ARKIB : 24/04/2011
KUALA LUMPUR - Selepas enam perlawanan, Mohd. Azraai Khor Abdullah
akhirnya mengecap kemenangan pertama bersama Negeri Sembilan dengan kemenangan
3-1 ke atas Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.
Kejayaan itu hadir selepas keputusan berani bekas pengendali Harimau Muda
itu menggunakan tiga pemain Piala Presiden di dalam kesebelasan utama selain
memilih menggunakan khidmat Mohd. Farizal Harun selaku penjaga gol utama menggantikan
Farizal Marlias.
Negeri Sembilan sudah berada di hadapan semenjak minit ke-13 apabila
Shahurain Abu Samah menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada ke-13.
Semangat Pahang untuk melawan semakin longlai pada minit ke-28 selepas
pemain tinggi lampai, G. Mahathevan menanduk masuk hasil bola yang berpunca
daripada sepakan sudut daripada sebelah kiri.
Kedudukan skuad Hoben Jang Hoben bertambah kukuh apabila penyerang muda,
Mohd. Firdaus Azizul merembat deras dari penjuru kiri gol Pahang pada minit ke-58.
Pahang mendapat gol saguhati pada minit ke-77 menerusi percubaan jarak
jauh menarik daripada R. Kartigesu.
Di Stadium Likas, pendahulu liga, Selangor bangkit daripada ketinggalan
untuk mengatasi Sabah 2-1. Rosdin Wasli terlebih dahulu meletakkan Sabah di
hadapan pada minit ke-11.
Namun, Selangor berjaya mendapat kemenangan bagi mengekalkan kelebihan
empat mata di atas pencabar terdekat Terengganu menerusi jaringan daripada
Bunyamin Umar pada minit ke-35 dan Amri Yahyah pada minit ke-65.
Harimau Muda A pula menebus kekalahan 1-0 ke atas Kedah pada Rabu lalu
apabila menang 2-1 di Stadium Darul Aman.
Penyerang kebangsaan, Izzaq Faris Ramlan membuka tirai jaringan pada minit
ke-29 sebelum Mohd. Fandi Othman menambah jaringan Harimau Muda A pada minit
ke-55 hasil daripada sepakan percuma. Kedah mendapat gol tunggal melalui
sepakan penalti yang diambil Baddrol Bakhtiar pada minit ke-63.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu menewaskan Perak 3-0
bagi mengekori rapat kedudukan Selangor manakala Johor FC juga mencipta
kemenangan penting 2-1 ke atas T-Team di Stadium JCorp, Pasir Gudang.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5e6TfwRsi
© Utusan Melayu (M) Bhd