Ahad, 25 April 2021

Devan terkilan pemain lepaskan peluang

Mohd Amin Jalil

sukanteam@nstp.com.my



Devan mengakui barisan depan gagal memanfaatkan peluang dengan baik menentang Sarawak malam tadi. FOTO MOHD AMIN JALIL.

Seremban: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan terkilan kerana pemain pasukan itu melepaskan peluang terbaik bagi meraih kemenangan apabila seri dengan Sarawak United, 1-1, dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

"Ya, rasa terkilan kerana hari ini (malam tadi) kita kehilangan dua mata, sepatutnya kita boleh menang tapi disebabkan kesilapan dan kurang persefahaman antara Annas Rahmat dan penjaga gol (Damien Lim), kita beri pemain lawan jaringkan gol.

"Bola itu bukan bola bahaya tapi disebabkan kesilapan pada awal permainan itu, gawang Negeri Sembilan sudah bolos," kata Devan.

Beliau merujuk gol yang diperoleh Sarawak pada minit pertama permainan menerusi pemain tengah pasukan itu, Muhammad Gopi Rizqi Ramachandra.

Menurut pengendali berpengalaman itu, walaupun selepas jaringan itu pemain skuad Hobin Jang Hobin berjaya mencipta banyak peluang di hadapan pintu gol lawan, tetapi barisan depan gagal memanfaatkannya dengan baik.

"Gandingan jentera serangan diterajui Mohd Zaquan Adha (Abd Radzak), Alain Thierry Akono dan Rafael Gomes De Oliveira, dilihat banyak melakukan percubaan ke arah pintu gol Sarawak tapi percubaan mereka tidak menepati sasaran.

"Walaupun kita berjaya mengawal hampir keseluruhan permainan terutama di babak pertama, tapi ketumpulan barisan depan, ternyata memberi masalah untuk kita dapatkan gol.

"Malah, peluang terbaik di hadapan pintu gol Sarawak yang mana pemain hanya perlu menahan atau menolak masuk bola ke gawang, juga tidak berlaku," katanya.

Devan yang juga pengurus pasukan, bagaimanapun lega kerana Akono berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-61.

Katanya, usahanya melakukan beberapa pertukaran termasuk membawa masuk penyerang Muhammad Ferris Danial Mat Nasir bagi memantapkan jentera serangan dan bagi mendapatkan gol tambahan, juga tidak banyak beri kesan positif.

"Apapun, satu mata sungguh berharga untuk membolehkan kita kekal di kedudukan pertama carta dan selepas ini fokus kepada memperkasakan jentera serangan menjadi keutamaan bagi menghadapi pertemuan dengan PDRM di gelanggang lawan," katanya.

Sementara itu, pengendali Sarawak, E Elavarasan melahirkan rasa lega kerana pemainnya berjaya menafikan hasrat Negeri Sembilan mendapatkan kemenangan.

Beliau menyifatkan perlawanan malam tadi adalah seimbang dengan kedua-dua pasukan saling menyerang dan masing-masing berjaya mencipta banyak peluang jaringan.

"Pemain saya melaksanakan tugas dengan baik seperti mana yang dirancang dan saya anggap keputusan seri malam ini menepati dengan apa yang mereka persembahkan," kata bekas pengendali Melaka United itu.SUMBER MY METRO ONLINEDisiarkan pada: April 25, 2021 @ 1:59pm

Khamis, 11 Mac 2021

Zaquan percaya NSFC mampu benam JDT II

 SUKAN



ZAQUAN mengingatkan rakan-rakan sepasukan agar tidak menjadikan keputusan cemerlang dalam tiga aksi persahabatan pramusim dijadikan sebagai kayu ukur menjelang aksi menentang JDT II di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Zaquan percaya NSFC mampu benam JDT II

Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

5 Mac 2021, 9:57 pm

KAPTEN Negeri Sembilan FC (NSFC), Zaquan Adha Abdul Radzak berazam membantu pasukan memulakan aksi Liga Premier dengan langkah kanan menjelang aksi bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) II di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Kata Zaquan, sambutan yang cukup baik diberikan oleh penyokong NSFC dalam penswastaan kelab memberikan semangat tambahan kepada seluruh pemain dalam memberikan cabaran kepada kejuaraan liga musim ini.

