka musim lalu, Dollah Salleh mungkin tidak berpanjangan apabila Negeri Sembilan bersedia melamar bekas pemain kebangsaan itu, AMIRUDDIN HARUN melaporkan.

Ini disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) apabila menerima surat daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan yang difakskan ke pejabat MAFA petang semalam.

Setiausaha Kehormat MAFA, Hahi Salleh berkata, dalam surat tersebut, persatuan dari negeri jiran itu bersetuju untuk mengadakan perbincangan dengan Dollah.

''Pasukan Rusa itu mungkin berminat untuk mengambil bekas pemain kebangsaan itu untuk menyarung jersi pasukan Negeri Sembilan musim ini,'' katanya ketika dihubungi di Melaka, semalam.

Dollah dijangka bermain untuk pasukan Melaka pada musim ini apabila ia mengikat kontrak dengan Syarikat Flashtasia Sdn. Bhd. yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan pasukan Liga Perdana Melaka musim ini.

Bagaimanapun, MAFA terpaksa menggugurkan Syarikat Flashtasia apabila timbul pelbagai masalah antara kedua-dua pihak, sekali gus menyebabkan nasib Dollah terumbang-ambing sehingga kini.

Sementara itu, skuad Liga Perdana Melaka sudah menguji tiga pemain dari Afrika pada perlawanan persahabatan dengan sebuah kelab dari Kuala Lumpur di Bangi, petang semalam.

Hahi berkata, ketiga-tiga pemain itu adalah Tebowei Edwards Dipreye, 29, dan John Onwudegwu, 24 (Nigeria) serta Belle Belle Yves, 29 dari Cameroon.

Menurutnya, mereka akan diuji kesesuaian serta kebolehan beraksi bersama pemain tempatan bagi merebut peluang menyertai skuad Kancil.

''Ketiga-tiga pemain itu mungkin diserapkan dalam pasukan Liga Perdana Melaka sekiranya dapat memuaskan hati pihak pengurusan,'' katanya.

Beliau turut menjelaskan yang MAFA akan mengadakan majlis menandatangani kontrak pemain Liga Perdana Melaka 1998, petang ini.

Sebelum ini hampir semua pemain yang mengikuti latihan intensif termasuk Dollah Salleh dan bekas ketua pasukan Selangor, Ismail Ibrahim hadir dalam temu duga.

Pemilihan pemain terpaksa dijalankan sendiri oleh MAFA berikutan kegagalan untuk menswastakan skuad berkenaan dengan sebuah syarikat dari Johor Bahru.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FbfdSwN9 © Utusan Melayu (M) Bhd

N. Sembilan ikat Affendi dua tahun

ARKIB : 25/02/1998
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) merakamkan penghargaan terhadap Persatuan Bola Sepak Sarawak (PBS) yang dianggap bertindak secara profesional dalam menguruskan perpindahan pemain serangannya Affendi Julaihi ke skuad rusa, lapor MEOR HARMAN MEOR SHAKRI.

Setiausaha Kehormat PBNS, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, beliau percaya kehadiran pemain lincah dari bumi kenyalang itu dapat membentuk gandingan yang lebih mantap bersama Scott Ollerenshaw apabila kedua-duanya berada di atas padang.

Katanya, bagi menguji kombinasi pemain, skuad Rusa akan bertandang ke negara jiran Singapura untuk menyertai jemputan kejohanan empat penjuru yang bermula dari 1 hingga 8 Mac ini.

Menurutnya, pihak persatuan sehingga kini masih belum dapat menilai kemampuan sebenar skuad yang dibentuk untuk musim ini melainkan mengukurnya selepas kejohanan di Singapura.

''Jurulatih M. Karathu sendiri masih lagi berusaha mencuba gandingan pemain baru dan lama tetapi berdasarkan persembahan skuad Rusa pada perlawanan persahabatan dengan beberapa negeri sebelum ini...saya berpuashati,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas menyaksikan satu majlis ringkas menandatangani perjanjian kontrak PBNS selama dua tahun dengan pemain import Gus Cerro dan Affendi semusim lagi untuk jurulatih Karathu.

