Rabu, 7 Oktober 2020

NS tak rela tewas lagi

MyMetroArena



Mohd Amin Jalil

am@hmetro.com.my

Seremban: "Saya harap kekecewaan ini tidak berpanjangan sehingga kepada perlawanan terakhir liga," kata Pengurus pasukan Liga Perdana Negeri Sembilan, Abdul Razak Mohd Idris.

Beliau yang mengambil alih jawatan berkenaan pada pertengahan musim, akui tidak berpuas hati dengan prestasi skuad Hobin Jang Hobin ketika ini dan tidak rela melihat skuad berkenaan tersungkur lagi apabila menentang Sarawak United, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat ini.

Katanya, sebelum ini, pasukan itu gagal meraih kemenangan dalam dua perlawanan berturut-turut menentang Kuching FC di tempat sendiri dan Kelantan FC di laman lawan.

"Prestasi pasukan jelas mengecewakan saya, bukan sahaja persembahan yang tidak konsisten, malah pemain dilihat tidak fokus.

"Walaupun pelbagai program latihan dilakukan oleh ketua jurulatih, Sazali Saidun, namun persembahan masih tiada peningkatan.

"Saya juga kecewa dengan beberapa pemain terutamanya import, walaupun 90 peratus dikekalkan pada musim ini tetapi pasukan tidak memanfaatkan peluang yang ada dan mereka dilihat sering hilang fokus dalam perlawanan," katanya.

Negeri Sembilan mempertaruhkan empat pemain import membabitkan tiga dari Brazil iaitu Matheus Fernandes Vila, Jose Almir Neto dan Igor Luiz manakala Shunsuke Nakatake berasal dari Jepun.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, persembahan yang mengecewakan itu menyebabkan skuad Rusa kini dilihat sukar mempamerkan kebangkitan, malah gawang mudah dibolosi sehingga mendapat perbezaan jaringan yang besar dengan pasukan lain.

"Saya berharap pemain dapat bekerja keras dan kekal fokus untuk perlawanan terakhir Jumaat ini.

"Hasrat kita untuk layak ke saingan Piala Malaysia amat bergantung kepada keputusan perlawanan berkenaan. Saya harap pasukan dapat kemenangan," katanya.

Ketika ini, Negeri Sembilan menduduki tangga kelapan carta dengan 11 mata selepas sekadar mencatatkan tiga kemenangan, dua seri dan lima kalah.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 7:19 PM

Ahad, 20 September 2020

Sazali kurang berpuas hati

MyMetroArena



Noor Hidayah Tanzizi

sukanteam@nstp.com.my

Manjung: Pengendali Negeri Sembilan, Sazali Saidun mengakui kurang berpuas hati dengan persembahan anak buahnya pada separuh masa kedua ketika menentang Perak II dalam saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, di sini, malam tadi.

Sazali berkata, persembahan skuad Hobin Jang Hobin pada aksi itu kurang menyengat biarpun mereka mencipta beberapa peluang terbaik untuk membawa pulang tiga mata penuh namun gagal menjaringkan gol kemenangan.

"Kami memulakan permainan pada separuh masa pertama dengan baik dan lebih tersusun tetapi separuh masa kedua kami gagal bermain dengan baik terutama bahagian tengah.

"Separuh masa kedua saya tak berapa puas hati dari segi kekemasan hantaran, kita melakukan banyak hantaran tidak kemas membolehkan pasukan Perak II mengatur serangan.

"Perak II menurunkan barisan muda, memang agak sukar bermain dengan pemain muda yang mempunyai kecergasan baik dan melakukan tekanan, apapun bersyukur dapat satu mata," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan yang berkesudahan 0-0, malam tadi.

Jurulatih berasal dari Johor itu turut memuji kapten pasukan, Muhammad Shahrom Abdul Kalam dan tenaga import, Jose Almir Barros Neto yang kurang cergas akibat kecederaan sebelum ini, bermain dan bertahan dengan baik sehingga tamat perlawanan.

"Kita ada baki tiga perlawanan lagi bersama Kuching FA, Kelantan dan Sarawak United. Kita berharap dapat mengutip mata penuh untuk mencerahkan peluang layak ke Piala Malaysia (tempahan slot Liga Super) dan berada dalam kedudukan terbaik Liga Perdana.

"Apabila kita seri hari ini (malam tadi) sedikit sebanyak peluang untuk melayakkan diri ke Liga Super itu kurang cerah tetapi kita tidak berputus asa, harap dengan baki tiga perlawanan dapat mengutip mata penuh," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Perak II, Abu Bakar Fadzim berkata, keputusan seri itu menunjukkan misi menyekat kemaraan dan jentera serangan Negeri Sembilan berhasil.

Katanya, sekadar mengutip satu mata di laman sendiri dan bakal bertemu Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Kuala Lumpur dan UKM FC, ia bukan sesuatu tugas mudah terutama dengan barisan jentera yang terhad, namun dia terus kekal positif.

"Negeri Sembilan turun dengan barisan terkuat mereka, jadi saya terpaksa menutup ruang dua penyerang import dan kiri serta kanan mereka. Saya nampak pemain Perak II berjaya menangani situasi itu.

"Kita tahu jentera Perak II terhad (namun) apa yang ditunjukkan malam ini saya berpuas hati walaupun satu mata, bagi saya kemahuan dan kesungguhan mereka (lagipun) bukan mudah untuk kita menyenaraikan lima pemain bawah 21 tahun termasuk seorang berusia 18 tahun, Muhamad Alif Zikri Zaini Anuar," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 8:16 PM

Perak II, NS kongsi satu mata

MyMetroArena



Noor Hidayah Tanzizi

sukanteam@nstp.com.my

PERAK II dan Negeri Sembilan berkongsi mata apabila seri 0-0 pada saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini, hari ini.