Secara peribadi, sejak saya balik semula ke sini, saya lihat banyak perkembangan positif yang begitu ketara dalam kalangan penyokong kerana selama ini macam suam-suam sahaja sokongan mereka.

Jadi, saya harap benda yang baik ini berterusan dan saya bersama pasukan harap dapat mencipta kejayaan demi NSFC serta penyokong.

Perlawanan pertama selalu menjadi detik penting kepada mana-mana pasukan kerana secara tidak langsung akan berikan keyakinan bagi mengharungi musim yang panjang ini.

Namun, JDT II bukan pasukan yang mudah kerana mereka mempunyai barisan import yang berkualiti terutama ketua pasukan (Nicolas Fernandez) selain pemain-pemain muda berbakat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bekas ketua pasukan Harimau Malaya itu pada masa sama tidak mahu keputusan cemerlang yang dicatatkan oleh skuad kendalian K. Devan dalam tiga aksi persahabatan pramusim dijadikan sebagai kayu ukur.

Momentum serta motivasi pasukan sangat positif dengan meraih kemenangan pada tiga perlawanan lepas tetapi ia hanyalah aksi persahabatan. Apa yang penting adalah kemenangan bertemu JDT nanti,” katanya. SUMBER– KOSMO! ONLINE

Selasa, 9 Mac 2021

Negeri Sembilan lakar kemenangan kedua

 SUKAN TERKINI



ALAIN Akono (tengah) meledak gol kemenangan Negeri Sembilan pada penghujung perlawanan ketika mereka menewaskan Selangor 2 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang petang tadi.

Negeri Sembilan lakar kemenangan kedua

Oleh KOSMO!

9 Mac 2021, 7:38 pm

SELAYANG – Negeri Sembilan FC meneruskan rentak cemerlang apabila berjaya merakam kemenangan kedua berturut-turut daripada dua perlawanan Liga Premier setakat ini.

Kejayaan terbaharu itu hadir selepas skuad The Jangs menumpaskan Selangor FC 2 dengan keputusan 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebentar tadi meskipun terpaksa mengharungi perlawanan dengan 10 pemain.

Ia selepas pemain pertahanan Negeri Sembilan, Annas Rahmat diarahkan keluar padang setelah menerima kad kuning kedua kerana mengasari Nazrin Nasir pada minit ke-89.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan berpuas hati dengan kekentalan barisan pemainnya mempertahankan gawang mereka daripada terus dibolosi Selangor 2 yang terdesak mencari gol penyamaan pada minit-minit akhir permainan.

Ini satu perlawanan sukar kerana menentang pasukan yang memiliki ramai pemain muda. Mungkin juga beraksi buat kali pertama di waktu petang memberi kesan kepada pemain untuk menyesuaikan diri.

Pujian buat pemain kerana bertahan dengan baik pada minit-minit terakhir untuk memastikan tiga mata berjaya dibawa pulang,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan sebentar tadi.

Negeri Sembilan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi R. Barathkumar dalam babak pertama sebelum Selangor 2 menyamakan kedudukan melalui Harith Haiqal pada minit ke-72.

Bekas juara Liga Super 2006 itu memastikan tiga mata menjadi milik mereka selepas penyerang import dari Cameroon, Alain Akono meledak gol kemenangan pada minit ke-88.

Kemenangan itu menyaksikan Negeri Sembilan mendahaului carta Liga Premier dengan enam mata selepas terdahulu menewaskan Johor Darul Ta’zim II sewaktu aksi pertama, Sabtu lalu.