Abdullah berkata, selain kejohanan jemputan di Singapura, skuad Rusa juga akan mengaturkan perlawanan persahabatan dengan beberapa skuad negeri lain khususnya di sebelah Utara.

Katanya, perlawanan persahabatan itu perlu sebagai persiapan awal sebelum kejohanan liga bermula pada April ini.

Sementara itu, ditanya mengenai nasib bekas pemain pertahanan Hungary, Joszef Duro bersama skuad Rusa, menurut Abdullah, pemain itu masih lagi dalam peringkat ujian.

Dalam pada itu, Affendi yang ditemui selepas majlis perjanjian kontrak itu berkata, penghijrahan beliau ke Negeri Sembilan merupakan kali pertama selepas tujuh tahun bersama Sarawak.

Beliau berazam untuk bermain dengan baik dan berusaha untuk membantu skuad Rusa untuk memenangi kejohanan pada musim ini selepas membantu bumi kenyalang memenangi beberapa piala kejohanan yang sama sebelum ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FbXBx6S1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 25 Julai 2016

Affendi Julaihi sarung jersi Negeri Sembilan

ARKIB : 06/02/1998
PENYERANG lincah Sarawak, Affendi Julaihi sudah berpatah arang untuk menyarung jersi skuad Negeri Sembilan dalam kancah pertandingan Liga Malaysia musim ini yang dijadual bermula Mac depan, ANUAR ARIFFIN melaporkan.

Lamaran jurulatih 'si Rusa', M. Karathu sebelum Hari Raya Puasa tempoh hari rupa-rupanya disambut dengan positif oleh pemain berusia 28 tahun itu.

Biarpun tindakan itu pasti akan mengecewakan peminat-peminat bola sepak di negeri ini, tetapi Affendi, bekas pemain kebangsaan tetap dengan keputusannya.

Malah, pemain yang digelar 'raja pecut Liga Malaysia' itu sudah membulatkan tekad untuk berjuang bersama-sama skuad 'Hoben Jang Hoben' yang selama ini menjadi 'seteru'nya di tengah padang.

Affendi sendiri mengakui bahawa majlis menandatangani perjanjian antaranya dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) akan diadakan di Seremban, Isnin ini.

Difahamkan, turut bersama beliau menandatangani perjanjian itu ialah bekas penyerang berbisa Sabah, Scott Ollerenshaw.

''Sepatutnya, majlis itu diadakan dua hari lalu tetapi ia terpaksa ditangguhkan kerana saya harus menyelesaikan beberapa perkara dengan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) terlebih dahulu,'' kata Affendi di Kuching, semalam.

Katanya, beliau mahu menemui Presiden FAS, Datuk Taha Ariffin dan pengurus serta jurulatih, Alan Vest terlebih dahulu sebaik sahaja kedua-dua mereka kembali dari Australia, esok.

Menurut Affendi, tidak ada krisis yang berlaku antaranya dengan FAS yang menelurkan hasrat untuk memperjudikan nasib di negeri orang.

''Saya mahu timba pengalaman bermain dengan pasukan lain di samping mempertingkatkan mutu permainan bola sepak saya.

''Ini merupakan satu penghormatan kepada pemain-pemain Sarawak dan saya yakin ia akan dapat membawa faedah kepada skuad Bujang Senang pada masa depan,'' ujarnya.

Benarlah, selama ini yang diperkatakan Affendi bahawa dia berhasrat untuk berhijrah dalam memantapkan kariernya dalam bidang bola sepak.

Pemain 'lipas kudung' itu sebelum ini pernah dikaitkan akan menyarung jersi Kuala Lumpur tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya, pemain itu terus kekal bersama Bujang Senang untuk tempoh setahun dan telahpun menurunkan tandatangan pada kontrak yang disediakan.

Dengan episod terbaru ini menjadikan Affendi, pemain pertama dari skuad Bumi Kenyalang menyarung jersi negeri lain setelah bertahun-tahun 'mengabdikan' diri bersama negeri kelahiran.

Karathu 'menyunting' Affendi untuk digandingkan bersama Ollerenshaw bagi mempertajamkan jentera serangan skuad 'Si Rusa' selepas impian mengikat penyerang, Azman Adnan dari Selangor tidak kesampaian.