Pasukan pelawat kendalian Sazali Saidun cuba mencari gol melalui rembatan Adam Othman Mohd Arfah pada minit ke-24 namun berjaya dinafikan penjaga gol Perak II, Muhammad Farhan Abdul Majid.

Dua minit kemudian peluang hadir buat tuan rumah namun sepakan padu Khairul Asyraf Sahizah gagal menewaskan penjaga gol pelawat, Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman.

Kedua-dua pasukan terus tampil ligat mengasak benteng pertahanan lawan masing-masing dengan beberapa percubaan namun gagal menemui penyudah.

Babak kedua bersambung, skuad Hobin Jang Hobin berpeluang mencetak jaringan namun sepakan deras Jose Almir Barros Neto pada minit ke-56 tersasar ke kanan gawang tuan rumah.

Anak buah Abu Bakar Fadzim memperkemaskan permainan namun peluang diperolehi melalui sepakan Khairul Syafiq Mustaffa pada minit ke-69 tersasar atas gawang lawan.

Kedua-dua pasukan terus bernafsu mencari gol namun gagal diterjemahkan kepada jaringan dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 11:25 PM


Isnin, 7 September 2020

Sazali berdepan tugas berat

MyMetroArena

Aksi pemain Negeri Sembilan berjersi kuning ketika berdepan Selangor. FOTO File MFL

Mohd Amin Jalil

sukan@hmetro.com.my

NEGERI Sembilan berhadapan tugas berat dalam misi untuk memperbaiki dan mendapatkan kedudukan terbaik dalam kelompok teratas carta Liga Perdana, susulan tewas kepada Pulau Pinang, 0-2, Jumaat lalu.

Ketua jurulatih skuad itu, Sazali Saidun berkata, kekalahan kepada Pulau Pinang menjejaskan kedudukan skuad bimbingannya selepas sebelum itu berjaya menewaskan Terengganu FC II (TFC II).

"Hasrat kita untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga tetapi tidak kesampaian dan kini satu tugas berat selepas kita tewas kepada Pulau Pinang.

"Kita sepatutnya mampu merekodkan keputusan seri, tetapi disebabkan beberapa kesilapan mudah, ia memberi kesan kepada cabaran seterusnya.

"Apapun benda dah berlaku dan kita kena terima hakikat bahawa pasukan perlu tingkatkan lagi prestasi serta bekerja keras mengatasi segala kelemahan, jika ingin bangkit pada perlawanan akan datang," katanya.

Sazali menuntut dua penyerang import pasukan itu dari Brazil iaitu Jose Almir Neto dan Igor Luiz supaya dapat memainkan peranan lebih agresif di barisan hadapan bagi membantu pasukan mendapatkan kemenangan.

Menurutnya, kedua-dua pemain berkenaan belum dapat menjaringkan gol dalam dua perlawanan setakat ini, tatkala kemenangan amat penting buat skuad Hobin Jang Hobin, untuk mengelak berada dalam kelompok terbawah carta liga.

Susulan kekalahan kepada skuad Harimau Kumbang itu, Negeri Sembilan turun satu anak tangga di tempat kelapan liga dan mengutip enam mata.

Negeri Sembilan bakal menanti kunjungan Selangor II dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada Sabtu ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 7:18 PM

Jumaat, 28 Ogos 2020

NS menang tipis di Paroi

 SUKAN»Bola

Jumaat, 28 Ogos 2020 | 11:55pm

PEMAIN Negeri Sembilan, Igor Carneiro Luiz diasak oleh beberapa pemain terengganu FC ll dalam perlawanan Liga Perdana Negeri Sembilan menentang Terengganu FC ll di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

PEMAIN Negeri Sembilan, Igor Carneiro Luiz diasak oleh beberapa pemain terengganu FC ll dalam perlawanan Liga Perdana Negeri Sembilan menentang Terengganu FC ll di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

PEMAIN Negeri Sembilan, Igor Carneiro Luiz diasak oleh beberapa pemain terengganu FC ll dalam perlawanan Liga Perdana Negeri Sembilan menentang Terengganu FC ll di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

NS menang tipis di Paroi

Oleh Mohd Amin Jalil

sukanteam@nstp.com.my


SEREMBAN: Negeri Sembilan (NS) memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menewaskan Terengganu FC II (TFC II) 1-0 pada aksi Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, sebentar tadi.


Keputusan itu juga sekali gus menyaksikan rekod tanpa kalah yang dimiliki TFC II lebur, namun pelawat masih kekal mendominasi puncak carta.


TFC II dilihat menguasai sebahagian besar separuh masa pertama dengan bahagian tengah pasukan pelawat itu lebih berfungsi menerusi beberapa hantaran berkualiti ke bahagian serangan.


Menerusi gandingan Bruno Suzuki dan Jordan Mintah, pertahanan NS yang digalas Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Shahrom Kalam dan Matheus Fernandes Vila,


terpaksa bekerja keras bagi mengekang serangan pelawat.


Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mendapatkan gol yang dicari.


Anak buah Sazali Saidun yang dilihat mendominasi babak kedua, bagaimanapun terpaksa menunggu pada masa akhir permainan untuk mendapatkan gol yang dicari menerusi jaringan Shunsuke Nakatake pada minit ke-90.


Kemenangan itu membolehkan NS berjaya mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri.SUMBER BH ONLINE