Negeri Sembilan selepas ini akan menanti kunjungan Terengganu FC II untuk perlawanan ketiga Liga Premier di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu ini. – SUMBER-K! ONLINE

Ahad, 21 Februari 2021

Negeri Sembilan mahu bangkit semula

MyMetroArena



Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas gagal menyerlah musim lalu apabila sekadar menduduki tempat ke-11 di pentas Liga Perdana, Negeri Sembilan FC (NSFC) meletakkan keazaman tinggi untuk kembali bangkit pada musim ini dan seterusnya memburu slot ke Liga Super pada musim 2022.

Kehadiran semula bekas jurulatih yang pernah menjulang Negeri Sembilan di awal era tahun 2000, K Devan dijangka akan menyuntik perubahan besar dalam taktikal pasukan selepas mendapatkan ramai pemain berkualiti untuk memberikan nafas baharu buat skuad Hoben Jang Hoben musim ini.

Sebahagian besar peminat NSFC cukup teruja apabila bekas penyerang kebangsaan dan anak jati Seremban Zaquan Adha Abd Radzak akhirnya kembali menyarung jersi NSFC selepas 10 tahun berkelana bersama pasukan lain.

Biarpun usia akan menjangkau 34 tahun, kelibat Zaquan akan memberikan satu dimensi berbeza terutama daripada segi motivasi pasukan serta menjadi pembimbing kepada bakat-bakat muda di NSFC.

Selain Zaquan, muka baharu seperti Muhaimin Mohamad (bekas penjaga gol Felda United FC, PJ City FC), Nasrullah Hanif Johan (bekas pertahanan Terengganu FC), Ferris Danial (bekas penyerang Melaka) dan Annas Rahmat (bekas pertahanan Melaka) selain pemain-pemain import pasti akan meletakkan NSFC selaku pencabar utama trofi Liga Perdana 2021.

Devan mengakui harapan yang disandarkan oleh pengurusan serta peminat buat masa ini begitu tinggi namun sebagai jurulatih berpengalaman yang sudah berkecimpung lebih 20 tahun di Liga Malaysia, beliau sudah lali dengan situasi terbabit.

"Memang berpandukan sasaran pengurusan dan jangkaan daripada peminat, sudah pasti tekanan akan tinggi ditambah kalau kita gagal mencapai sebarang kemenangan dalam tiga atau perlawanan awal.

"Bagaimanapun, saya faham situasi ini berdasarkan keadaan Negeri Sembilan pada musim lepas dan pasukan telah banyak membuat perubahan pada tahun ini, jadi saya harapkan mereka mampu menyerlah di atas padang bagi memenuhi harapan semua.

"Di dalam latihan, saya sudah dapat lihat banyak perubahan daripada segi persefahaman pemain selain kefahaman mereka dalam perubahan serta penambahbaikan taktikal yang saya terapkan," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 8:37 PM

Isnin, 1 Februari 2021

Pasukan Liga M harap dibenarkan berlatih

MyMetroArena



Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan 'lampu hijau' untuk mengadakan sesi latihan dalam masa terdekat.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K Devan berkata berdasarkan pengalaman musim lalu, beliau berpandangan semua pasukan sudah matang serta mampu mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN.

Devan berkata selaku pengendali beliau mahu pasukannya berlatih lebih awal untuk memastikan barisan pemain mencapai kecergasan optimum menjelang sepak mula saingan Liga-M 2021 yang telah dianjak daripada 26 Feb kepada 5 Mac depan.

"Kami sempat berlatih bersama selama dua minggu sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan dan buat masa sekarang, pemain sedang cuba mengekalkan tahap yang sudah dibina melalui latihan persendirian di rumah.

"Jika semua pasukan dibenarkan berlatih, ia sudah tentu baik buat pemain untuk meneruskan tahap kecergasan yang telah dibina sebelum ini memandangkan liga kita akan bermula sebulan dari sekarang," katanya dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Pada masa sama, beliau meminta pasukan turut diberi ruang mengadakan perlawanan persahabatan sebelum saingan Liga M bermula untuk menguji kecergasan pemain serta kombinasi antara anak buahnya selain memperbaiki taktikal permainan pasukan.