Sementara itu, latihan skuad bola sepak Sarawak akan bermula Ahad ini di Stadium Sarawak.

Dan, kemungkinan besar kelibat dua bekas pemain Sabah, Yap Kwai Loon dan Suharmin Yusof akan mewarnai latihan tersebut dan disebut-sebut akan memantapkan skuad Bujang Senang musim ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FUjM3qkM © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 23 Julai 2016

Wajah murung jadi tandatanya -- Azman benar-benar hampakan NS

ARKIB : 09/01/1998
 
AZMAN ADNAN... Tindakannya menyertai semula Selangor mencetuskan tanda tanya selepas dia dikatakan telah berunding dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) untuk menyertai pasukan itu musim depan.

TINDAKAN penyerang kebangsaan, Azman Adnan menandatangani kontrak bersama Selangor kelmarin masih belum meredakan kontroversi yang timbul mengenai pemain berkenaan.

Malah pengumuman pengurus pasukan Selangor yang baru, Datuk Mokhtar Ahmad bahawa segala spekulasi mengenai isu perpindahan Azman telah tamat belum mampu menjawab banyak persoalan yang timbul.

Antaranya, wajah murung Azman ketika menandatangani kontrak bersama Selangor mengundang pelbagai andaian mengenai apa yang sebenarnya berlaku di sebalik majlis yang berlangsung kelmarin.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Abdullah Sani Abdul Hamid yang ternyata amat kecewa dengan tindakan Azman itu mempersoalkan tindakan pemain itu yang tidak memaklumkan langsung kepada beliau mengenai keputusan pemain itu.

Akibat daripada tindakan Azman itu, para pegawai PBNS termasuk presidennya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad telah dibiarkan menunggu kemunculan Azman selama tiga jam kelmarin bagi majlis menandatangani kontrak dengan pemain itu.

Malah bapa pemain itu juga telah menghubungi Abdullah Sani pada pagi kelmarin dan menyatakan bahawa dia tidak dapat menghubungi Azman sejak malam Selasa lalu.

Menurut Abdullah Sani, sebelum ini beliau telah mengingatkan Azman agar tidak mengulangi 'sejarah silam' yang dilakukan oleh rakan sepasukannya di Selangor, Zainal Abidin Hassan kepada Negeri Sembilan tahun lalu.

''Berikutan itu, Azman telah berjanji apa yang telah dilakukan oleh Zainal tidak akan berulang,'' katanya kepada Sukan Utusan ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Menurutnya, beliau juga telah dimaklumkan bahawa penduduk di sekitar Pedas - kampung asal keluarga Azman - berasa amat gembira apabila mendengar berita Azman akan pulang ke Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, apa yang diharapkan tidak berlaku walaupun Azman telah meminta PBNS mencari sebuah rumah untuknya di Seremban dan mahu berpindah dalam masa seminggu.

Katanya, beliau menganggap Azman ikhlas apabila menyatakan hasrat untuk menyarung jersi Negeri Sembilan pada musim ini, malah Azman juga dikatakan telah menghubungi rakan-rakannya di negeri ini dan menyatakan hasrat yang sama.

Jelasnya, beliau tidak kecewa jika Azman sebenarnya mahu memilih Selangor sebagai pasukan untuk beraksi musim ini.

''Tetapi mengapakan majlis menandatangani kontrak dengan Selangor diadakan secara tergesa-gesa jika benar Azman telah bersetuju untuk terus bersama Selangor.

''Wajah muram Azman ketika majlis itu juga tidak menggambarkan kegembiraan yang sepatutnya berlaku semasa majlis seperti itu diadakan,'' ujarnya.

Bagi mengatasi masalah pemain mungkir janji, Abdullah Sani mencadangkan kemungkinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiasat perkara itu bagi mengelakkan ia berulang.

Katanya, langkah tersebut penting bagi mengelak mana-mana pemain daripada mudah memberikan janji tetapi mungkir pada saat-saat akhir.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Abdullah Sani juga menggesa Mokhtar berhenti mengeluarkan kenyataan yang bersifat sombong sehingga boleh menjejaskan hubungan baik dengan persatuan bola sepak yang lain.

Sebagai profesional, katanya, Mokhtar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menyinggung pihak-pihak lain.

