Ahad, 21 Februari 2021

Negeri Sembilan mahu bangkit semula

MyMetroArena



Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas gagal menyerlah musim lalu apabila sekadar menduduki tempat ke-11 di pentas Liga Perdana, Negeri Sembilan FC (NSFC) meletakkan keazaman tinggi untuk kembali bangkit pada musim ini dan seterusnya memburu slot ke Liga Super pada musim 2022.

Kehadiran semula bekas jurulatih yang pernah menjulang Negeri Sembilan di awal era tahun 2000, K Devan dijangka akan menyuntik perubahan besar dalam taktikal pasukan selepas mendapatkan ramai pemain berkualiti untuk memberikan nafas baharu buat skuad Hoben Jang Hoben musim ini.

Sebahagian besar peminat NSFC cukup teruja apabila bekas penyerang kebangsaan dan anak jati Seremban Zaquan Adha Abd Radzak akhirnya kembali menyarung jersi NSFC selepas 10 tahun berkelana bersama pasukan lain.

Biarpun usia akan menjangkau 34 tahun, kelibat Zaquan akan memberikan satu dimensi berbeza terutama daripada segi motivasi pasukan serta menjadi pembimbing kepada bakat-bakat muda di NSFC.

Selain Zaquan, muka baharu seperti Muhaimin Mohamad (bekas penjaga gol Felda United FC, PJ City FC), Nasrullah Hanif Johan (bekas pertahanan Terengganu FC), Ferris Danial (bekas penyerang Melaka) dan Annas Rahmat (bekas pertahanan Melaka) selain pemain-pemain import pasti akan meletakkan NSFC selaku pencabar utama trofi Liga Perdana 2021.

Devan mengakui harapan yang disandarkan oleh pengurusan serta peminat buat masa ini begitu tinggi namun sebagai jurulatih berpengalaman yang sudah berkecimpung lebih 20 tahun di Liga Malaysia, beliau sudah lali dengan situasi terbabit.

"Memang berpandukan sasaran pengurusan dan jangkaan daripada peminat, sudah pasti tekanan akan tinggi ditambah kalau kita gagal mencapai sebarang kemenangan dalam tiga atau perlawanan awal.

"Bagaimanapun, saya faham situasi ini berdasarkan keadaan Negeri Sembilan pada musim lepas dan pasukan telah banyak membuat perubahan pada tahun ini, jadi saya harapkan mereka mampu menyerlah di atas padang bagi memenuhi harapan semua.

"Di dalam latihan, saya sudah dapat lihat banyak perubahan daripada segi persefahaman pemain selain kefahaman mereka dalam perubahan serta penambahbaikan taktikal yang saya terapkan," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 8:37 PM

Isnin, 1 Februari 2021

Pasukan Liga M harap dibenarkan berlatih

MyMetroArena



Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan 'lampu hijau' untuk mengadakan sesi latihan dalam masa terdekat.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K Devan berkata berdasarkan pengalaman musim lalu, beliau berpandangan semua pasukan sudah matang serta mampu mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN.

Devan berkata selaku pengendali beliau mahu pasukannya berlatih lebih awal untuk memastikan barisan pemain mencapai kecergasan optimum menjelang sepak mula saingan Liga-M 2021 yang telah dianjak daripada 26 Feb kepada 5 Mac depan.

"Kami sempat berlatih bersama selama dua minggu sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan dan buat masa sekarang, pemain sedang cuba mengekalkan tahap yang sudah dibina melalui latihan persendirian di rumah.

"Jika semua pasukan dibenarkan berlatih, ia sudah tentu baik buat pemain untuk meneruskan tahap kecergasan yang telah dibina sebelum ini memandangkan liga kita akan bermula sebulan dari sekarang," katanya dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Pada masa sama, beliau meminta pasukan turut diberi ruang mengadakan perlawanan persahabatan sebelum saingan Liga M bermula untuk menguji kecergasan pemain serta kombinasi antara anak buahnya selain memperbaiki taktikal permainan pasukan.

Sementara itu, hasrat sama diluahkan ketua jurulatih Terengganu FC, Mohd Nafuzi Zain yang optimis setiap pasukan bersedia untuk mematuhi apa jua SOP ditetapkan demi memastikan pasukan dibenarkan mengadakan sesi latihan.

Menurutnya, kebanyakan pasukan memerlukan masa bagi membentuk keserasian sesama pemain.

"TFC banyak mengambil pemain baharu musim ini, jadi sudah tentu latihan secara bersama amat penting bagi mereka boleh memahami corak permainan yang akan saya terapkan selain faktor kecergasan," katanya.

Selasa lalu, MFL membuat keputusan membatalkan saingan Piala FA manakala sepak mula Liga M 2021 ditunda ke 5 Mac susulan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak hingga 4 Februari ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 7:01 PM