Jumaat, 7 Julai 2017

NS Naza cemas sebelum layak



 
ARKIB : 13/08/2006
Ads by Kiosked
NS Naza cemas sebelum layak
PEMAIN Perlis, Kabwe Kamuzati (kanan) menghalang pergerakan pemain Terengganu, Helton Soares dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam tadi. Kedua-dua pasukan seri 1-1 tetapi Perlis layak ke separuh akhir menerusi kemenangan agregat 4-3.

KUALA LUMPUR - Empat pasukan diketuai oleh naib juara tahun lalu, Perlis bersama Perak, Telekom Melaka dan NS Naza melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia selepas melepasi halangan suku akhir kedua, malam tadi.

Perlawanan separuh akhir menyaksikan pertemuan getir dengan Perlis menentang Perak manakala Telekom Melaka pula bertemu NS Naza.

Saingan separuh akhir pertama akan berlangsung pada 2 September manakala separuh akhir kedua pada 9 September ini.

Di Stadium Sarawak, juara Liga Super NS Naza terpaksa mengharungi saingan paling getir tetapi masih mampu layak selepas menewaskan Sarawak 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 secara agregat apabila seri 1-1 untuk mengajak perlawanan diheret hingga ke masa tambahan.

Tempoh 120 minit tidak menyebelahi mana-mana pihak apabila penentuan sepakan penalti menjadi kata pemutus untuk memihak kepada NS Naza.

Sarawak membuka jaringan pada minit ke-31 menerusi Sanjos Sundawat sebelum NS Naza mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-82 menerusi Christian Bekamenga.

Di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang E&O sekadar terikat dengan keputusan seri 2-2 bertemu Perak sekali gus meranapkan impian mereka untuk ke separuh akhir.

Buat Perak layak dengan bergaya menerusi agregat 5-2 selepas mencatat kemenangan 3-0 di Stadium Perak, Sabtu lalu.

Gol-gol tuan rumah dijaringkan oleh A. Jaganathan (m-38) dan Branezac Sasa (m-83) manakala Perak mencipta jaringan menerusi Keita Mandjou (m-59) dan R. Surendren (m-77).

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Philimon Chepita menjadi penyelamat apabila jaringannya membantu Perlis mengikat Terengganu dengan keputusan seri 1-1.

Keputusan itu sekali gus menyingkirkan Terengganu daripada menempah tempat ke separuh akhir.

Perlis layak ke separuh akhir menerusi agregat 4-3 selepas skuad Singa Utara menang 3-2 pada saingan pertama.

Helton Soares memberi harapan kepada Terengganu menerusi jaringan pada minit kelapan untuk mengikat kedudukan 3-3 secara agregat.

Namun, Chepita muncul hero apabila meledakkan jaringan penyamaan dan meranapkan impian Terengganu pada minit ke-72.

Di Stadium Petaling Jaya, Telekom Melaka seperti yang diramalkan mudah melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan pasukan bermasalah MPPJ 2-0.

Dua gol jaringan Rudie Ramli pada minit ke-37 dan Zainuddin Ariffin pada minit ke-57 menambah derita MPPJ dan membantu Telekom layak dengan agregat 5-0

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4mAKDVxOx
© Utusan Melayu (M) Bhd