Namun demikian, Abdullah Sani sempat mengucapkan tahniah kepada Mokhtar dan berharap pasukan Selangor mampu mengulangi kejayaan musim lalu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FDwxkcHS © Utusan Melayu (M) Bhd

Scott mantapkan skuad Rusa

ARKIB : 08/01/1998
Scott mantapkan skuad Rusa
NEGERI Sembilan menjanjikan rentak persembahan berlainan apabila beraksi pada bola sepak Liga-M musim ini sejajar dengan kemasukan beberapa muka baru dalam skuad tersebut, kata jurulatih M. Karathu.

Beliau berkata, penyertaan bekas penyerang Sabah, Scott Ollerenshaw dalam skuad Rusa musim ini sepastinya memerlukan gandingan jentera serangan yang mantap dan pantas.

''Usaha mencari gandingan Scott perlu dibuat kerana pemain itu terkenal dengan gerakan pantas dan cepat, oleh sebab itu gandingannya juga memerlukan larian yang pantas,'' katanya.

Karathu yang kembali ke pangkuan Negeri Sembilan selepas mengumumkan pengundurannya sebelum ini menyatakan demikian ketika ditemui di Seremban, semalam.

Selain Scott, dua pemain Selangor, Shahrin Majid dan Talib Sulaiman turut mengesahkan penyertaan bersama skuad Rusa di samping pemain tengah Pahang, Raizuah Idris.

Beliau memberitahu, skuad Rusa juga akan meletakkan seorang pemain import di posisi pertahanan sebagai langkah untuk mengukuhkan lagi benteng tersebut.

Ditanya mengenai latihan, beliau berkata, latihan skuad Rusa dijangka bermula pada minggu depan dan setiap pemain perlu meletakkan komitmen yang tinggi untuk berjaya pada musim ini.

Mengulas isu rasuah, jelas beliau, adalah sukar bagi membuktikan seorang pemain terbabit dengan rasuah kerana kredibiliti pemain bergantung kepada keikhlasan pemain itu ketika bermain dengan pasukannya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FDuZ4Bz7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 22 Julai 2016

NS terkejut Azmi kembali ke Johor

ARKIB : 03/01/1998
KEPUTUSAN penyerang skuad Negeri Sembilan, Azmi Mohamed untuk kembali menyarung semula jersi pasukan Johor sebagai menghadapi cabaran Liga Perdana musim ini memeranjatkan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), lapor SHAZALI HUSSAIN.

Setiausaha Kehormat PBNS, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, beliau terkejut setelah terbaca berita mengenai hasrat bekas penyerang kebangsaan itu kembali bersama skuad Johor.

''Memang saya terkejut kerana tiga hari lalu (Rabu) saya ada bertemu dengan Azmi ketika ingin membeli juadah berbuka puasa, tetapi tidak ada sebarang reaksi dari Azmi,'' katanya ketika dihubungi di Seremban, semalam.

Menurut Abdullah Sani, beliau sebenarnya tidak kecewa dengan hasrat pemain itu akan mewakili semula Johor, tetapi merasa aneh dengan alasan Azmi bahawa jurulatih M. Karathu tidak lagi menjadi jurulatih pasukan negeri.

Azmi, 26, bekas pemain pasukan Olimpik menyertai Negeri Sembilan dua tahun lalu dan sewaktu bersama negeri bintangnya bersinar sehingga dipilih mewakili skuad kebangsaan ke Sukan SEA Jakarta tahun lepas.

''Alasan seperti ini menggambarkan Azmi bukanlah pemain profesional kerana pemain profesional tidak memilih siapa yang menjadi jurulatih,'' jelasnya.

Menurut Abdullah Sani, sekiranya Azmi tidak berpuas hati dengan gaji atau lain-lain kemudahan yang ditawarkan dia masih boleh berjumpa dengannya untuk berbincang.

Abdullah berkata, sekiranya Azmi menganggap Johor lebih profesional kenapa dia memilih Negeri Sembilan untuk meneruskan kerjayanya dua tahun lalu. ''Bagaimanapun, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Azmi dan berharap akan menjadi seorang pemain yang benar-benar profesional,'' ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FDAwqPUX © Utusan Melayu (M) Bhd