Sementara itu, hasrat sama diluahkan ketua jurulatih Terengganu FC, Mohd Nafuzi Zain yang optimis setiap pasukan bersedia untuk mematuhi apa jua SOP ditetapkan demi memastikan pasukan dibenarkan mengadakan sesi latihan.

Menurutnya, kebanyakan pasukan memerlukan masa bagi membentuk keserasian sesama pemain.

"TFC banyak mengambil pemain baharu musim ini, jadi sudah tentu latihan secara bersama amat penting bagi mereka boleh memahami corak permainan yang akan saya terapkan selain faktor kecergasan," katanya.

Selasa lalu, MFL membuat keputusan membatalkan saingan Piala FA manakala sepak mula Liga M 2021 ditunda ke 5 Mac susulan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak hingga 4 Februari ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 7:01 PM

Sabtu, 30 Januari 2021

Pemain Liga M anggap pembatalan Piala FA relevan

Oleh Zulfaizan Mansor - Januari 29, 2021 @ 8:34pm

zulfaizan@bh.com.my




Pemain Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abd Radza. - Foto NSTP/Aziah Azmee.

KUALA LUMPUR: Pemain Liga Malaysia (Liga M) menganggap keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan pertandingan Piala FA musim ini sebagai relevan susulan pandemik COVID-19 yang masih pada tahap membimbangkan.

Penyerang Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abd Radzak memahami jadual padat yang akan ditempuhi oleh semua pasukan sekiranya piala berkenaan masih tetap diteruskan ketika tempoh saingan Liga M musim ini semakin singkat.

Katanya, pemain memerlukan tempoh masa yang mencukupi untuk berehat selepas sesuatu perlawanan dan jadual padat akan mengundang kepada risiko kecederaan, sekali gus memberi kesan buruk kepada pasukan.

"Secara peribadi, saya rasa sebenarnya ramai yang tidak tahu mengenai bagaimana jadual liga itu dibuat. Tetapi kami sebagai pemain tahu faktor-faktor tertentu kenapa jadual dibuat sebegitu.

"Sebelum COVID-19 melanda, memang kita boleh harungi semua perlawanan baik Liga Super, Liga Perdana, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Cabaran di mana kita boleh ada ruang dan masa untuk memastikan semua itu berjalan seperti dirancang.

"Tetapi dalam situasi pandemik sekarang, kita tahu agak mustahil nak menempuh semua saingan dalam satu masa singkat sebab boleh merisikokan pemain kepada kecederaan apabila jadual terlalu padat," katanya.

Situasi semasa COVID-19 yang masih mencatat kes harian empat angka menyaksikan MFL terpaksa menunda sepak mula Liga M ke 5 Mac berbanding perancangan asal 26 Februari.

Sementara itu, pemain tengah Sri Pahang FC, Lee Tuck turut berharap agar permohonan yang akan dikemukakan MFL kepada pihak kerajaan untuk memastikan pasukan dapat melakukan latihan penuh sebelum sepak mula diluluskan memandangkan mereka ketika ini hanya melakukan latihan di rumah sahaja.

"Sekiranya keadaan terkawal dan selamat, saya harap kita semua dapat kembali untuk berlatih di padang sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sepak mula sepertimana yang akan dimohon oleh MFL.

"Penangguhan Liga M daripada 26 Februari ke 5 Mac juga bukanlah jurang masa yang lama sangat, dan saya rasa kita semua memang tengah bersemangat untuk mempersiapkan diri.

"Apa-apa pun, kita sudah menempuh situasi sama seperti tahun lalu yang memerlukan kita berlatih di rumah. Jadi apa pun keputusan, kita kena sentiasa bersedia dan tetap menjaga tahap kecergasan dengan baik," katanya.SUMBER-BH ONLINE